Tahun lepas saya berkesempatan menemu bual salah seorang traveller Malaysia yang berpengalaman, boleh saya istilahkan beliau sebagai orang lama. Sebelum ini kami di The Vocket pernah menerbitkan pengalaman beliau dirompak ketika travel di Afrika Selatan.

BACA: Lelaki Ini Berkongsi Saat-Saat Genting Dirompak Sewaktu Travel Di Afrika Selatan

Seorang yang humble, tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. Kali ini saya cuba memanggil beliau sekali lagi untuk berkongsi kisah pengembaraannya khas kepada pembaca Vocket. Terlebih dahulu biar saya kenalkan kepada anda siapa orang yang dimaksudkan ini.

Beliau ialah Haji Zainal Bin Ahmad atau mesra saya panggil dengan panggilan Haji Zainal sahaja. Saya rasa beliau mungkin tidak asing lagi dikenali di kalangan para pengembara tempatan yang aktif di media sosial.

Apa yang membuat saya kagum dengan Haji Zainal adalah semangatnya untuk mengembara. Walaupun sudah bergelar datuk kepada beberapa orang cucu, ditambah pula dengan usianya yang tidak lagi muda, sehingga sekarang beliau masih belum pernah berhenti mengembara.

Kata Haji Zainal kepada saya, “When you start travelling, you will never stop“. Memang memberi inspirasi betul.

Apa lagi, maka saya gunakan peluang yang ada untuk korek seberapa banyak kisah yang boleh saya bawa untuk anda. Sempat saya sediakan beberapa soalan cepu emas untuk Haji Zainal, semuanya dijawab dengan gaya santai dan bersahaja. Antara soalan pertama yang terlintas difikiran saya, bila sebenarnya Haji Zainal mula travel.

Tanpa membuang masa, mari ikuti perbualan kami.

Vocket: Pada tahun berapa Tuan Haji mula travel dan apa yang mendorong Tuan Haji untuk travel. Sebenarnya sudah dua tiga tahun saya ikuti perkembangan Tuan Haji, memang meriah betul Tuan travel. Boleh kongsikan dengan kami?

Haji Zainal: Aku sebenarnya mula travel pada umur 15 tahun, ketika itu pada awal tahun 70 an. Aku bermula dengan negeri-negeri dalam Malaysia dahulu iaitu selepas Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Masa itu aku mula dengan cara hitchhike, tahan-tahan kereta.

Dan aku mula travel lebih serius semasa menunggu keputusan SPM, masa itu aku mula travel balik. Bermula dari Kedah, aku ke Johor Baharu, masuk ke Singapura.

Kemudian aku keluar melalui Tumpat, Kelantan, seterusnya menuju ke Pattani, Yala, Hat Yai, dan menuju ke Perlis sebelum balik ke Kedah. Negeri yang aku tak masuk ketika itu hanyalah Melaka, yang lain semua aku dah masuk.

Pertama kali aku keluar ke Malaysia adalah ke Singapura dan Thailand. Semasa umur 17, iaitu semasa menunggu keputusan SPM. Aku pernah tumpang tidur di balai polis Jalan Bandar di Kuala Lumpur. Masa itu wilayah tak ada lagi. Jalan Bandar sekarang ni sudah jadi tempat stesen MRT.

Daripada situlah aku ke Negeri Sembilan dan ke Johor sebelum masuk Singapura. Zaman ni komunis tengah kuat lagi. Yang mendorong aku untuk travel kerana pada masa dulu ramai orang ingin bekerja di England.

Masa itu England dihebohkan sebagai sebuah negara yang makmur. Ramai orang kita yang berhasrat ikut kapal dan bekerja di England.

Aku terbaca berita ini pada Utusan Malaya, jadi aku pun bercita-cita untuk ke England juga. Inilah penyebab yang mendorong aku travel. Ingat lagi aku, waktu itu aku bawa RM12 sahaja.

Sempat saya mencelah, “wah RM12 sahaja, ini baru bajet travel! Mohon kongsi ITI, hahahah”. Saja saya mengusik Haji Zainal.

“Eh, RM12 tahun 70 an macam RM3000.00 zaman sekarang bang, Hah! Masa tu nasi lemak dan mi baru 10 sen”, balas Haji Zainal.

Dan selepas umur 18 aku mula bekerja dengan kerajaan. Semasa bekerja dengan kerajaan pun sudah banyak negara aku pergi travel dan aku sudah pun pergi jauh dari Asia pada waktu itu.

Pada sekitar tahun 1973 aku sudah habis travel di semenanjung Malaysia. Dan di tahun 1974 aku sudah jejak Sabah dan Sarawak. Bermakna pada tahun 1974 aku sudah habis pusing 1 Malaysia.

Vocket: Zaman dulu bagaimana Haji Zainal cari info? Iyalah, zaman dulu internet pun orang tak guna lagi. Berbeza dengan sekarang nak cari apa-apa maklumat boleh Google saja.

Haji Zainal: Zaman dulu nak cari info hanya bersumberkan Utusan Malaysia dengan Utusan Melayu sahaja. Berguna betul suratkhabar Utusan waktu itu. Radio pun tak ada, main gagau sahaja macam orang buta cari jalan dan berpandukan apa yang belajar melalui sejarah dan juga ilmu alam.

Vocket: Huh, memang mencabar betul. Berdasarkan pengalaman Haji Zainal, apa perbezaan travel zaman dahulu dan zaman sekarang?

Haji Zainal: Huh, jauh sungguh bang. Cerita dia macam antara langit dengan bumi. Dulu informasi semua terhad, kalau nak tahu apa-apa kena tanya orang.

Semua benda yang datang adalah dari mulut ke mulut dan kalau nak tahu info antarabangsa kita kena berdamping dengan Utusan Malaysia dan Utusan Melayu.

Beza dia memang sangat ketara. Untung orang zaman sekarang maklumat semua di hujung jari. Zaman dahulu kalau nak travel memang bergantung sepenuhnya kepada akal dan kecekalan diri sendiri.

Duit pula bukan menjadi satu halangan untuk travel, pasal zaman dahulu semua orang tak ada duit. Hahahaha. Jadi kita travel dulu berdasarkan belas ehsan, tanya orang dan keberanian.

Vocket: Haji Zainal sudah travel lebih daripada 150 negara. Dalam banyak-banyak negara mana paling best dan melekat terus ke hati?

Haji Zainal: Jujurnya, antara bandar yang terbaik bagi aku ialah Mekah dan Madinah. Madinah is the best in the world . Kedua baru Mekah. Tapi kalau di selatan, paling best ialah New Zealand dan Australia.

Kalau di Asia pula antara negara yang terbaik ialah Jepun, Singapura dan Korea. Sebelah Afrika pula ikut pengalaman aku ialah Swaziland, Morroco dan Egypt. Eropah yang tebaik bagi aku ialah Switzeland, Finland, Norway dan Denmark. Kalau di benua Amerika Selatan aku suka Peru dan Argentina.

Bandar yang tercantik di dunia pula berdasarkan pengalaman aku ialah Cape Town walaupun aku pernah kena rompak di sana, Saint Petersburg, Istanbul, Sydney dan Rio De Janeiro.

Vocket: Sekian lama meneroka dunia travel, apa pengalaman paling pahit yang memang Haji Zainal tak boleh lupa?

Haji Zainal: Aku yang paling pahit paling perit tak ada yang lain dah, yang kena rompak di Afrika Selatan tu memang tak boleh lupa. Yang lain semua paling manis saja, hahaha.

Vocket: Saya simpati atas apa yang menimpa Haji Zainal, hahaha. Kalau begitu apa pula pengalaman yang paling manis?

Haji Zainal: Pengalaman ni tak ada yang manis sangat pun, hahaha. Tapi kalau ikut pengalaman paling manis aku rasa sebab dapat ramai kenalan dari seluruh dunia khususnya dari orang asing.

Vocket: Seronok sungguh saya mendengar cerita Haji Zainal. Bercakap dari pandangan kaca mata Haji Zainal sendiri, apa manfaat tentang travel dan kenapa travel ni sebenarnya sangat best?

Haji Zainal: Ok baik, sebenarnya dalam Al-Quran pun Allah sudah menyebut tentang travel. Seronoknya travel ini sampai Allah pun mention dalam Al-Quran. Dan ini menjadi dasar hakikatnya aku travel.

Vocket: Haji Zainal, kalau kita lihat pada hari ini travel mendapat sambutan yang sangat positif terutama dari kalangan golongan anak muda. Apa pandangan Haji Zainal berkenaan ini?

Haji Zainal: Sebenarnya masyarakat Malaysia hari ini baru sahaja berjinak mengenali travel, tapi bagi orang barat travel ini boleh dikatakan sudah menjadi darah daging mereka sejak zaman dahulu lagi. Kita baru sahaja dapat rasa keseronokkan ini dan salah satu faktor yang menyumbang adalah AirAsia. Aku ucap terima kasih kepada AirAsia!

Disebabkan wujudnya penerbangan tambang murah AirAsia, ramai golongan anak muda hari ini mampu terbang. AirAsia boleh dikatakan faktor besar yang menyumbang kepada aktiviti travel generasi muda hari ini. Aku sendiri sudah travel ke 90% daripada destinasi yang dibuka AirAsia.

Aku sangat suka lihat dan menyokong generasi anak muda travel. Aku berbesar hati untuk berkongsi apa ilmu yang aku ada. Kalau boleh tak nak tinggalkan sedikit pun supaya anak muda lebih bersemangat untuk travel. Pergilah travel dan lihat sendiri.

Kalau menurut, pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Betul atau tak betul pepatah tu? Apa aku boleh kata perumpamaan itu tak tepat, pergi tengok sendiri.

Pergilah travel kalau boleh sekurang-kurangnya setahun sekali, buka mata dan tengok. Barulah tak macam katak bawah tempurung. Tempurung kalau besar tak apa.

Vocket: Baik Haji Zainal. Sebagai orang berpengalaman, apa nasihat Tuan Haji khasnya pada golongan generasi muda seperti saya yang masih merangkak lagi atau baru sahaja berjinak-jinak dengan dunia travel? Apa nasihat yang ingin Haji Zainal sampaikan?

Haji Zainal: Berdasar pengalaman, nasihat aku buat mereka yang baru gunalah sebaiknya info-info atau manfaatkan internet sebaiknya. Seeolok-eloknya buat seseorang yang ingin travel paling kurang mesti study 6 bulan awal sebelum ke destinasi yang ingin dituju. Buat kajian seteliti mungkin daripada A hingga Z, daripada research itu tadi akan ditukar menjadi itinerari.

Itinerari pula sebaiknya cetak sebagai garis panduan yang bakal dijadikan rujukan nanti. Kalau setakat main terjah lebih baik jangan pergi, buat habis duit saja. Tapi terpulanglah. Daripada pengalaman aku, bila tak ada itinerari nak cover 50 peratus daripada apa yang dia ingin pun tak akan dapat.

Ambil tahu juga keadaan-keadaan semasa. Jika dilihat dunia pada hari ini nampaknya seperti tidak begitu stabil. Ambil tahu juga perkara-perkara penting terutama yang melibatkan keselamatan pengembara.

Jika ingin dapatkan maklumat terperinci boleh ikuti safety talk yang aku akan anjurkan khas buat para traveler. Di situ akan dibincangkan lebih details berkenaan keselamatan ketika travel seperti bagaimana nak elak dari penipuan, situasi bahaya dan lain-lain.

Sebenarnya setiap kali pulang dari travel kita sudah bawa pulang satu perkara baru, travel bukan bergantung pada bilangan negara yang kita pergi. Sikit atau banyak bukan ukuran, yang penting apa yang kita belajar daripada pengembaraan tersebut. Bilangan negara itu bonus! Tapi pengalaman itulah yang lebih utama. Kembali balik kepada niat dan tujuan asal kenapa kita travel.

Inilah sebahagian kecil perkongsian daripada Haji Zainal yang sempat saya rakam. Sudah pasti masih tersimpan berjuta lagi kisah menarik yang tidak sempat beliau kongsikan.

Saya harap dengan adanya perkongsian ini akan memberi manfaat yang baik buat anda dan terus bersemangat tidak kira apa pun cabaran yang mendatang.

Jika anda ingin berkongsi kisah inspirasi yang menarik bersama kami, sila rujuk halaman ini atau anda juga boleh menghantar terus ke email saya di [email protected].

Selamat mengembara!