Keazaman yang tinggi dan sikap tidak mudah putus asa menjadi kunci kejayaan Mohd Puzi Dolah menamatkan larian sejauh 360km dengan catatan masa 140 jam 23 minit. Keadaan fizikal yang tidak cergas dan masih dalam fasa pemulihan dari frostbite tidak menghalang beliau yang berusia 52 tahun ini untuk menghabiskan perlumbaan larian di Ultra Swiss Peaks Trails 2018.

Anda pasti ketahui bahawa berlari di gunung tidak semudah berlari di atas jalan raya atau trek biasa kerana memerlukan persediaan yang rapi dan kekuatan fizikal, malah tahap kesihatan juga harus dalam keadaan yang memberangsangkan.

Bagi saudara Puzi, meskipun beliau berada dalam keadaan fizikal yang tidak cergas dan masih lagi dalam fasa pemulihan daripada masalah frostbite, beliau yakin yang beliau dapat menamatkan perlumbaan di Ultra Swiss Peaks Trails 2018.

image1

Sebelum ini, beliau pernah kecewa apabila tidak dapat meneruskan perlumbaan dalam Spine Race yang berlangsung pada bulan Januari lalu disebabkan kesan daripada frosbite.

Menerusi perlumbaan ini beliau berazam untuk menamatkan acara Swiss Peaks Trail dan berjaya membuktikannya dengan menjadi Rakyat Malaysia pertama yang tiba di garisan penamat.

Bagi beliau, jarak perlumbaan yang panjang iaitu 360km dan jumlah ketinggian 26,000 meter serta pastinya pemandangan yang menakjubkan berlatar belakangkan pergunungan dan tasik di sepanjang perjalanan menjadi tarikan untuk meneruskan perlumbaan di Swiss Peaks Trail.

Perlumbaan dalam Swiss Peaks Trail ini bukanlah sesuatu yang mudah buatnya kerana pada kilometer ke-15 lagi beliau sudah mengalami sakit perut dan kerap muntah. Malah, ianya berterusan sehingga ke garisan penamat. Beliau juga diminta untuk berhenti daripada meneruskan perlumbaan oleh pegawai perubatan namun berbekalkan semangat yang tinggi, beliau meneruskan juga.

Difahamkan beliau dibenarkan untuk meneruskan perlumbaan tersebut dengan syarat untuk melaporkan diri kepada pasukan perubatan di setiap checkpoint. Seterusnya, beliau dipaksa berehat selama dua jam di checkpoint kedua iaitu pada kilometer ke-26 dan beberapa checkpoint berikutnya malah beliau diminta banyak kali untuk berhenti berehat supaya dapat memantau degupan jantung dan tekanan darah.

Beliau yang pernah berpengalaman berhadapan keadaan sebegini dari perlumbaan sebelum ini, beliau bersikap tenang dan yakin dapat menamatkan perlumbaan tersebut.

“Selain keadaan diri yang tidak cergas, cabaran perlumbaan ini adalah terdapat trail yang berbatu dan curam sehingga menyukarkan usaha mendaki dan menurun serta memerlukan kemahiran memanjat.” ujar Puzi Dolah.

Untuk pengetahuan anda, beliau mula menceburkan diri dalam dunia perlumbaan larian dari tahun 1990 dan mula bergiat serius kearah perlumbaan ultra denai dan gunung pada tahun 2011 dengan menyertai ultra trail yang pertama iaitu The Most Beautiful Thing (TMBT) 100km di Sabah.

Kemudian,  beliau terus aktif sehingga kini dan berjaya menamatkan perlumbaan The Thames Path 100 (100 batu) di United Kingdom, Tor Des Geants (TDG) 330km di Coumayear Italy 2014, Transpyrenea 866km di Perancis 2016 dan beberapa perlumbaan ultra denai dan gunung di Hong Kong, China, Indonesia, Thailand dan Filipina. Beliau juga menjadi The only Asian yang berjaya menamatkan perlumbaan Transpyrenea 866km pada tahun 2016.

Tambahnya lagi, Puzi berharap untuk perlumbaan yang akan datang bahawa akan ada pihak koporat atau badan NGO yang sudi bekerjasama dengan beliau untuk mengumpul dana untuk disumbangkan kepada pihak yang memerlukan seperti anak yatim, rumah orang tua dan lain-lain kerana beliau sudah merancang menyertai beberapa perlumbaan lagi.

Semangat diri yang tinggi dalam diri Puzi Dolah dan tidak mudah putus asa adalah satu sikap yang harus anda contohi tidak kira dalam apa jua bidang atau apa jua yang anda lakukan. Selamat maju jaya juga diucapkan kepada Puzi Dolah dalam perlumbaan akan datang.