Pada 10 Oktober 2015, The Vocket telah mengadakan #vockettalk3, bertempat di MaGIC, Cyberjaya. Terdapat 5 orang panel dari pelbagai bidang telah membentangkan perkongsian tentang bagaimana mereka memulakan perniagaan. Salah seorang speaker yang terlibat ialah Nadhir Ashafiq iaitu pengasas sebuah solusi sektor logistik (lori) yang sedang meningkat naik dengan pantas, iaitu TheLorry.com. Sebelum ini kami ada berkongsi tentang beliau di sini.

Dua orang peserta, Tuan Hazimin Harun dan Tuan Mohd Faiz dengan baik hatinya telah membenarkan kami berkongsi semula nota mereka dengan pembaca Vocket. Kami telah gabungkan penulisan ini juga dengan nota yang kami ambil. Semoga penulisan di bawah membantu anda menjalankan startup pertama dengan lebih berilmu dan penuh keyakinan.

Kisah Orang Menang

nadhir-thelorry

Nadhir Ashafiq, pengasas TheLorry.com merupakan graduan Universiti Curtin, Australia. Beliau bekerja di CIMB Investment selama beberapa tahun, sebelum menjawat jawatan Pengurus Kewangan di Abda Aviation.

Beliau merupakan seorang yang agresif dan amat tidak suka melakukan sesuatu pekerjaan yang sama berulang kali dalam tempoh yang panjang. Maka beliau membuat keputusan untuk berhenti kerja dan mula membangunkan app pertama bernama Glokalise.

Glokalise adalah sebuah applikasi untuk kegunaan rakyat asing yang tinggal di sesebuah negara – dengan tujuan supaya mereka dapat berkomunikasi sesama mereka. Sebagai contoh, rakyat Malaysia yang tinggal di UK, boleh menggunakan applikasi Glokalise untuk berhimpun dalam satu bumbung yang sama secara maya.

Malang tidak berbau, selepas beberapa ketika, Glokalise GAGAL. Tiada seorang pun mahu menggunakan applikasi ini.

Punca kegagalan Glokalise ialah:

Menurut Nadhir, antara punca kegagalan Glokalise ialah:

1. Tidak turun padang untuk buat validasi produk (gagal buat kaji selidik).

2. Kos terlalu tinggi untuk projek pertama.

3. Produk Glokalise tidak diperlukan sebab sudah wujud applikasi lain yang menyelesaikan masalah yang mereka cuba selesaikan, iaitu – Whatsapp dan Facebook.

4. Syok sendiri, walhal orang lain tidak mahu gunakan applikasi ini pun.

Rentetan daripada peristiwa ini menjadikan Nadhir GAGAL terduduk. Buat beberapa ketika beliau berada dalam zaman kegelapan – malah ketika ini, beliau mengelakkan diri daripada menghadiri majlis kahwin untuk mengelakkan soalan-soalan yang beliau takuti, iaitu, “Buat apa sekarang?”

Idea TheLorry.com

Nadhir melihat bidang logistik masih lagi terlalu tradisional dan kurangnya inovasi dalam bidang ini. Pemandu-pemandu lori masih menampal iklan-iklan di pokok dan tiang lampu untuk mendapatkan pelanggan. Melihatkan situasi ini, akhirnya timbul idea beliau untuk mewujudkan TheLorry.com, iaitu sebuah solusi lengkap yang menghubungkan pelanggan dengan pemilik-pemilik lori.

Ketika projek Glokalise, Nadhir menghabiskan sehingga berpuluh ribu untuk mencipta applikasi itu dan kemudian mendapati tiada siapa pun mahu menggunakannya. Belajar daripada pengalaman lalu, Nadhir pada kali ini nekad membuat validasi dahulu.

Beliau membeli alamat domain TheLorry.com pada harga RM30 dan kemudian menyambungnya kepada satu laman Blogspot. Beliau belajar bagaimana untuk membangunkan borang online sendiri, dan kemudian meletakkannya di laman Blogspot tersebut. Beliau juga membelanjakan sedikit wang untuk Google Ads demi menarik bakal pelanggan ke website beliau. Ternyata, usaha beliau berhasil. Tempahan pertama diterima dari seorang pelajar Iran di Malaysia yang mahu berpindah. Tahulah Nadhir bahawa projek beliau kali ini mempunyai nilai sebenar, dan boleh pergi jauh.

Untuk memahami lagi industri, Nadhir sanggup bekerja sebagai kelindan lori selama beberapa bulan. Ternyata usaha beliau berbaloi, kerana beliau dapat mengenali ragam pelanggan, pemandu lori dan pemilik-pemilik syarikat. Dan dapat mengetahui “inside knowledge” yang boleh didapati hanya dengan berada dalam industri. TheLorry.com yang pada mulanya menyediakan perkhidmatan untuk pengguna akhir (B2C), kini sudah mula membekalkan perkhidmatan untuk pemilik-pemilik bisnes lain (B2B).

Pengajaran dari kejayaan TheLorry.com

Ketika ini, TheLorry.com sedang berkembang dengan pesat. Kejayaan laman web ini mendapatkan “traction” atau perhatian pasaran adalah disebabkan faktor-faktor berikut:

1. Misi jelas dan cipta USP produk

TheLorry.com jelas dengan misi mereka mahu mengubah industri logistik, khasnya lori, daripada cara tradisional kepada cara berteknologi tinggi. TheLorry mencipta solusi iaitu laman web yang mudah digunakan, tetapi berkesan menghubungkan pelanggan dengan pemandu lori.

2. Cari model perniagaan yang sesuai

Pada asalnya TheLorry menggunakan solusi dengan model Expedia. Melalui model ini, pelanggan akan memasukkan destinasi “From” dan “To”, dan TheLorry akan mencadangkan beberapa vendor (pemilik syarikat atau pemandu) lori serta harga yang ditawarkan. Cara ini hanya menghasilkan 1 tempahan sehari.

Perkara ini berlaku disebabkan pengguna akan mendapat nama vendor, buat carian dalam Google, dan telefon vendor itu secara terus. TheLorry juga menghadapi masalah ‘scalability’ untuk mendapatkan sebut harga daripada semua syarikat untuk semua destinasi dan isu ‘supply’, apabila vendor yang dipilih pelanggan tidak dapat membekalkan lori.

TheLorry akhirnya menggunakan model Uber, di mana TheLorry yang akan menentukan harga penuh mengikut jarak, tol dan kos-kos lain. Pusingan kerja juga dapat diberikan kepada pemandu lori dengan lebih adil dan ini menyelesaikan masalah ‘supply’ dari vendor lori.

3. Memulakan bisnes dengan gaya “lean startup”

Iaitu dengan modal minima dan sumber terhad. Laman web pertama hanya menggunakan Blogspot dan Google Ads.

4. Fahami keperluan sebenar pelanggan dan vendor.

Tahu proses apa yang boleh diautomasikan dan apa yang tidak.

5. Pastikan produk kita selesaikan masalah yang KETARA.

Tanyakan soalan ini sebelum bermula.

“Painkiller” atau “Vitamin”?

Adakah produk anda menyelesaikan masalah sebenar atau “nice to have”.

Density

Berapa ramai yang mahukan produk anda?

Pain

Adakah orang mengalami “kesakitan” dan sangat memerlukannya?

6. Pastikan solusi yang kita tawarkan adalah lebih bagus dan lebih efisyen daripada solusi sedia ada.

Adakah produk kita membantu – menambahkan pendapatan / mengurangkan kos / mempunyai “feel good factor” / dan mengurangkan “time consumption”.

7. Lancarkan produk dengan cepat dan belajar secepat mungkin.

8. Jangan bina startup dalam kepompong.

Networking. Rajin jumpa semua ‘stakeholder’ dan pemain industri.

9. Pencarian pengasas bersama atau “co-founder” umpama mencari pasangan hidup.

Cari mereka yang mempunyai visi, misi dan chemistry yang sama.

10. Untuk “tech startup”, jangan takut kalau tak pandai coding.

Banyak ilmu dalam web. Belajar sendiri kalau tak nak “outsource”.

11. Kualiti

Mazhab TheLorry: Sekiranya terpaksa menghadapi kerugian demi mempertahankan kualiti, teruskan. “Quality trumps over quantity”.

12. Jangan harapkan “work-life balance” dalam berbisnes.

“Restart” minda anda 5 kali sehari melalui solat.

13. Cari mentor yang terbukti berjaya.

Rezeki tidak datang bergolek, Nadhir berusaha mengenali mentornya kini, iaitu  Lee Ching Wei dari iMoney.com. Beliau mencari acara yang dihadiri oleh Lee, berkenalan dengan beliau dan mengajak Lee minum kopi bersama. Nadhir menceritakan tentang perjalanan TheLorry, dan akhirnya beliau diterima sebagai protege Lee.

Kisah yang penuh mencabar, tetapi penuh adventure. Kami doakan TheLorry terus maju jaya.

Sekian, semoga bermanfaat.

BACA: Bagaimana Lelaki Ini Membina Perniagaan Daripada 9 Telekung Hingga Ke-5 Cawangan Butik

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram