Media Prima Audio (MPA) hari ini mengesahkan Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan mula bertugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM, mulai Rabu depan, lapor Berita Harian.

MPA dalam kenyataan menyebut, Khairy atau mesra dipanggil KJ akan mengendalikan segmen Bekpes Hot di stesen radio popular itu, mulai 15 Februari ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Pagi tadi, Khairy mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal.

Kenyataan MPA menyebut, minggu lalu, tawaran Hot FM kepada Khairy dibuat menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.

MPA menambah, selaras dengan ‘tagline’ stesen radio Hot FM iaitu ‘Yang Hangat dan Terbaik’, kehadiran Khairy bersama tonggak utama Bekpes Hot pasti memberi suntikan baharu buat Hot FM dan warna yang lebih menarik untuk segmen terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, peluang menawarkan Khairy sebagai penyampai radio diambil Hot FM bagi memastikan pengisian dan kandungan segmen Bekpes Hot lebih segar dan relevan kepada pendengar.

“Jutaan terima kasih dan penghargaan kepada KJ kerana sudi menyertai kami sebagai penyampai Bekpes Hot,” katanya.

Menurut beliau, KJ bukan sahaja ahli politik dan pemimpin yang hebat, tetapi juga beliau pempengaruh yang mempunyai impak besar buat rakyat Malaysia. Kehadiran KJ bukan hanya akan memberi sesuatu yang berbeza kepada pendengar menerusi gandingan ahli politik, pelawak dan penyampai radio, tetapi dimensi baharu untuk landskap radio negara.

Beliau turut yakin pengisian dan kandungan segmen akan diolah untuk menjadi lebih segar, komedi yang melucukan, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan serta mampu memberi aura positif kepada pendengar.

Sementara itu, Pengarah Rangkaian Kandungan Hot FM, Shah Hayatudin berkata, stesen radio itu sedang berbincang dengan Khairy untuk menampilkan pengisian hebat buat pendengar setia Hot FM dan pengikut beliau.

“Khairy ada idea untuk mewarnakan lagi segmen Bekpes Hot. Jadi, pendengar perlu nantikan kemunculan beliau bersama Johan, Fara Fauzana dan AG mulai 15 Februari ini,” katanya.