Beberapa bulan lepas Vocket ada berkongsi tentang Alex, gadis Rusia yang membaca Vocket setiap hari untuk mengukuhkan penguasaan Bahasa Melayu beliau.

Baca: Gadis Rusia Baca Vocket Setiap Hari Kerana Satu Sebab Ini

MiTEC
HYPE
‘Hi HOME Property Event’ Acara Hartanah Unik Yang Akan Berlangsung Pada 25 Julai 2019
Baca lagi →

Nampaknya ia tidak terhenti di situ saja. Kali ini kami ingin kenalkan anda dengan seorag lagi mat salleh yang turut menjadikan Vocket sebagai salah satu bahan baacan untuk menguasai Bahasa Melayu beliau.

Mari berkenalan dengan Rhys William, warga Britain yang kini sedang menetap di Malaysia. Ikuti temubual kami  bersama Rhys di bawah.

mat-saleh-ari-makan-3

Vocket: Hi Rhys, terima kasih kerana sudi ditemuramah dan berkongsi kisah anda dengan pembaca Vocket. Kami difahamkan Rhys fasih berbahasa Melayu serta rajin berkongsi pengalaman di blog peribadi Rhys sewaktu di Malaysia.

Kami di Vocket sangat teruja untuk tahu dengan lebih lanjut dan berkongsi dengan pembaca kami.

Rhys: Terima kasih banyak-banyak. Maafkan saya kalau ayat saya tak betul atau terbalik, walaupun saya faham Bahasa Melayu, saya tak pandai tatabahasa, so mungkin ayat tak betul.

Baiklah. Berikut adalah soalannya:

Vocket: Boleh berikan sedikit maklumat latar belakang Rhys. Nama penuh, berasal negara mana dan daerah mana, latar belakang pendidikan dan pekerjaan?

Rhys: Nama saya Rhys William James dan saya asal dari UK. Kat UK saya tinggal tak jauh dari London, lebih kurang satu jam kalau naik tren.

Nama bandar saya ‘Redhill’ (Bukit Merah). Saya kerja bisnes sendiri, macam entrepreneur, dan mula bisnes terus lepas keluar college umur 18 tahun. Bisnes saya bina website untuk bisnes dan entrepreneur lain.

Vocket: Sudah berapa lama Rhys menetap di Malaysia?

Rhys: Sekarang saya dah ada kat Malaysia 2 tahun, saya pindah ke sini bulan 9 tahun 2013.

mat-saleh-cari-makan-5

Vocket: Apa yang buatkan Rhys menetap lama di sini?

Rhys: Sebenarnya, saya cuti kat sini tahun 2012. Satu malam bila tengah cuti saya duduk dan minum kat Kuala Lumpur dan boleh nampak pemandangan KLCC, masa tu saya rasa memang nak cuba tinggal kat sini.

Lepas tu saya mulakan misi untuk tinggal kat sini, dan lepas 1 tahun saya balik sini. Bila saya cuti kat Malaysia masa tu saya jatuh cinta dengan negara ni.

Vocket: Berapa lama Rhys bercadang untuk tinggal di Malaysia?

Rhys: Saya harap saya boleh tinggal kat sini banyak tahun lagi, sebab saya memang suka Malaysia. Melainkan ada apa-apa terjadi dan saya mesti balik UK.

Vocket: Bagaimana Rhys mula belajar Bahasa Melayu dan apakah yang mendorong Rhys untuk kuasai Bahasa ini?

Rhys: Saya rasa kalau nak pindah ke negara lain, dan kalau nak meneroka dan memahami semua benda pasal negara tu lebih baik kalau boleh cakap bahasa negara tu.

Walaupun kat Malaysia orang cakap Bahasa Inggeris bagus, saya rasa lebih baik kalau boleh sembang dalam Bahasa Melayu. Jadi, bila bersedia untuk pindah ke sini saya mula belajar bahasa sini.

Dulu saya mula belajar perkataan senang sahaja macam nombor dan tanya soalan sahaja. Lepas tu saya praktis banyak, dan sikit-sikit tambah perkataan lebih susah sampai boleh faham banyak perkataan.

mat-saleh-cari-makan

mat-saleh-cari-makan-2

Vocket: Berapa lama masa yang diambil oleh Rhys untuk belajar Bahasa Melayu sehingga fasih?

Rhys: Sebenarnya untuk jadi fasih ambil 1 tahun lebih. Yang ni sebab mesti praktis banyak, dan belajar slang dan perkataan orang kerap guna.

Tahun pertama saya kat sini saya jarang cakap Bahasa Melayu, saya cuma dengar orang lain cakap sahaja. Lepas tu saya tulis banyak nota pasal perkataan dan slang diaorang.

Vocket: Apakah cabaran utama yang Rhys hadapi untuk menguasai Bahasa Melayu?

Rhys: Kalau saya cakap terus terang, cabaran utama ialah saya tak berani untuk cakap dengan orang dari sini, sebab rasa malu sangat. Saya selalu risau saya cakap tak betul atau dia tak faham saya.

Tambahan lagi cabaran, sebab kat sini semua orang fasih Bahasa Inggeris dia cakap Bahasa Inggeris kat saya. Kalau jumpa kawan-kawan diaorang selalu cakap Bahasa Inggeris dan saya tak rasa berani untuk cakap Bahasa Melayu dengan diaorang.

Tapi akhirnya saya kumpulkan berani untuk cakap Bahasa Melayu, dan cuba cakap Bahasa Melayu hari-hari. Lepas 6 bulan macam ni saya tak rasa malu lagi dan tak risau dan boleh cakap Bahasa Melayu tanpa masalah.

Vocket: Bagaimana penerimaan keluarga dan rakan-rakan Rhys apabila dapat tahu keinginan Rhys untuk kuasai Bahasa Melayu?

Rhys: Dulu keluarga saya tak tahu saya cakap Bahasa Melayu, dan dia tak pernah melawat sini jadi dia tak dengar saya cakap Bahasa Melayu. Tapi lepas saya mula blog saya, dan dia baca tulisan saya dalam Bahasa Melayu dia kata dia rasa kagum dengan saya.

Vocket: Bagaimana penguasaan Bahasa Melayu Rhys kini?

Rhys: Saya rasa masih boleh tingkatkan Bahasa Melayu saya, sebab saya rasa saya belum fasih 100 peratus.

Walaupun saya boleh sembang dalam Bahasa Melayu, kadang-kadang saya tak faham perkataan atau slang orang, terutamanya kalau dia cakap laju.

Saya rasa kalau mengembangkan pengetahuan perkataan saya akan jadi lebih fasih dan berkuasa dalam Bahasa Melayu.

mat-saleh-cari-makan-4

Durian ialah buah tropika saya paling suka dan makan banyak kali sebulan (kalau musim).

mat-saleh-cari-makan-10

Vocket: Ada kisah menarik atau lucu yang Rhys alami semenjak dari belajar kuasai Bahasa Melayu sehingga kini?

Rhys: Saya ada banyak cerita kelakar sejak saya mula cakap Bahasa Melayu. Biasanya cerita tu ialah sebab saya salah faham orang atau orang lain salah faham saya. Kalau mesti pilih satu cerita yang kelakar, saya pilih satu pasal masa saya nak beli baju dicetak.

Cerita ni adalah kat Bazar Malam kat Pusat Bandar Johor Bahru. Saya nak beli baju dengan tulisan jawi kat depan (jawi tu cakap ‘Johor Darul Takzim’). Tapi sebab saya mesti beli baju saiz XXL, kadang-kadang susah sikit cari saiz saya.

Kat bazar hari tu saya nampak satu makcik jual baju jenis saya nak, tapi dia hanya ada saiz XL. Mula-mula saya tanya dia “Kak, ada jual baju jenis ni tapi saiz XXL ke tak?”, dia jawab dia ada tapi dia mesti cetak baju tu dulu. Lepas tu saya tanya dia harga, dan dia jawab 20 ringgit.

Pada ketika itu saya fikir nak berunding pasal harga sikit, sebab kat gerai lain di bazar tu harga baju 15 ringgit sahaja. Saya cakap kat makcik tu;

“Boleh buat 15 ke?”

Dia kata boleh tapi mesti tunggu anak dia balik.

Semuanya rasa ok dan saya duduk tunggu anak dia datang. Tak lama selepas tu anak dia datang dan cakap boleh buat 15. Saya rasa bahagia sikit sebab dah berunding harga dan duduk kat tepi gerai dan tengok dia cetakkan baju saya.

Bila dia tengah cetak baju saya, adik dia tengah tengok-tengok dalam beg-beg kat belakang gerai dan ambil banyak baju XXL kosong dan letak kat depan sebelah pencetak. Saya tak fikir apa-apa pasal ni.

Lepas abang tu habis cetak baju dia tanya say;

“Abang, baju macam ni ok?”, saya jawab kat dia “Cun (cantik), terima kasih bro”.

Lepas tu abang tu tanya “So nak lagi 14 helai macam ni kan?” Masa tu saya fikir alamak dan tiba-tiba menyedari tadi makcik tu fikir saya nak 15 helai baju, bukan RM15 satu helai baju!

Bukan salah dia, salah tu saya punya sebab saya cakap “Boleh buat 15” bukan “Boleh buat 15 ringgit”. Nasib baik, lepas saya jelaskan kat diaorang saya salah faham dia ketawa sikit dan cakap tak ada masalah.

