Mogul fesyen antarabangsa ini tidak belajar tentang fesyen. Dia hanya bermula selepas menamatkan ijazah perniagaan dan belajar berniaga secara berkuli pada waktu petang. Semasa bekerja pagi dan petang, dia mula merekabentuk tali leher lebar, sedangkan pada waktu itu orang hanya memakai tali leher yang halus dan tidak bercorak. Kemudian dengan beraninya dia telah membuat pinjaman sebanyak US$50,000 untuk membina syarikat fesyen Polo Fashions pada 1968.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Inilah kisah Ralph Lauren, mogul fesyen terkenal di dunia. Namanya turut dijadikan jenama produk ciptaannya.

Awal Kehidupan Sebelum Jadi Mogul Fesyen

Dilahirkan di bandar New York pada 14 Oktober 1939, Ralph Lauren atau nama sebenarnya Ralph Lifshitz adalah anak lelaki bongsu kepada pendatang asing keturunan Ashkenazi Jewish dari Belarus yang tinggal di Bronx. Dia membesar dan tinggal disitu hingga tahun 1950an.

Semasa berusia 12 tahun, dia sanggup bekerja selepas waktu sekolah untuk mengumpul duit dan membeli pakaian mahal. Dia juga menjual tali leher buatan tangan kepada rakan-rakan sekolahnya.

Ketika zaman remajanya, Ralph Lauren banyak menghabiskan masa di panggung wayang untuk lari dari kehidupan miskin sebentar. Disitu dia suka mengimpikan kehidupan yang lebih baik seperti filem-filem yang ditontoninya. Ralph Lauren berfantasi tentang kehidupan yang dia inginkan.

“Wawasan itu, kemampuan untuk melangkah ke dalam dunia fantasi itu, Ralph dibawa ke dunia perniagaan fesyen” – catatan di dalam buku biografi Genuine Authentic: The Real Life of Ralph Lauren.

Pada umur 16 tahun, Ralph Lauren telah menukarkan nama keluarganya Lifshitz kepada Lauren kerana sering diejek dan dibuli di sekolah. Di dalam buku tahunan Sekolah Tinggi DeWitt Clinton 1957, dia telah menulis salah satu matlamat hidupnya adalah menjadi seorang jutawan.

Tanpa dia sedar, minat berpakaian mahal dan kemas, pengalaman menjual tali leher buatan sendiri, matlamat hidup sebagai jutawan dan impian kehidupan seperti dalam filem telah mendorong kejayaannya di dalam bidang keusahawanan.

Ralph Lauren mendapat pendidikan perniagaan selama dua tahun di Baruch College, Manhattan. Selepas bertugas di dalam pasukan Tentera Darat, Lauren ke bandar New York bersama isteri yang baru dikahwininya. Dia mula bekerja sebagai kerani jualan di Brooks Brothers dan kemudiannya mendapat kerja di syarikat pembuatan tali leher, A. Rivetz & Co. Ralph Lauren mula mereka tali leher jenis lebar yang jauh berbeza dengan trend waktu itu selepas menerima pengalaman fesyen di A. Rivetz & Co pada 1967.

Polo Mengubah Hidup Ralph Lauren

Perlawanan polo pertama yang disertainya telah membantu membentuk perspektif Lauren dan membangkitkan semangat keusahawanannya. Ia adalah satu pengalaman yang memberi transformasi besar di dalam hidup Lauren.

Rakan yang membawa Lauren ke perlawanan polo tersebut menyatakan mereka didedahkan dengan pelbagai perkara menarik di situ:

“Barangan perak, kulit, kuda, blondes slinky tinggi dengan topi besar, dan masyarakat kelas atasan yang kita benar-benar tidak tahu tentangnya.” jelas Warren Helstein.

Perlawanan dan majlis sukan polo itu telah memberi inspirasi kepada Ralph Lauren untuk mula membangunkan satu jenama yang elegan untuk golongan atasan. Ia adalah Polo Ralph Lauren.

Tindakan radikal Ralph Lauren menubuhkan syarikat fesyen dan mencipta tali leher berwarna-warni dan bersaiz lebar adalah satu keputusan yang berisiko pada waktu itu. Namun begitu pulangan yang diterima oleh Lauren adalah lumayan apabila dia berjaya menjual tali leher dengan nilaian US$500,000 dalam satu tahun kepada Bloomingdale’s dan para pelanggannya.

Pada 1972, 2 tahun selepas pelancaran barisan fesyen Ralph Lauren dan setahun selepas koleksi pertama untuk wanita, Lauren telah memperkenalkan baju berkolar berlengan pendek untuk bersukan dengan simbol pemain polo bersulam digunakan sebagai logo jenama kerana Ralph Lauren menyukai sukan walaupun dia jarang sekali bermain polo di padang.

Sejak itu Ralph Lauren meneruskan langkahnya di dalam bidang fesyen sehingga menjadi kaya-raya. Lauren akan memastikan rekaannya tidak akan dapat dibeli di mana-mana kerana ia diposisikan sebagai fesyen eksklusif.

Letak Jawatan CEO

Pada penghujung September 2015, Ralph Lauren dengan kekayaan bernilai US$7 billion telah memutuskan untuk meletak jawatan sebagai ketua empayar fesyen (CEO) Ralph Lauren Corporation pada usia 75 tahun. Stefan Larsson, presiden Old Navy akan menggantikan tempatnya pada November ini dan menganggap ia satu langkah “kerjasama” walaupun Larsson perlu melapor kepada Lauren.

“Apabila mereka mula merekabentuk benda yang saya tidak faham, saya akan berhenti. Tetapi saya tidak rasa seperti saya mengundurkan diri sekarang,” jelas Lauren.

Lauren akan tetap aktif di syarikat sebagai pengerusi eksekutif dan ketua pegawai kreatif. Dia masih memegang kuat motto “kita tidak menjual barang, kita jual cara hidup” sepanjang dia berbisnes.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram