Penentangan terhadap pemerintahan kolonial di Malaysia bermula di Sabah oleh seorang pejuang tempatan, Panglima Datu Tating, lebih 200 tahun yang lalu.

Beliau adalah anak tempatan pertama yang mencabar pemerintahan penjajah, khususnya British, di Sabah.

Datu Tating adalah orang bertanggungjawab membuka jalan bagi para pemimpin suku kaum lain untuk ikut serta dalam menentang pemerintahan kolonial yang jelas menindas.

Datu Tating merupakan anak kepada saudagar Tionghua yang berhijrah ke semenanjung dan berkahwin dengan Dayang Meria, iaitu puteri kepada keturunan Puteri Tidong.

Sejak dari kecil lagi, dikhabarkan telah tumbuh dibahagian umbun-umbun beliau seperti batu putih (batu granit) dan digelarkan sebagai Tanduk Datu Tating.

Hubungan yang rapat telah dibina di antara keluarga beliau dan juga Maharaja Adinda. Disebabkan itu, Maharaja Adinda telah diamanahkan untuk menyimpan Tanduk Datu Tating apabila beliau meninggal dunia.

Pahlawan Yang Dilupakan

Bagi Baszley Bee Basrah Bee, seorang Pensyarah Sains Sosial di Universiti Malaysia Sabah (UMS), perlawanan di antara penjajah Inggeris dan masyarakat tempatan berlaku lebih awal di Sabah berbanding Pulau Pinang, Singapura dan Melaka.

Tambah beliau lagi, sumbangan Datu Tating diabaikan oleh para sejarawan dan masyarakat setempat disebabkan percanggahan fakta sejarah serta persepsi masyarakat. Ada beberapa sejarawan menyatakan bahawa Datu Tating bukan seorang anak tempatan kerana beliau tergolong dalam kalangan Suku Tausoq, salah satu suku yang kebanyakkan ditemui di pulau-pulau sekitar selatan Filipina.

Utara Borneo sebelum tahun 1881 adalah sebahagian daripada Kesultanan Brunei dan Sulu. Bagi beliau, pandangan lain bahawa Tating adalah orang luar dan bukannya masyarakat Sabah tidak dapat dipertimbangkan kerana Utara Borneo sewaktu itu berada di bawah pemerintahan kedua-dua kesultanan.

Orang Pertama Yang Menentang British

Sejarah mencatatkan penentangan terhadap penjajah Inggeris telah dimulakan oleh Datu Tating lebih awal lagi sebelum Datu Paduka Mat Salleh.

Kedatangan British ke Sabah bermula pada tahun 1763 melalui Alexander Darympl mewakili Syarikat Inggeris East India (EEIC) bagi mencabar kuasa perdagangan yang telah dibina lebih awal oleh Sepanyol dan Belanda.

Pada tahun 1773, sebuah kubu dibina oleh British dan dikendalikan oleh 400 orang yang terdiri daripada orang Eropah, Sepoi dan Bugis. Sembilan meriam telah dibina di beberapa tempat strategik.

Tanah jajahan ini bergerak perlahan pada mulanya, tetapi sejak kedatangan John Herbert sebagai Residen menyaksikan perkembangan pesat berlaku di pulau tersebut selepas John Herbert berjaya mendapat hak perdagangan dari Sultan Brunei dan mendatangkan rasa kurang senang masyarakat setempat.

Datu Tating dikhabarkan mempunyai hubungan rapat dengan pihak British pada mulanya apabila mendapat kontrak untuk membersihkan hutan serta membina infrastruktur untuk EEIC di Balambangan.

Tetapi disebabkan perangai penjajah British yang tidak langsung menghormati adat istiadat tempatan yang telah dipratikkan oleh Suku Tausoq dan Iranunu dan cerita daripada masyarakat tempatan bahawa John Herbert telah bertindak kurang ajar dengan mengacukan senjata ke arah Datu Tating telah membuakkan amarah masyarakat tempatan.

Pada 5 Mac 1775, Datu Tating mengetuai pasukannya menentang penjajahan British di Pulau Balambangan, berdekatan Kudat.

Sejak daripada itu, kubu British tidak pernah aman daripada serangan yang diketuai oleh Datu Tating. Beliau telah berjaya menawan beberapa kubu, barangan, senjata, tiga bot serta kapal perang EEIC ‘Phoenix’.

Sehinggalah pada November 1805, di bawah arahan Lord Wallesley, beliau memerintah agar kubu itu ditutup, manakala John Herbert berjaya melarikan diri ke Labuan.

Ilmu pengetahuan beliau yang meluas tentang kubu yang dibina oleh British telah menjadikan beliau pemimpin yang digeruni oleh lawan dan kawan.

Hakikatnya beliau hanya mengambil masa tujuh jam untuk merancang segala strategi perang.

Sejak daripada itu, penentangan terhadap British mula menular di bahagian lain termasuklah Tampasuk, Teluk Marudu dan Relau.