Vaksin tuntutan maqasid syariah. Saya menyeru agar kita semua melihat akan kejayaan yang telah diraih melalui pemberian vaksin kepada seluruh umat manusia sejak berkurun lamanya.

Sebagai contoh, dalam tempoh 14 tahun (2000 – 2014) pemberian vaksin Campak telah menyelamatkan 17.1 juta nyawa kanak-kanak daripada diserang penyakit Campak (measles) seluruh dunia [1].

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Begitu juga dengan beberapa penyakit berjangkit lain yang berbahaya seperti Difteria, Pertussis, Polio dan sebagainya.

Ralat:  Program vaksin cacar diberhentikan pada 1976 (Who), 1979 (Malaysia).
Ralat: Program vaksin cacar diberhentikan pada 1976 (Who), 1979 (Malaysia).

Tujuan seruan ini adalah supaya kita sedar apa yang kita lakukan demi kesinambungan generasi mendatang. Kita tidak mahu berpatah balik kepada zaman yang penuh kesengsaraan akibat serangan penyakit berjangkit seperti cacar, polio dan sebagainya.

Wujudnya ilmu imunisasi ini adalah anugerah Tuhan kepada manusia yang mahu berfikir.

Vaksin Bukan Menolak Fitrah Kejadian Manusia

Malaysia mewajibkan pemberian vaksin kepada bayi bagi mencegah 10 jenis penyakit berbahaya berdasarkan kepentingan kesihatan yang perlu dijaga (mashlahat ummah berdasarkan maqasid Syari’yyah).

Namun begitu terdapat lagi 3 – 5 vaksin yang tidak diwajibkan pada masa kini, hanya menjadi pilihan kepada ibubapa semada ingin menberikan vaksin tersebut kepada anak-anak mereka seperti Vaksin Pneumokokal dan Vaksin Rotavirus.

Ikhtiar bagi mencari jalan mencegah dan merawat sesuatu penyakit adalah dituntut oleh agama. Hatta semasa hayat Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf kaedah pencegahan dan perawatan sesuai dengan kebolehcapaian kaedah perubatan pada masa tersebut.

Ianya dipertegaskan lagi dalam sabda Rasulullah SAW, antaranya:

لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).[2]

أَنَّ عُمَرَ خَرَجَ إِلَى الشَّأْمِ، فَلَمَّا كَانَ بِسَرْغَ بَلَغَهُ أَنَّ الوَبَاءَ قَدْ وَقَعَ بِالشَّأْمِ – فَأَخْبَرَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا، فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ

Bahawa Umar pernah berangkat menuju ke Syam. Ketika dia sampai di daerah Sargha, diberitahu kepadanya bahawa negeri Syam sedang merebak wabak penyakit menular, lalu Abdurrahman bin ‘Auf memberitahukan kepadanya bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Jika kalian mendengar wabak menjangkiti suatu tempat, maka janganlah kalian pergi ke sana, namun jika wabak itu menjangkiti suatu tempat dan kalian telah berada disana, maka janganlah kalian keluar daripada sana.” [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

vaksin 2

Justeru haruslah bagi kita untuk berikhtiar mencari kaedah penyembuhan dan pencegahan. Bukan bermakna jika kita mengambil ubat, kita dikira sebagai menentang kejadian yang Allah turunkan kepada seseorang. Bukan bermakna juga kita melawan fitrah kejadian manusia yang cukup sempurna.

Sedangkan Rasulullah SAW juga mencari penawar bagi penyakit yang ditimpanya sebagai salah satu ikhtiar, apatah lagi kita yang berada di akhir zaman ini?

Jika kita mendakwa bahawa fitrah sudah lengkap segalanya, lantas menyerah kepada Allah untuk mengatur urusan penyembuhan tanpa ikhtiar, seolah-oleh kita mengambil fahaman Jabbariah yang menolak ikhtiar manusia.

Jika terdapat dakwaan menyatakan sejak zaman Nabi-nabi terdahulu sudah lengkap sistem imun dalam badan dengan tiada bukti wujudnya penyakit pada waktu tersebut, dakwaan tersebut tersasar.

Ketiadaan pemberitaan dalam sirah Islam terdahulu mahupun Al Quran yang menyentuh tentang sesuatu penyakit bukan bermakna penyakit itu tidak wujud.

Sejarah awal penulisan yang tercatat dalam sejarah adalah penemuan kesan jangkitan kuman Tuberkulosis di badan mumia.

Kemudian barulah setelah zaman kegemilangan Islam sekitar abad ke 15 menemui beberapa penemuan baru kuman penyakit berjangkit dengan adanya mikroskop yang dicipta oleh ahli perubatan terkenal Ibnu al Haytham [3].

