Dahulu kita dikejutkan dengan nama Dr. Afifah, kemudian Dr. Adli dan terbaru pula ialah Dr. Nurul Huda. Ada beberapa persamaan di antara mereka.

Pertama, ketiga-tiganya adalah doktor perubatan dan kedua, ketiga-tiganya meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya sewaktu pulang daripada bertugas di hospital atau dalam perjalanan bertugas ke hospital.

Bahkan apa yang lebih menyayatkan hati ialah Dr. Afifah, begitu juga dengan Dr. Nurul Huda dilaporkan baru sahaja selesai bertugas di atas panggilan (On-call).

Dr. Nurul Huda juga baru sahaja selesai menduduki peperiksaan sarjana klinikal paediatrik di USM. Sedangkan arwah berkorban waktu, keringat, keluarga, anak-anak untuk kesihatan anak-anak lain, arwah telah pergi meninggalkan suami dan anak-anaknya sendiri.

Sebelum menyentuh lebih lanjut mengenai isu ini, ingin saya menarik perhatian semua tentang perjalanan perkembangan karier seorang doktor pakar. Ia bermula seawal sekolah perubatan lagi.

Kos bagi menghasilkan seorang doktor perubatan berjumlah kurang lebih sejuta ringgit (berbeza mengikut universiti dan negara pengajian) memakan masa lima ke enam tahun.

Kemudian, mereka wajib menjalani latihan siswazah selama dua tahun sebelum diikuti setahun lagi sebagai pegawai perubatan perkhidmatan wajib. Sesudah itu sahajalah baru mereka berpeluang memohon untuk kemasukkan program kepakaran.

Harus diingat juga, pengajian pascasiswazah bagi doktor perubatan ini tidaklah sebagaimana pengajian pascasiswazah lain apabila mereka tetap terus perlu bekerja pada masa yang sama belajar menyudahi peperiksaan dan menulis tesis yang memakan masa selama empat tahun (itu jika Graduate On-Time).

Sedangkan tempat ke program kepakaran sangat terhad tetapi permintaan yang tinggi, dan kadar kegagalan relatifnya tinggi juga berbeza mengikut displin mengheret masa dihabiskan begitu lama untuk seseorang itu menjadi doktor pakar.

Bayangkan berapa tahun telah diperuntukkan bermula daripada sekolah perubatan, latihan siswazah, pegawai perubatan sehinggalah ke latihan kepakaran.

Jesteru, kehilangan tiga insan ini adalah cukup memilukan. Anak-anak kecil kehilangan ibu dan ayah, suami kehilangan isteri, isteri kehilangan suami, ibubapa kehilangan anak dan terpenting masyarakat dan negara kehilangan aset yang sangat berharga; doktor perubatan yang berilmu, berkemahiran tinggi dan sangat berdedikasi (ini jelas daripada limpahan kata-kata yang baik daripada saudara, dan rakan sekerja mereka)

Terdapat dua perkara pokok. Pertama, commuting accident dan yang kedua ialah fatigue management. Sementelahan kemalangan di tempat kerja semakin berkurangan, work-related commuting accident semakin meningkat saban tahun di mana sahaja, termasuklah Malaysia.

Bilangan commuting accidents menunjukkan peningkatan sebanyak 49% antara tahun 2007 ke 2012 (Socso Annual Report). Dilaporkan juga pada tahun 2011, terdapat kurang lebih 3 work-related deaths setiap hari dan dua daripada tiga tersebut adalah disebabkan oleh commuting accidents.

Commuting accidents bermaksud kemalangan semasa dalam perjalanan lazim dan munasabah sewaktu pergi dan balik dari tempat kediaman ke tempat bertugas. Banyak kajian telah dilakukan tentang commuting accidents termasuk juga yang melibatkan mereka yang bertugas di sektor kesihatan.

Telah dilaporkan doktor yang bertugas melebihi 48 jam seminggu adalah 5 kali ganda berisiko untuk terlibat di dalam kemalangan ketika pemanduan berbanding rakan sejawat yang kurang stress.

Dilaporkan juga terdapatnya hubungan antara jururawat di Amerika Syarikat yang bertugas secara syif 12 jam dengan kecenderungan berlakunya commuting accidents ( Auvil-Novak, 1996).

Manakala Barger et. al, 2005 pula melaporkan long working hours membawa kepada berlakunya lebih banyak kemalangan di kalangan USA house doctors.

Menyentuh hal ini, kita tidak dapat nafikan walau berdebat tanpa henti soal yang berulang kali tentang kelesuan atau burn out di kalangan petugas kesihatan/doktor.

Bukan sahaja soal self-scarificing doctors, doktor atau petugas kesihatan yang kelesuan juga memberi impak kepada risiko keselematan pesakit seperti berlakunya medication error dan sebagainya.

Burnout itu sendiri seperti yang difahami, bukanlah semata-mata tekanan yang dialami oleh seseorang doktor tetapi ketidakkeupayaan seseorang doktor untuk recover ketika waktu ‘time-off’ mereka selepas bertugas. Ada tiga ciri atau simptom utama burnout :

i. Kelesuan mental dan fizikal sehingga tidak berupaya untuk ‘recover’ dan ‘recharge’ ketika waktu tidak bekerja.

ii. Depersonalisasi seperti perubahan sikap negatif, sarkastik, sinikal terhadap rakan sekerja, pesakit dan lain-lain.

iii. Kurangnya rasa ‘personal accomplishment’ dengan cenderung melihat kepada sesuatu pekerjaan sebagai sesuatu yang negatif dan tidak membawa erti apa-apa.

Banyak juga kajian serata dunia merentasi tahun yang melihat kepada prevalens dan peratusan burnout di kalangan doktor.

Sesetengahnya termasuk di dalam ruang lingkup yang besar keseluruhan anggota kesihatan. Tidak mengejutkan apabila ada yang mencecah sehingga 40-60%. Tetapi adalah mengecewakan saban tahun perkara yang sama tetap berulang.

Sekali lagi, sumber manusia adalah aset yang paling bernilai dan berharga apatah lagi buat sesebuah kementerian seperti Kementerian Kesihatan Malaysia sementelahan memberi perkhidmatan adalah core businessnya.

Setelah banyaknya kemalangan yang meragut nyawa ini berlaku, seharusnya satu garis panduan yang jelas dan nyata tentang pengurusan kelesuan (fatigue management) dilakukan oleh KKM. Dan di masa yang sama usaha yang giat perlu dilakukan untuk mengurangkan risiko (risk mitigation) berkenaan commuting accidents perlu dilakukan dengan segera.

Berbalik kepada persoalan yang sama sekali lagi, berapa ramai nyawa yang kita nak pertaruhkan lagi sedangkan satu nyawa itu sendiri nilainya tiada bertukar ganti.

Alfatihah.
Khairil Idham