Kisah sewaktu pengembaraan beliau yang telah melihat secara lebih dekat kehidupan masyarakat yang mengamalkan perkahwinan tradisi pelik di tanah besar China pernah tersiar di Vocket beberapa bulan lepas.

Kini Vocket berjaya mendapatkan sisi lain daripada pengalaman kembara lelaki ini yang telah beliau sudi kongsikan. Ikuti temubual Vocket bersama si pengembara misteri Saya Reez di bawah;

Sambung Belajar
HYPE
Kisah 5 Pelajar Berazam Ubah Nasib Keluarga Walaupun Berdepan Masalah Kewangan
Baca lagi →

01 copy

Keretapi Thailand (State Railway of Thailand) bagi laluan Butterworth ke Bangkok berhenti di Pos Kawalan Imigresen Padang Besar bagi urusan cop passport

02 copy

“Walau dihentak dan dihenyak, bertahanlah. Seringkali, itu sahaja pilihan yang ada.”  (Ta Prohm @ Tomb Raider Temple, Siem Reap, Cambodia)

03 copy

Matahari terbit di Kampong Cham, Kampot, Cambodia

04 copy

Sebuah bangunan lama yang merupakan bekas pusat kasino di Bokor National Park, Kampot, Cambodia

05 copy

Suasana di gerabak kelas ketiga Keretapi Vietnam (Vietnam Railway)

Vocket: Hi Reez. Boleh berikan sedikit info latar belakang Reez seperti nama, umur, status perkahwinan, pendidikan dan kerjaya.

Saya Reez: Seorang introvert yang suka travel dan memerhatikan gelagat manusia. Saya mengongsikan cerita travel di Hadrata.com.

Vocket: Sejak bila Reez mula minat travel? Dan kenapa Reez memilih untuk travel? Adakah kerana faktor tertentu?

Saya Reez: Minat untuk travel dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Saya bukan datang daripada keluarga senang, jadi kami tiada istilah percutian keluarga setiap tahun seperti orang lain. Maka saya akan mengambil peluang mengikuti rombongan bersama rakan-rakan yang dianjurkan oleh pihak sekolah untuk membolehkan saya berjalan melihat tempat orang.

Pada saya, travel adalah salah satu guru yang paling ampuh. Ia tidak mengajar saya teori semata-mata tetapi yang lebih penting ialah pengajaran dan iktibar yang saya dapat melalui pengalaman langsung semasa travel tersebut.

Vocket: Adakah travel adalah hobi Reez?Atau ia adalah salah satu daripada cita-cita Reez?

Saya Reez: Buat masa sekarang, dengan kapasiti yang saya ada, saya travel sebagai memenuhi salah satu hobi dan minat. Tetapi bukan sekadar hobi yang memanfaatkan diri sendiri semata-mata.

Untuk jangka masa panjang, saya berhasrat semoga melalui perkongsian pengalaman saya yang tidak seberapa semasa travel akan mampu memberikan kesedaran kepada orang lain supaya jangan travel untuk berseronok sahaja.

Kita travel untuk melihat apa yang ada di luar sana dan jika baik, salurkan cadangan kepada pihak tertentu di negara kita supaya akhirnya kita juga boleh jadi bagus seperti negara yang dilawati.

Cadangan itu tidak semestinya bombastik dan besar. Ia mungkin boleh dimulakan dengan kecil-kecilan seperti mencadangkan kepada pihak universiti supaya status “Pelajar” di kad pelajar di tulis juga dengan Bahasa Inggeris kerana terdapat sesetengah tempat di luar negara memberikan diskaun kepada pelajar.

Jangan sekadar jadi pemerhati dalam pembangunan negara sebaliknya kita boleh sama-sama berganding bahu dengan kapasiti yang kita ada untuk menyumbang idea yang mungkin boleh dimanfaatkan oleh negara hasil daripada pemerhatian kita semasa travel.

Melihat negara kita maju dan pada masa yang sama pemikiran rakyatnya terbuka dan matang berhujah (termasuk sewaktu berbincang di forum/platform online) adalah merupakan cita-cita saya.

Dipendekkan cerita, bolehlah dikatakan dengan travel, saya dapat memenuhi tuntutan hobi dan minat (jangka masa pendek) dan sekaligus cita-cita saya (jangka masa panjang).

06 copy

Keretapi Vietnam bagi perjalanan Ho Chi Minh City (Saigon) ke Da Nang

07 copy

Antara bangunan lama dan bersejarah yang terdapat di Hoi An Ancient Town, Vietnam

08 copy

“Jadilah pemimpin yang adil, hapuskan yang batil. Kelak hidupmu dijulang, matimu di kenang.” (Tugu Ho Chi Minh, Hanoi, Vietnam)

09 copy

Keretapi China (China Railway) bagi perjalanan Hanoi, Vietnam ke Nanning, China. Passport akan dicop keluar daripada Vietnam di Stesen Keretapi Dong Dang dan dicop masuk ke China di Stesen Keretapi Pingxiang

10 copy

Orang ramai berbaris panjang dan memenuhi segenap ruang ticketing hall di Stesen Keretapi Nanning. Keretapi adalah merupakan antara pengangkutan awam utama di China, maka tidak hairanlah ticketing hall di setiap stesen keretapi sentiasa penuh.

11 copy

Keretapi laju di China (China Railway Highspeed, CRH) bagi perjalanan Nanning ke Guangzhou.

12 copy

Stesen Keretapi Guangzhou Selatan.

P/s: Terdapat kawasan di China mempunyai lebih daripada satu stesen keretapi. Oleh itu, adalah amat penting untuk menentukan secara tepat di mana keretapi yang dinaiki akan bertolak dan tiba.

Vocket: Baru-baru ni Reez telah travel selama sebulan lebih. Boleh kongsikan berapa bulan secara tepat, route dari mana hingga ke mana dan jenis kenderaan yang digunakan?

Saya Reez: Saya travel melalui jalan darat sepenuhnya selama 6 minggu daripada Kuala Lumpur ke China merentasi Indochina iaitu Thailand, Cambodia, Vietnam dan juga ke Hong Kong.

Di China saya meneroka beberapa provinsi seperti Guangxi, Guangdong, Hunan, Sichuan dan Yunnan. Kemudiannya saya terbang kembali ke Malaysia daripada Kunming di akhir trip.

Pelbagai jenis pengangkutan berbeza saya gunakan sepanjang trip ini seperti bas, mini bas, keretapi, keretapi laju, motorsikal, teksi motorsikal, skuter elektrik, basikal, tuktuk dan teksi. Tidak ketinggalan “mode pengangkutan” seorang backpacker iaitu berjalan kaki.

Vocket: Mengapa memilih untuk travel dari Kuala Lumpur hingga China?

Saya Reez: Sejujurnya saya tidak mempunyai apa-apa matlamat khusus pada awal merancang trip ini. Yang saya tahu, saya ingin travel, itu sahaja. Ke mana-mana pun tidak mengapa.

Hinggalah saya terbaca mengenai trip Hafiz Chan yang mengembara dengan keretapi daripada Malaysia ke Beijing. Trip Hafiz Chan tersebut telah menginspirasikan saya merancang trip ini dengan lebih terperinci.

Akhirnya setelah kajian lanjutan dibuat, saya memuktamadkan route dengan menggugurkan Beijing mungkin sebab saya tidak sukakan sangat suasana bandaraya dan jaraknya yang terlalu jauh. Sebaliknya trip saya hanya memfokuskan kepada kawasan barat daya, tengah dan selatan China.

Selain itu, carian di google atas kata kunci “provinsi tercantik di China” yang memberikan jawapan “Yunnan” adalah salah satu faktor saya menghabiskan 1/3 tempoh trip (2 minggu) di provinsi berkenaan.

Setelah saya memuktamadkan route dan membaca perkongsian pengalaman di internet, baharulah saya sedar travel di China bukanlah mudah bagi mereka yang tidak fasih berbahasa Cina. Tapi saya teruskan juga trip ini sebab saya percaya dari kepayahan itu nanti banyak lagi pengalaman mengenai hidup yang dapat saya timba.

13 copy

Bangunan pencakar langit di Hong Kong.

14 copy

Suasana malam paling indah. Panorama 360 darjah kota batu bertemankan cahaya dan neon metropolitan di ketinggian 428 meter daripada paras laut.

(The Sky Terrace 428, Victoria Peak, Hong Kong)

15 copy

Suasana pagi sewaktu matahari terbit di dataran salah sebuah stesen keretapi di China.

16 copy

Keretapi China (China Railway) perjalanan Guangzhou ke Changsha.

17 copy

Sejumlah hampir 1,000 anak tangga perlu dijejaki sebelum sampai ke Tianmen Cave di Tianmen Mountain National Park, Zhangjiajie, Provinsi Hunan, China.

18 copy

Pengunjung menyusuri laluan binaan manusia di tebing Gunung Tianmen.
(Tianmen Mountain National Park, Zhangjiajie, China)

19 copy

Aktiviti penduduk di Tuo Jiang River yang mengalir di Fenghuang Ancient Town.

20 copy

Penduduk tempatan menjual hasil kerja tangan di laluan pejalan kaki.
(Fenghuang Ancient Town)

21 copy

Panorama Fenghuang Ancient Town. Rekabentuk tradisional bangunan masih dikekalkan dan lebih menonjol apabila disimbahi pancaran matahari lewat petang.

“Sejarah tidak lebih daripada sekadar bahan bacaan yang membosankan jika kita gagal menghayati pengorbanan dan penat lelah di sebaliknya.”

22 copy

Panorama malam di Hong Bridge, Fenghuang Ancient Town.

Vocket: Bagaimana dengan tempat tinggal dan makanan di sepanjang tempoh travel? Reez tinggal di mana (ie hotel / couchsuring) dan makanan pula bagaimana? Adakah sukar mendapatkan makanan halal? Jika ye, apakah alternative bagi Reez?

Saya Reez: Kebanyakannya saya memilih menginap di dorm sebab lebih menjimatkan dan berpeluang berinteraksi dengan rakan dorm yang lain. Tetapi ada juga beberapa lokasi yang tidak terdapat dorm, saya tiada pilihan dan perlu memilih bilik peribadi. Selain itu, saya juga couchsurfing di 3 lokasi di sepanjang trip ini.

Berkenaan makanan halal, saya telah buat persediaan dengan membawa bekalan secukupnya daripada Malaysia. Saya tahu terdapat kawasan yang akan saya pergi nanti adalah di luar kawasan bandar utama dan mungkin tidak ramai komuniti Islam.

Vocket: Di sepanjang pengembaraan, apakah perkara paling manis bagi Reez?

Saya Reez: Semua yang ditempuhi sepanjang trip adalah manis belaka pada saya. Yang sesungguhnya manis tu memang manislah — jumpa kawan baru, tiba-tiba muncul orang boleh berbahasa Inggeris untuk kita bertanya, penduduk kampung izinkan kita caj skuter elektronik yang kehabisan tenaga, orang belanja makan, host couchsurfing tak berkira dan sangat membantu, jumpa kedai makanan halal, jumpa travel buddy jadi boleh share tambang tuktuk—dan banyak lagi.

Tapi kenangan yang kurang manis pun tidak kurang tetap membekas di hati — hampir kena scam (tapi berjaya digagalkan) oleh pekerja di kaunter informasi stesen keretapi, bergaduh dengan receiptionist hotel sebab tak mesra, tidur di upper berth keretapi, masuk tandas yang sudahlah terbuka kemudian kotor pula, tidur ditemani nyamuk di stesen bas, kena jerit dengan rakan dorm sebab guna pengering rambut jam 6.00 pagi, sesat jalan dan google map tidak berfungsi, subscription data plan tamat tempoh, beratur panjang nak masuk tourist attraction atau beli tiket keretapi, angkat backpack berpuluh kilogram sambil menapak berkilometer dan banyak lagi—kemanisannya mungkin bukan pada ketika saya menghadapinya tetapi selepas itu.

Ia akan menjadi suatu yang manis untuk dikenang-kenang dan jadi bahan cerita pada masa depan untuk dikongsikan. Kalau semua pengalaman best je, bosan jugak kan?

Vocket: Bagaimana pula dari segi kesukaran dan cabaran? Apakah yang paling sukar yang Reez pernah lalui?

Saya Reez: Paling sukar dan mencabar yang saya perlu lalui ialah berkomunikasi dengan penduduk tempatan. Tidak kiralah sama ada mahu bertanya arah, mahu membeli tiket kenderaan awam, mahu bertanya mana satu tandas lelaki, hendak beli reload telefon bimbit dan sebagainya.

Ini kerana sebilangan besar daripada mereka tidak fasih berbahasa Inggeris. Maka ada ketika terjadilah perbualan antara ayam dan itik dengan gambar, tulisan, gaya badan dan ajukan bunyi-bunyian menjadi perantara antara kami.

Baca: Gadis Ini Berkongsi Itinerari Lengkap Travel Dengan Keretapi Dari Malaysia Ke Chiang Mai

30 copy

Keretapi China (China Railway) perjalanan Lijiang ke Kunming.

31 copy

Matawang yang digunakan – Thailand Baht (THB), Cambodia Riel (KHR), Vietnam Dong (VND), Hong Kong Dollar (HKD), Chinese Yuan (CNY) dan US Dollar (USD).

P/s: Buku merah jangan lupa bawa. Moga-moga belum tamat tempoh

32 copy

Keadaan di gerabak hard sleeper China Railway. Terdapat 3 jenis berth iaitu lower, middle dan upper.

33 copy

Pemandangan laluan penumpang di gerabak hard sleeper China Railway.

34 copy

Pemandangan laluan penumpang di gerabak soft sleeper China Railway. Biasanya soft sleeper dilengkapi dengan kabin berpintu. Setiap kabin hanya terdapat 4 penumpang dengan 2 jenis berth iaitu lower dan upper.

Vocket: Ada pernah lalui peristiwa lucu?

Saya Reez: Penumpang bas ekspess yang saya naiki daripada Chengdu ke Jiuzhaigou bergaduh di dalam bas hanya kerana berebut tempat duduk. Mereka bukan sekadar bertikam lidah sebaliknya satu keluarga bergaduh tarik rambut dan melibatkan sentuhan fizikal.

Kedua-dua pihak membawa kes ke balai polis dan ia turut melibatkan semua penumpang bas tersebut. Akibatnya bas bergerak lewat 2 jam 15 minit daripada jadual asal.

Selain itu, menggunakan “tandas terbuka” di China adalah juga sesuatu yang melucukan untuk saya. Teringat kisah saya meluru masuk tandas di stesen keretapi di Changsha. Ia sangat kotor dan orang yang menunaikan hajat pula tidak menutup pintu.

Saya jadi kaget sebab tidak pernah berhadapan situasi sebegitu dan terus keluar dalam keadaan menahan kencing. Itu belum lagi kisah “tandas longkang” yang sememangnya terbuka, tiada pintu dan penghadang antara kubikel bersebelahan hanyalah setinggi pinggang. Boleh buat pundi kencing pun segan nak keluarkan isinya.

Vocket: Bagaimana pula dari segi orang-orang yang Reez temui di jalanan. Siapakah yang paling Reez ingati dan kenapa?

Saya Reez: Ramai yang membantu saya sepanjang trip ini dan saya ingati semua mereka. Mana mungkin saya melupakan orang yang membantu saya di waktu kesusahan.

Walau bagaimanapun, antara yang paling diingati adalah bantuan seorang gadis berusia awal 20-an bernama Yuen di Stesen Keretapi Nanning, China.

Nanning adalah destinasi pertama saya di China (masuk dari arah Hanoi, Vietnam) dan saya ketika itu memang tiada langsung “nyawa” untuk hidup sendiri iaitu internet/data plan.

Masalah komunikasi pula menyebabkan saya betul-betul tertekan dan hampir berputus asa (tidak boleh guna google translate sebab belum beli simkad walau sudah subscribe perkhidmatan VPN).

Mujurlah muncul Yuen ketika itu yang membantu hingga saya berjaya membeli tiket keretapi ke Guangzhou.

Saya turut kisahkan pengalaman ini dalam catatan khas di facebook page saya, Hadrata.com

sdr

“Jangan hidup atas ekspektasi orang lain. Buat perkara yang anda rasa betul walau semua orang kata anda salah.”
(Mirror Lake, Jiuzhai Valley National Park, Jiuzhaigou, Provinsi Sichuan, China)

sdr

“Manakan mungkin satu kebenaran boleh dihakis walau seribu orang mahu memadamnya. Diakhirnya, kebenaran pasti terjelma seperti sebuah tasik yang jernih memantulkan objek di sekelilingnya.”
(Rhinoceros Lake, Jiuzhai Valley National Park, Jiuzhaigou, Provinsi Sichuan, China)

25 copy

Keretapi China (China Railway) perjalanan Chengdu ke Kunming.

26 copy

Suasana awal pagi ketika melewati celahan bangunan lama di Lijiang Old Town, Provinsi Yunnan, China.

27 copy

Lugu Lake, juga dikenali dengan jolokan Negara Perempuan kerana puak Mosou yang mendiami kawasan ini masih mengekalkan tradisi mengutamakan nasab ibu.

Vocket: Bagaimana dengan persediaan Reez untuk setiap trip? Bagaimana Reez kumpul duit dan berapa lama?

Saya Reez: Saya tentukan route dan daripada situ saya akan lakukan kajian lebih mendalam bagi lokasi yang dipilih (tripadvisor, wikitravel, wikipedia, forum online – facebook group dll).

Kemudiannya saya akan dapatkan maklumat mengenai pengangkutan dan penginapan (hostelworld.com, booking.com dll). Yang paling penting, saya pastikan membeli travel insurance yang bersesuaian dengan keperluan dan gaya travel saya (saya tidak akan travel tanpanya).

