Hidup susah sejak kecil, bapa yang bekerja sebagi pemandu, ibu tidak bekerja dan menjadi anak sulung dalam adik beradik seramai 6 orang menjadi faktor paling besar kenapa beliau sanggup bersusah payah mencari pendapatan sampingan.

Itulah antara yang diceritakan oleh Zaaba Mansor kepada saya. Sebagai seorang yang sudah beberapa tahun mengenali beliau, saya tidak menyangka walaupun pernah hidup susah tapi Zaaba tidak pernah berputus asa mencuba hingga akhirnya berjaya menikmati pencapaian peribadi beliau kini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Setelah hampir 2 tahun tidak duduk semeja dan berborak dengan beliau, hari ini kami bertemu 4 mata bagi mendapatkan kisah tentang bagaimana beliau bermula, dari membina jenama perniagaan sehingga memiliki lebih 1000 rangkaian ejen di seluruh Malaysia.

pengasas-NDLife-4

1. Boleh ceritakan latar belakang pendidikan dan kerjaya?

Pendidikan akhir saya adalah dalam ijazah bidang IT di UPM. Sewaktu di semester ke 2 di universiti, saya bekerja part time di Xtra Supercenter (sekarang dah jadi Giant). Kerja part time ni saya buat hingga semester ke 4. Semester ke 5 saya berhenti buat part time sebab pointer peperiksaan akhir saya jatuh. Saya takut biasiswa JPA yang saya dapat ditarik balik. Tapi semester ke 6 saya buat kerja part time semula. Kali ini diĀ Carrefour Sri Petaling.

Dari hasil kerja part time masa belajar saya dapat beli motor 2 baru dan hantar duit ke kampung. Dapatlah bantu belanja dapur untuk mak ayah di kampung walaupun tak banyak.

Selepas habis belajar, saya sambung kerja part time di Carrefour pula. Kemudian saya ditawarkan jawatan sepenuh masa di pasaraya ini. Tapi disebabkan temuduga yang saya kena hadir di tarikh 2 hari sebelum raya, saya tak pergi temuduga.

Tambahan pula saya dah balik ke Terengganu naik motor. Jika saya hadir temuduga, maka saya perlu terus kerja di hari raya. Itu yang bakal boss saya cakap. Saya nak beraya dengan mak. Jadi saya lepaskan peluang itu.

Kemudian saya kerja di Astro dari tahun 2004 – 2008. Tahun 2008 hingga 2015 saya kerja dengan Fama. Sejak 2008 saya cuba berniaga online, bermula dengan jual jus kesihatan.

Saya juga pernah jadi ejen unit trust tapi sekejap saja. Segala pengalaman yang saya dapat daripada kerja di atas mencorakkan apa yang saya lakukan kini.

Ogos 2015 saya berhenti kerja dan tumpukan perhatian kepada perniagaan online saya. Alhamdulillah perniagaan saya masih berjalan dengan baik hingga kini.

2. Bagaimana Zaaba mula berniaga? Apakah faktor yang mendorong?

Tahun 2008 saya cuba berniaga online, nak cari duit lebih untuk bantu mak ayah di kampung. Saya jual jus kesihatan di internet. Di waktu yang sama saya cuba buat bisnes sampingan lain iaitu tanam cendawan dengan rakan saya.

Lokasi tanam cendawan di Melaka. Saya di Lembah Klang, rakan kongsi saya di Johor. Setiap jumaat petang saya naik motor ke Melaka. Ahad petang saya balik ke Klang semula. Inilah rutin saya masa tu. Jika hujan di tengah jalan, kuyuplah saya bila tiba di Melaka.

Sayangnya usaha tanam cendawan hanya 2 bulan saja. Tak ada orang jenguk ladang di hari bekerja. Mesin dan barang kami dicuri orang. Habis terbakar modal saya sebanyak RM2 ribu.

Dari sini saya mula cari peluang lain untuk bisnes online. Pada masa tu banyak yang memperkatakan tentang beberapa penyakit berbahaya, dan rencana tentangnya turut saya baca di surat khabar. Jadi saya cuba fikirkan penyelesaian alternatif.

Baca info di internet, buat kajian apakah herba alternatif yang boleh diambil oleh mereka yang ingin mencuba, dan apakah yang saya boleh tawarkan kepada pasaran.

Dari sini saya beli biji aprikot dan cuba makan. Rasanya sangat pahit. Selama 2 tahun biji aprikot yang saya beli jadi perhiasan di atas meja kerja di pejabat. Saya masukkan ke dalam botol. Mulanya saya berikan kepada rakan pejabat untuk makan. Saja suka-suka. Dan jika ada pelawat datang ke pejabat, saya beri mereka cuba juga. Memang semua cakap pahit.

Akhirnya saya terfikir, kenapa tidak saya cuba jual aprikot ini dalam bentuk kapsul saja. Lebih mudah nak telan. Tak ada rasa pahit lagi. Dari sini saya cuba-cuba berniaga online dan keluarkan produk sendiri.

Saya bermula dengan apa yang ada di tangan, modal paling minima. Nak jadikan aprikot dalam bentuk kapsul saya beli blender khas untuk blend aprikot. Beli botol, beli kapsul.

Rutin tidur saya mula bertukar. Jam 2 pagi saya mula blend aprikot. Nak hasilkan 100 kapsul ambil masa 2 jam untuk siap sebab hancurkan pakai blender. Mengeluh juga dalam hati bila nak habiskan masa 2 jam untuk 100 kapsul.

Saya cuba-cuba jual online, sikit-sikit. Ada sekali tu, seorang pembeli buat tempahan tapi minta saya hantar sendiri kepadanya. Memang saya hantar dan kami berkenalan. Tapi saya tak tahu siapa dia.

Hinggalah setelah beberapa kali hantar, dia minta saya pos saja. Waktu ini baru dimaklumkan bahawa dia adalah seorang doktor. Ini buat saya terfikir, jika saya boleh jual kepada doktor, kenapa tidak kepada orang lain?

Ia bagaikan pembakar semangat kepada saya untuk buat jualan lebih banyak dan giatkan pemasaran. Sejak itu saya cuba luaskan pasaran, cari kilang yang boleh keluarkan produk saya dalam jumlah yang lebih banyak.

3. Bagaimana Zaaba pasarkan produk?

Saya banyak habiskan wang buat pemasaran di Facebook. Saya mensasarkan jualan kepada 2 kelompok di media sosial. Pengguna dan mereka yang nak berniaga dan jadi ejen.

Sehingga kini pemasaran utama saya masih lagi dengan menjalankan iklan di Facebook terutama untuk bantu jualan ejen-ejen dan stokis. FB ads juga saya gunakan sebagai cara untuk mewujudkan kesedaran dan kukuhkan jenama ND Life di media sosial.

Buat masa ini, kos pemasaran yang saya habiskan setiap bulan adalah sekitar RM10k ke RM20k. Bagi memastikan duit yang dileburkan untuk pemasaran adalah berbaloi, saya pastikan agar mendapat ROI yang positif.

pengasas-NDLife

4. Berapa ramai ejen dan stokis yang Zaaba ada sekarang?

Saya ada 1000 ejen, 29 stokis dan 126 farmasi yang memasarkan produk di bawah jenama ND Life.

Selain dari itu, Zaaba juga menjual secara terus kepada pelanggan di website NDLife.com.my dan di Facebook Page NDLife.

5. Bagaimana Zaaba uruskan ejen, stokis dan farmasi?

Untuk ejen dan stokis, saya ada sediakan support group di Facebook. Setiap satu diasingkan. Ejen di group ejen, dan untuk stokis di group stokis. Bagi farmasi pula, stokis akan berurusan dengan farmasi tanpa perlu melalui saya. Sebarang urusan jual beli dengan farmasi, stokis yang uruskan.

6. Bagaimana pula Zaaba beri galakan dan reward kepada ejen dan stokis?

Sewaktu jadi ejen unit trust, saya pernah rasai pengalaman kurang manis bila tidak dihargai oleh upline setiap kali berjaya close sale. Saya ambil ini sebagai pengajaran.

Bila saya dah ada ejen, saya hargai mereka. Setiap bulan saya buat inisiatif jualan. Jika mereka berjaya capai sasaran, ada ganjaran yang saya berikan. Antara cabaran yang saya berikan adalah cabaran jongkong emas setiap bulan dan ganjaran umrah sekali setahun kepada yang berjaya capai jualan sasaran. Bagi tahun ini saya tambah satu lagi ganjaran iaitu syarikat akan belikan kereta sebagai hadiah kepada yang berjaya capai sasaran jualan.

Bagi saya ejen dan stokis adalah sebahagian daripada harta syarikat. Mereka saya anggap sebagai orang yang bertanggungjawab membantu syarikat berkembang. Mereka adalah channel yang membawa produk syarikat ke sasaran pengguna. Jadi mereka perlu saya hargai dan jaga.

Untuk stokis pula, kebanyakan mereka adalah orang-orang yang bersama dengan saya sejak 4 tahun lepas, sewaktu produk saya masih belum dikenali. Mereka inilah yang aktif memasarkan produk saya sejak dari awal hingga kini. Saya lantik mereka jadi stokis. Jadi ejen-ejen boleh berurusan dengan stokis tanpa perlu melalui saya.

6. Pertemuan dengan ejen dan stokis

Sehingga kini saya selesa berniaga online. Malahan ada ramai stokis dan ejen yang berhubung di online saja dengan saya. Setakat ini hanya sekali saja saya buat pertemuan dengan stokis dan ejen, iaitu pada tahun lepas. Selebihnya hanya di support group di Facebook.

Jika mereka ada soalan, kami bantu dari sana. Malahan ejen-ejen saya juga aktif membantu sesama mereka berhubung soal jawab tentang satu-satu produk. Bagi saya, tidak wujud jurang antara saya dan para ejen. Mereka bebas bertanya, selalunya pasti ada yang membantu dan berikan jawapan.

7. Bagaimana pula dengan staff dan pejabat?

Saya ada 2 orang staff. Seorang di Rawang, seorang di Melaka. Kedua-duanya adalah surirumah. Saya berkenalan dengan mereka di media sosial dan telah menjadi staff saya sejak 4 tahun lepas.

Saya tak pernah berjumpa dengan staff saya yang tinggal di Melaka sehingga kini. Segala arahan saya berikan melalui online dan whatsapp saja.

Yang di Rawang pula, beliau uruskan pembungkusan dan penghantaran kepada ejen dan stokis. Saya sewa satu rumah di sebelah rumah beliau dan jadikan stor untuk simpan barang dan produk.

Mungkin sudah rezeki saya dapat pekerja yang baik dan amanah. Saya boleh hantar mesej kepada mereka pada bila-bila masa. Jika saya ada idea atau kerja yang saya teringat untuk mereka buat, saya hantar saja tak kira masa, termasuk pada jam 2 pagi. Esok paginya mereka akan balas. Malahan ada masa mereka pula yang ingatkan saya untuk kerja yang saya terlupa.

Sejak berhenti kerja pada tahun 2015 hingga sekarang, pejabat saya hanyalah di rumah. Cara ini membantu saya berjimat dari segi perbelanjaan yang tidak perlu seperti sewa pejabat, bil air, api dan hal-hal lain.

Di waktu yang sama saya dapat berada bersama keluarga setiap masa, lihat anak membesar. Dulu saya dah penat bekerja siang malam, naik motor ke sana sini, pernah rugi. Mungkin inilah yang tuhan berikan kepada saya selepas sekian lama berusaha. Buat masa ini saya selesa bekerja dari rumah saja.

8. Dah 5 tahun jenama ND Life berada di pasaran. Bagaimanakah perkembangan terkini?

Alhamdullillah. Saya bermula dengan 1 produk dan kini telah berkembang kepada 10 produk. Semuanya produk kesihatan alternatif iaitu:

  1. ND Life Kapsul Aprikot
  2. ND Life Belalai Gajah
  3. ND Life Tunjuk Langit
  4. ND Life Daun Durian Belanda
  5. ND Life Tongkat Ali
  6. ND Life Daun Betik
  7. ND Life Pecah Beling
  8. ND Life Hempedu Bumi
  9. ND Life Manjakani
  10. ND Life Kunyit

Kesemua produk di atas telah mendapat kelulusan KKM dan boleh dipasarkan dengan meluas.

Selain di Malaysia, produk ND Life juga telah dipasarkan di Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia, Riyadh dan Austria. Kesemua ini dibawa ke luar negara oleh ejen-ejen saya.

Kebanyakan mereka bermula dengan mencuba untuk diri sendiri, kemudiannya mereka cuba jual dan masih jadi ejen yang aktif memasarkan produk keluaran syarikat sehingga kini.

9. Siapakah sasaran utama bagi pemasaran produk ND Life?

Kebanyakannya pembeli produk kami adalah wanita. Malahan ejen-ejen dan stokis kami jga bermula dengan mengambil produk kami untuk kegunaan sendiri. Mungkin ini menjadi faktor kenapa mereka yakin untuk turut pasarkan produk kami.

pengasas-NDLife-2

9. Bagaimana pula Zaaba melihat dari sudut persaingan yang wujud daripada pengeluar produk kesihatan yang sama di negara ini?

Bagi saya yang penting bina kesetiaan dengan para stokis dan beri ganjaran kepada ejen. Saya jaga hubungan dengan mereka ini. Secara tak langsung saya tak perlu risau tentang persaingan kerana produk keluaran syarikat saya dijual pada harga yang kompetitif dan mampu dibeli.

10. Bagaimana pula dengan isu trademark

Saya belajar daripada kejadian yang berlaku kepada usahawan lain. Bagi saya isu trademark adalah satu isu yang penting. Selepas 1 tahun mengusahakan ND Life, saya daftar trademark. Dan alhamdulillah, ia satu langkah yang kena pada masanya sebab beberapa bulan kemudian saya dapat tahu ada pihak yang cuba gunakan jenama saya.

11. Apakah cabaran yang Zaaba lihat sebagai seorang yang memasarkan produk kesihatan? Ditambah dengan lambakan berbagai produk kesihatan di pasaran ketika ini?

Bagi saya yang penting dapatkan kelulusan KKM. Untuk produk keluaran kami, kesemuanya menggunakan 100% bahan asal tanpa campuran bahan lain. Sebagai contoh kapsul aprikot, bahannya adalah 100% biji aprikot yang dihancurkan, tiada bahan sampingan lain. Begitu juga dengan produk lain.

Bukan mudah nak dapat kelulusan KKM. Untuk produk pertama dapatkan kelulusan, ia ambil masa selama 3 tahun. Selepas berjaya dapat, baru saya berani pasarkan secara meluas.

Dalam hal ini, saya ambil tanggungjawab dengan produk yang dipasarkan dan perlu berlaku jujur dengan pelanggan kami. Jangan sesekali tambah bahan sampingan lain ke dalam produk. Bagi saya inilah kelebihan produk saya. Jujur memberitahu kandungan sebenar produk tanpa selindung.

12. Pernah rugi sebelum ini?

Pengalaman rugi masa cuba usahakan tanaman cendawan sebanyak RM2K. Penat ulang alik ke Melaka.

Dan saya pernah rugi RM70k sewaktu usahakan projek tanam timun. Habis duit yang dilaburkan. Tapi saya anggap ini sebagai pengalaman. Mulanya rasa down juga tapi saya cepat-cepat move on, ingatkan diri agar redha dengan apa yang berlaku.

13. Ada mentor?

Sehingga kini saya tiada mentor. Hanya suka baca kisah inspirasi usahawan yang berjaya. Saya suka pergi ke kelas-kelas tertentu contohnya kelas FB Ads dan kelas pemasaran. Balik saya cuba praktiskan. Saya lebih banyak buat ‘try and error‘.

14. Perancangan masa depan

Bagi tahun ini saya sasarkan produk saya berada di 200 farmasi seluruh negara. Saya bina perniagaan ini bukan untuk diri saya, tapi juga untuk keluarga saya.

Dengan keuntungan yang saya dapat, saya dapat balas jasa pakcik yang pernah pinjamkan motor sewaktu saya belajar dulu, dapat bawa mak ayah ke Mekah, dapat bagi duit kepada adik-adik yang masih belajar.

Impian saya atu hari nanti nak ada wisma ND Life.

15. Pegangan hidup

Saya gembira hidup sederhana dan tidak dikenali, pakai apa yang ada. Selebihnya saya mahu balas jasa ibubapa dan mereka yang pernah membantu sewaktu saya tiada apa-apa dulu. Sekarang pun saya rasa masih seperti biasa, bebas ke mana saja. Risau juga takut nanti dah keluar di Vocket jadi lain pula.

16. Pesanan buat para usahawan yang masih menapak

Ambil berat tentang trademark. Bila anda lihat jenama anda mula berkembang dan boleh pergi jauh, cepat-cepat daftar trademark.

Hidup sebagai usahawan ada masa kena tipu dan rugi. Jangan down lama-lama. Redha dan move on.