Pengguna setia media sosial pasti tidak asing lagi dengan nama Nas Daily,seorang vlogger dari Israel dengan perkongsian video 1 minit mengenai cerita atau kisah perjalanan beliau di sesebuah negara ketika melancong atau menghadiri jemputan oleh pihak tertentu.

Terbaharu, Nas atau nama sebenarnya Nuseir Yassin berkongsi video mengenai seorang lelaki yang diketahui ramai dengan kisah ‘The Terminal’ di dunia nyata. Umum mengetahui kisah Hassan Kontar yang ‘terperangkap’ di KLIA2 semenjak 6 bulan yang lalu. Video ini terhasil dengan bantuan seorang rakan Nas untuk merakam kerana beliau sendiri merupakan seorang pemegang pasport Israel.

Menurut perkongsian video tersebut, kini Hassan mempunyai sinar baharu untuk memulakan kehidupan baharunya apabila sekumpulan sukarelawan dari Kanada sedang berusaha untuk mendapatkan status pelarian yang sah di negara tersebut. Namun untuk mengecap ‘Kebebasan’ beliau terpaksa menunggu selesainya keseluruhan proses tersebut selama 26 bulan lagi.

Kerajaan Malaysia pernah menawarkan status pelarian di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) tetapi beliau menolaknya kerana beliau tidak akan dapat mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan dengan status tersebut.

Diharapkan agar segala urusan Hassan dipermudahkan dan berjaya membina hidup baharu di Kanada nanti.