Sejak beberapa minggu ini, warganet Indonesia sangat aktif membongkar kekayaan luar biasa yang dipamerkan oleh golongan muda negara tersebut di media sosial mereka.

Doni Salmanan memegang jolokan ‘Crazy Rich Bandung’, manakala Indra Kenz pula dikenali sebagai ‘Crazy Rich Surabaya’ merupakan antara beberapa ‘Orang Kaya Muda’ yang ditumpaskan oleh warganet Indonesia dan kini terpaksa menghadapi tindakan undang-undang negara tersebut.

Terbaharu, pasangan suami isteri ‘Crazy Rich Malang’ hasil perniagaan kosmetik ‘MS Glow’, Gilang Widya Pramana atau lebih dikenali sebagai ‘Juragan 99’ dan isterinya, Shandy Purnamasari telah membuat satu pengakuan terbuka bahawa jet peribadi didakwa dibeli pada tahun lalu sebenarnya bukan milik mereka.

“Gilang mempunyai tempoh kontrak (sewa) tertentu bagi penggunaan pesawat terbabit,” kata peguam Gilang Widya Pramana, Arman Hanis ketika ditemui di Menara J99, Pancoran, Jakarta pada Selasa lalu.

Tambah beliau lagi, oleh kerana kontrak (sewa) penggunaan jet peribadi tersebut tidak bersambung, maka sebab itulah pelekat J99 Corp ‘hilang’ daripada jet peribadi terbabit.

Pengakuan tersebut dibuat setelah tular bebenang ciapan seorang warganet Indonesia membuat pembongkaran di Twitter mengenai status sebenarnya jet peribadi itu yang mana Juragan 99 mendakwa membelinya pada akhir Januari 2021 melalui saluran YouTube peribadinya.

Dalam video vlog Youtube yang dimuat naik itu, jelas kedengaran Juragan mendakwa ‘jet peribadi baharu’ itu hasil titik peluh kerja kerasnya dan ia digunakan untuk pasangan suami isteri itu terbang dari satu tempat ke satu tempat lain dengan lebih cepat dan privasi.

Namun @ferdianshy membuat pendedahan dengan menunjukkan beberapa tangkap layar yang membuktikan bahawa jet peribadi bernilai 270 bilion rupiah (RM79.37 juta) itu sebenarnya sudah wujud sejak tahun 2006 lagi dan pemilikannya telah bertukar tangan sebanyak lima kali. Pemilik terkini merupakan RSSD Properties LLC yang didaftarkan di Kilgore, Texas.

Tambah @ferdianshy lagi, dia mendakwa antara sebab kenapa Juragan 99 memilih jet peribadi yang mempunyai nombor pendaftaran bermula huruf ‘N’ supaya ia nampak sama dengan nombor pendaftaran di daerah Malang, Indonesia. Sekaligus membuatkan netizen mempercayai Juragan 99 membeli jet peribadi tersebut.

Bagaimanapun, Arman Hanis tidak mahu isu ini terus dipanjangkan kerana perkara berkenaan sudah jelas dan tiada masalah sebenarnya. Tambah Arman lagi, jet peribadi itu tiada lagi di Indonesia dan mereka tidak pasti di mana ia berada sekarang, lapor Suara.com.

Sementara itu di Malaysia, netizen mengecam akaun Facebook ‘Sifu Trading’ yang menggunakan jet peribadi mewah milik orang lain untuk mempromosikan bisnesnya. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

‘Sifu Trading’ Kantoi Guna Jet Peribadi Mewah Milik Orang Lain Untuk Promosi Bisnes

Sering Bangga Tayang Kehidupan Mewah, Polis Sita Aset Milik ‘Influencer’ Ini Bernilai RM18.7 juta