Jika anda seorang seorang yang meminati kamera vintage atau mengikuti perkembangan kamera sejak di zaman analog, anda pasti mengenali jenama-jenama yang gah ketika itu seperti Leica, Minolta dan Hasselblad.

Dua dekad berlalu, Leica kini bekerjasama bersama Huawei menghasilkan kamera khas buat smartphone manakala Konica Minolta tidak lagi menjalankan bisnes melibatkan kamera. Terbaru, DJI berjaya mendapatkan syarikat Hasselblad untuk ‘menyelamatkan’ daripada terus jatuh.

Bagaimana ianya bermula

Ceritanya bermula apabila Hasselblad sebagai syarikat yang jaguh dizaman sebelum milenium ini tidak mengikuti perkembangan teknologi dengan memperkenalkan kamera digital sehingga 2002. Kerjasama Hasselblad bersama Contax berjaya menghasilkan sebuah model kamera yang hebat namun gagal untuk dipasarkan.

Kegagalan untuk bersaing dengan marketing yang dibuat oleh syarikat lain seperti Olympus, Sony dan Nikon ketika itu membuatkan Hasselblad terus ketinggalan. Oh ya, syarikat ini juga turut terpalit dengan krisis pengurusan yang teruk dimana mereka terpaksa menggantikan CEO yang baru setiap dua tahun.

CEO Hasselblad, Perry Oosting

Kata orang ‘better late than never‘, Hasselblad mengambil keputusan untuk melantik Perry Oosting sebagai CEO terbaru mereka. Untuk pengetahuan anda Perry Oosting merupakan watak penting dalam membangunkan Bulgari, Prada dan Gucci ke peringkat global sepanjang 25 tahun penglibatan di dalam industri pemasaran dan pengurusan.

Mengapa mereka memilih untuk melantik CEO daripada individu daripada latar belakang fesyen? Dikatakan hasrat Hasselblad untuk mengubah business model mereka daripada pengeluar kamera professional kepada kamera yang lebih premium turut menjadi punca. Dalam erti kata lain Hasselblad berminat untuk menjadi ‘Vertu’ di dalam industri kamera.

Hasselblad X1D

Selepas lebih setahun syarikat ini bersusah payah bersama pengurusan CEO terbaru, Hasselblad berjaya melancarkan kamera terbaru iaitu Hasselblad X1D. Hadir dengan rekaan yang begitu ikonik, ringan, inovatif dan moden buatkan orang ramai tidak sabar untuk mendapatkan ciptaan terbaru daripada syarikat yang berpengkalan di Sweden ini.

Secara asasnya, produk ini boleh dikira berjaya. Kamera berfungsi dengan baik dan disukai ramai. Hasselblad mungkin tidak banyak mengeluarkan kos untuk pemasaran, namun jenama yang dibawa ini berjaya meyakinkan orang ramai.

Dalam pada itu, muncul suatu masalah baharu buat Hasselblad dimana mereka sendiri tidak sangka akan berlaku. Tempahan yang diterima terlalu banyak sehinggakan mereka gagal untuk menyiapkannya. Lebih parah, syarikat ini tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan selepas beberapa tahun menanggung rugi.

Hampir 6 bulan bergelut dengan krisis yang berlaku, syarikat yang memfokuskan kepada dron iaitu DJI berhasrat untuk ‘menyelematkan’ Hasselblad daripada terus jatuh. Sokongan dana yang diberikan DJI bakal memberi akses kepada Hasselblad untuk menghasilkan lebih banyak pengeluaran kepada pengguna.

Walaubagaimanapun, kami sangat teruja untuk melihat bagaimana hasilnya apabila syarikat melibatkan dua buah negara iaitu Sweden dan China ini mula bergabung. Adakah kita akan dapat melihat dron premium di masa akan datang? Sama-sama kita nantikan.

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