Sumber dana untuk saya travel ialah melalui simpanan dan tabungan. Alhamdulillah saya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk terus travel tanpa perlu menunggu lama atau menjejaskan perancangan travel. Ini kerana ada ketika saya akan menyimpan lebih sedikit di sepanjang tempoh saya tidak travel.

Vocket: Bagaimana pula penerimaan keluarga dengan keputusan Reez untuk keluar mengembara dan tinggalkan tanahair?

Saya Reez: Alhamdulillah, mereka menyokong dan tidak menghalang.

Vocket: Dari pengalaman lepas, Reez lebih suka travel solo atau secara berkumpulan?

Saya Reez: Jika diberikan pilihan, saya lebih suka travel solo. Walau bagaimanapun, saya tidak menolak untuk travel secara berkumpulan dengan syarat bersama ahli kumpulan yang telah mengenali perangai saya.

Kebimbangan saya bukanlah mereka akan menyusahkan saya tetapi lebih kepada kemungkinan saya pula yang akan memberikan kesulitan kepada mereka.

Vocket: Ada perancangan lain untuk travel lagi selepas ini? Jika ada dan tak kisah, boleh kongsikan?

Saya Reez: Insya Allah, jika tiada aral melintang baki tahun 2015 akan mengunjungi dua buah negara. Antara projek utama tahun 2016 pula ialah trip jalan darat di negara Asia Selatan. Selain daripada trip-trip yang disebutkan, belum beli tiket kapal terbang lagi.

Selain itu, saya turut merancang satu projek besar di penghujung tahun 2016 tetapi bergantung kepada kecukupan dana/tabungan dan beberapa hal pentadbiran lainnya. Berharap supaya projek ini dapat direalisasikan. Pohon doakan saya.

28 copy

“Hidup ini bukan untuk kita sahaja.”
(Lugu Lake, Provinsi Yunnan, China)

29 copy

Langit membiru, awan bergumpalan, air yang jenih, udara yang segar, gunung beralun;
“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”
(Lugu Lake, Provinsi Yunnan, China)

35 copy

Acah-acah photoshoot edisi sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-58. Bendera Malaysia itu ialah cenderamata untuk host couchsurfing, pinjam sekejap buat props.

“Di pelusuk bumi manapun kamu berada, jangan dilupa tanahairmu.”
(Lugu Lake, Provinsi Yunnan, China)

Vocket: Boleh kongsikan perubahan hidup selepas setiap trip?

Saya Reez: Saya dapat lebih ramai kenalan baharu dengan minat yang sama dan kami selalu berinteraksi serta bertukar-tukar fikiran mengenai travel. Banyak ilmu baharu yang kami sama-sama kongsikan meliputi tip dan perancangan travel, perkongsian info promo syarikat penerbangan, perbincangan masalah yang dihadapi berkaitan travel dan banyak lagi.

Malahan ada yang mengakui membeli travel insurance selepas tersentak dengan tindakan saya “mengkritik dan menempelak” mereka yang tidak sedar akan kepentingan perlindungan diri sewaktu travel.

Walau agak sedikit “keras”, namun jika ia mampu mendidik dan menimbulkan kesedaran, saya kira ia sesuatu yang baik dan positif. Selain itu, ada yang mengatakan mereka rasa bersemangat untuk travel selepas membaca pengalaman yang saya kongsikan.

Saya juga ada menerima jemputan sebagai speaker untuk berkongsi pengalaman travel solo bagi program bersama pesalah juvana. Ada juga yang memohon bantuan dan pendapat saya sebagai input bagi menjayakan projek dokumentari yang mereka ingin terbitkan.

Selain itu, rakan-rakan pula menyarankan supaya saya membukukan pengalaman travel saya. Bercakap mengenai buku, saya telah menerima tawaran menerbitkan buku daripada 2 syarikat. Walau bagaimanapun, buat masa ini saya belum bersedia ke arah itu kerana tuntutan komitmen yang lain.

Vocket mengucapkan terima kasih atas kesudian Saya Reez untuk berkongsi kisah travel beliau ini. Jika anda berminat untuk ketahui kisah kembara lelaki introvert ini dengan lebih lanjut, boleh ikuti siri kembara dan coretan pengalaman beliau di Hadrata.com.

Baca lagi kisah beliau: Kembara Ke China Menemukan Lelaki Ini Dengan Kaum Mengamalkan Perkahwinan Tradisi Pelik

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

Anda Mungkin Suka