Saya bayar RM20 dan ambil baju saya. Nasib baik abang tu tanya saya sebelum dia cetakkan baju lain, kalau tak saya akan membeli 15 helai baju harga RM20 sehelai.

mat-saleh-cari-makan-9

Nama saya dalam Tulisan Khat Jawi. Cantik tak?

Vocket: Ada kenangan manis yang ingin Rhys kongsikan semenjak berjaya kuasai Bahasa Melayu?

Rhys: Saya pun ada banyak kenangan manis sejak pindah ke Malaysia, dan saya harap saya akan ada banyak lagi pengalaman manis lepas ni.

Yang kenangan paling manis, ialah bila saya jumpa kumpulan orang untuk pergi hiking dengan saya. Saya jenis orang suka pergi luar rumah dan pencinta alam, dan saya tahu ada banyak tempat alam dan indah kat Malaysia.

Tapi bila saya baru sampai sini saya tak ada sesiapa untuk pergi dengan saya. Saya menyertai banyak group kat Facebook, tapi tak berani untuk post dan cari orang untuk pergi hiking dengan saya (macam saya cakap tadi, masa tu saya malu sikit bila cakap Bahasa Melayu).

Tapi akhirnya saya kumpulkan berani dan post dalam group hiking kat facebook yang saya ingin cari orang pergi hiking bersama. Ada ramai orang jawab saya dan menawarkan pergi hiking dengan saya.

mat-saleh-cari-makan-6

mat-saleh-cari-makan-7

Sekarang kita ada satu kumpulan whatsapp dan kita pergi hiking bersama beberapa kali sebulan. Diaorang memang mesra, dan saya rasa diterima macam kaum sendiri.

Yang ni kenangan paling manis, sebab walaupun saya ada rupa lain dan kitaorang tak kenal lama, kita boleh pergi hiking dan lepak bersama macam kawan-kawan dah kenal banyak tahun.

Vocket: Selain daripada menulis di blog, apakah cara lain yang Rhys lakukan untuk mengukuhkan lagi penguasaan Bahasa Melayu Rhys?

Rhys: Untuk kukuhkan Bahasa Melayu saya buat banyak benda selain dari tulis blog. Setiap hari saya baca surat khabar atau website Bahasa Melayu (macam Vocket. Sebenarnya cikgu Bahasa Melayu saya rekomen saya baca Vocket bila baru belajar Bahasa Melayu).

Sekarang saya cuba cakap Bahasa Melayu dengan orang lain pada setiap peluang, pergi pasar malam untuk beli barang dan sembang dengan orang peniaga kat sana.

Saya tengok drama melayu kat TV3, tengok wayang Melayu dan dengar radio Melayu juga. Saya percaya kalau cakap, baca atau dengar Bahasa Melayu hari-hari saya akan menguasainya tidak lama lagi.

Vocket: Ada info atau perkara lain yang ingin Rhys kongsikan?

Rhys: Saya nak kongsikan betapa banyak saya rasa diterima kat Malaysia dari orang sini dan negara ni. Kalau ia bukan untuk semua orang tolong saya kat sini dan juga orang tolong saya kukuhkan Bahasa Melayu saya takkan jadi fasih macam sekarang.

Saya memang rasa negara ni ada banyak tempat dan benda menarik dan saya tak sabar untuk menemui semua. Saya selalu suka bila orang bagi saya cadangan tempat menarik atau makanan sedap.

Vocket: Apa pandangan Rhys tentang orang-orang Malaysia?

Rhys: Saya rasa orang Malaysia mesra sangat. Bila saya cakap dengan diaorang (dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris) diaorang selalu senyum dan suka tolong saya. Kalau saya cakap Bahasa Melayu dengan dia senyum dia sampai terlinga.

Satu benda saya suka pasal orang Malaysia ialah diaorang selalu panggil orang lain macam dia keluarga. Contoh, diaorang panggil orang lain ‘Kakak, Abang, Pakcik, Makcik’ dan lain-lain.

Kat bawah ni saya kongsikan video pertama yang saya buat dalam Bahasa Melayu.

Dalam video ni saya cakap pasal 4 sebab saya sayang Malaysia.

Sebenarnya saya ada banyak lagi sebab-sebab (macam lebih dari 10) kenapa saya sukakan Malaysia tapi tak cukup masa untuk cakap pasal semua dalam satu video je.

Saya harap korang suka video ni.

Anda boleh ikuti perkongsian Rhys dan perkembangan terkini tentang penguasaan Bahasa Melayu beliau di MatSallehCariMakan.com

Baca lagi: Cinta Berputik Buat Pegawai Wanita Rusia Yang Bekerja Di Malaysia Ini Tidak Mahu Balik

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

Anda Mungkin Suka