Tidak dinafikan juga bahawa terdapat kuman/virus yang baru timbul di akhir zaman, yang memerlukan penelitian dan kajian daripada pakarnya untuk mengubati atau mencegah.

Proses Pembuatan Vaksin

Dalam dunia perubatan, apabila dakwaan sesuatu bahan itu boleh merawat atau mengubat sesuatu penyakit, maka dakwaan itu perlu dikemukakan bukti sahih dari kajian emperikal yang dijalankan.

Termaktub dalam kaedah perubatan bahawa pembuktian itu wajib melalui fasa-fasa sebelum ianya berkesan dan selamat digunakan.

Fasa kajian terbahagi kepada 5; Pra-Klinikal, Klinikal (Fasa 1 – 3) dan Pos-Kelulusan penggunaan. Setiap fasa ini penting bagi menjamin ketelusan, keselamatan dan keberkesanan ubat yang dipasarkan.

Tindakan menarik balik kelulusan ubat boleh dikeluarkan dalam mana-mana fasa tersebut jika berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas ketelusan, keselamatan dan keberkesanan ubat.

Hal yang sama dalam pembuatan vaksin di zaman kini. Malah setiap syarikat yang membuat vaksin wajib lulus persijilan GMP (Good Manufacturing Practice) yang ketat demi keselamatan produk yang dikeluarkan.

Ianya bukan buatan semberono mengambil air nanah belakang rumah sebagaimana yang digambarkan. Badan berwibawa (authority) bertanggungjawab dalam pemperosesan ini.

Konsep Imuniti

vaksin 3

Secara asasnya badan kita mempunyai sistem imuniti. Sistem ini akan bertindak balas dengan apa juga patogen (bakteria/virus) yang akan masuk menyerang kita.

Namun sistem imun ini ada yang sudah sedia ada terbentuk pertahanan secara semulajadi terhadap patogen dan ada yang perlu diperkenalkan dari luar. Kaedah ini penting bagi badan kita membentuk satu bahan yang diberi nama Antibodi.

Apabila terdapat patogen yang menyerang badan, satu tindakbalas imun akan terjadi bagi melawan patogen tersebut. Ianya bergantung kepada keseriusan sesuatu patogen dan pertahanan badan kita yang sedia ada.

Kesan akhir kepada badan kita samada kita sembuh daripada penyakit atau membawa kematian atau mengalami kecacatan / penyakit berlarutan.

Dalam masa yang sama sel badan kita akan membina satu Imun Ingatan (Antibodi) kepada patogen berkenaan. Antibodi spesifik ini akan bertindak sebagai tambahan kepada sistem imun yang sedia ada bagi melawan patogen yang sama sekiranya jangkitan patogeb tersebut berulang kembali.

Sesetengah penyakit berbahaya seperti Batuk Kokol, Campak dan sebagainya, tidak tersedia-bina Antibodi dalam badan kita. Dan kita tidak perlu menunggu dijangkiti penyakit berbahaya itu dahulu bagi badan kita membina Antibodi khusus berkenaan.

Di sinilah fungsi vaksinasi digunapakai. Vaksin spesifik kepada sesuatu penyakit akan digunakan bagi membina Antibodi (Immune Memory) dalam badan kita melalui proses dalam sistem imun menurut Organization World Health (Vaccine Fact Book, Basic Concept of Vaccine. 2012; 1-3).

Konsep imuniti telah dipelopori oleh cendekiawan Islam di zaman kerajaan Othmaniyyah seperti Al Razi yang menemui kuman cacar dan vaksinnya.

Kekeliruan

Terdapat beberapa lagi kekeliruan yang disebut oleh golongan yang menolak vaksin seperti bahan kandungan dalam vaksin haram, terdapat berat logam berat dan kesan sampingan tertentu. Namun sayugia saya tidak mahu memanjangkan lagi perbahasan ini kerana sudah banyak jawapan diberikan oleh pihak berkuasa seperti Majlis Fatwa, Jakim dan Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri.

Lihat ulasan saya di blog Suhazeli.com. Mana mungkin badan berautoriti ini mengambil langkah terkebelakang dalam memperjudikan kesihatan dan hidup mati ummat sejagat!

Samada kita benar-benar mahu beramal dengan hashtag ‪#‎EducateBeforeYouVaccinate‬ atau tidak, terpulang kepada mata mana yang kita guna. Sama ada mata lalat atau mata lebah!

Wallahualam.
Noktah.

Dr Hj Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga