Korea dan memori. 6 tahun zaman remaja dan pengajian aku habiskan di sana, semata-mata untuk segulung ijazah. Alhamdulillah, aku redha.

Walaupun aku pulang ke tanah air tanpa ijazah Degree dari Universiti Y yang diidamkan, aku masih ada kelulusan Diploma yang diperoleh sepanjang 3 tahun awal menetap di sana (1 tahun pengajian Bahasa Korea, 2 tahun pengajian Diploma).

Berbekalkan kelulusan Diploma itu, aku dapat mendaftarkan diri di sebuah universiti swasta tempatan yang terletak di Melaka. Jurusan hampir sama dengan jurusan di Universiti Y membolehkan aku mendapat ‘credit exemption’ yang agak banyak berbanding rakan-rakan lain di universiti tempatan itu (Universiti K).

Ditambah lagi dengan alasan permarkahan di Korea yang lebih tinggi daripada di Malaysia, subjek-subjek yang aku dapat C- (70 markah ke atas) juga diterima sebagai subjek diluluskan pengecualian kredit.

Namun, sudah disyaratkan bahawa pengecualian kredit di universiti tempatan daripada kelulusan sebelumnya adalah maksimum 30 jam kredit sahaja. Aku terima dengan hati yang terbuka bahawa aku perlu 3 tahun setengah lagi (7 semester++) untuk pengajian Degree di Malaysia. Begitulah kisah hidup aku pada awal pengajian Degree semula di Malaysia, tahun 2013.

Pemarkahan Universiti Y (lain-lain universiti di Korea juga adalah hampir sama) credit: Website Universiti Y

Korea dan bunuh diri. Masih ada persoalan yang boleh dibangkitkan berkenaan isu suicide, dan peristiwa yang pernah aku lalui di sana sepertimana yang pernah aku ceritakan sebelum ini sepertimana yang pernah aku kongsikan : Lihat Orang Bunuh Diri Depan Mata Sewaktu Belajar Di Korea Buat Aku Berfikir Tentang Ini

Ada aku sebut yang artis-artis juga mengambil langkah membunuh diri untuk ‘meringankan’ beban yang ditanggung secara rohaniah mereka. Kes terbaru yang aku dengar di sana adalah kejadian bunuh diri oleh salah seorang pegawai atasan syarikat konglomerat L Corporation selepas pemilik berkenaan terlibat dengan skandal money laundering.

Pegawai tersebut menyatakan dalam nota bunuh dirinya bahawa pemilik syarikat itu adalah orang yang sangat baik dan tiada penyelewengan telah dibuat olehnya. Dengan kematian pegawai tersebut, siasatan menjadi sedikit rumit kerana pihak berkuasa tidak dapat menyoal siasat beliau berkenaan kes tersebut, memandangkan beliau adalah orang yang paling dipercayai pemilik syarikat tersebut.

Kisah ini tiada kaitan besar dengan peristiwa besar yang aku alami sendiri. Hanya topik bunuh diri yang ingin aku ketengahkan di sini. Maka, kita berbalik kepada kisah ajossi yang membunuh diri itu serta anak dan balu yang ditinggalkannya.

Setelah aku berjaya overcome trauma peristiwa bunuh diri dan mimpi-mimpi buruk tidak lagi berselang singgah dalam tidur aku, aku tertanya-tanya tentang isteri dan anak mangsa yang tinggal bertentangan dengan rumah aku itu.

Sedangkan aku perlukan masa untuk mengatasi trauma hasil kejadian itu, inikan pula keluarga mangsa sendiri. Mahu sahaja aku mengetuk pintu rumah mereka bertanyakan khabar. Aku berkira-kira untuk membeli buah tangan terlebih dahulu sebelum melawat rumah jiranku itu.

Hasrat aku terbantut apabila aku lihat sering sahaja rumah itu tidak berpenghuni apabila aku cuba tinjau daripada luar selepas pulang daripada kelas. Perasaan ingin tahu aku pendamkan hampir dua minggu kerana bimbang masa tidak sesuai untuk bertanya, dan kelibat mereka amat sukar sekali dilihat sejak akhir-akhir ini.

Sehinggalah lebih kurang sebulan selepas kejadian, pintu rumahku diketuk berkali-kali pada pukul 10 malam. Amat jarang ada tetamu datang ke rumah aku. Rakan-rakan batch aku semua sudah pulang ke Malaysia (semester extend ketika itu), bahkan junior-junior juga tidak pernah berkunjung ke situ.

Rumah yang agak ceruk ke dalam dan jauh daripada kesibukan kota Seoul. Adakah manusia yang mahu berkunjung, atau…?

Kau lelaki, bertindaklah seperti lelaki. Hatiku berbisik mendorong agar digagahkan jasad membuka pintu. Rentak ketukan pintu tidaklah menyeramkan pun. Tiada suara mengiringi ketukan pintu. Lalu, aku pun bukalah pintu untuk melihat siapa di luar.

Bila dibuka, hanya angin yang masuk ke dalam. Ah sudah! Pintu masih diketuk. Lalu aku menjenguk lagi arah hadapan pintu rumah aku. Rupa-rupanya, tetamu aku turut berganjak ke tepi untuk mengelak semasa pintu dibuka, membuatkan aku sedikit seram kerana tidak nampak siapa yang datang. Hampir ketawa sendiri aku di situ.

Tetamu pada malam itu adalah jiran aku, balu mangsa yang sudah sebulan menyepi. Raut wajah tuanya jelas kelihatan. Perbualan belum bermula, tetapi aku tahu. Dari raut wajah dan suasana sunyi tanpa apa bunyi yang kedengaran dari rumah mak cik (ajumma), dia datang membawa mesej sedih dan sunyi.

Aku mulakan bicara dengan ucapan biasa dalam Bahasa Korea (aku olah kembali dalam bahasa bercampur sedikit sebanyak konteks perbualan yang aku ingat). “Annyeong haseiyo, ajumma. Apa khabar? Maaflah rumah agak semak, tak sempat saya mengemas baru-baru ni.” Ucapan selamatku dibalas dengan senyuman kelat.

Nampak jelas kesedihan ajumma itu. Kata-kataku dibalas dengan lembut,” Tak apa, haksaeng (student). Makcik pun tak mahu ganggu kamu. Sekadar berbual di luar pun tak apa.”

Pucuk dicita ulam mendatang. Rumah semak, takkanlah nak ajak masuk juga. Lalu aku melangkah keluar dan menutup pintu rumah. Perbualan kami hanya di hadapan rumah masing-masing.

Belum sempat aku meneruskan bicara, ajumma terlebih dahulu berkata,” Ajumma minta maaflah ye haksaeng. Sebab ajossi, kamu terpaksa tengok benda tak elok.” Aku pilu dan terkesan dengan ayat ajumma.

Aku yang dirisaukan dulu, tipikal cara orang-orang lama bangsa mereka. Aku yakin orang-orang lama kita juga begitu. Cuma cara penyampaian berbeza.

“Ajumma, jangan risaukan saya. Saya anak muda, pengalaman macam ini akan lebih mudah untuk saya lupakan. Ajumma dengan hyeongnim (abang/Korean B) macam mana?

Saya cuba juga nak datang melawat, tapi takut masa tak sesuai untuk ajumma.” Aku cuba menyusun ayat elok-elok, bimbang ada kata-kata yang boleh mengguris hati tua ajumma yang kesedihan ini.

“Aigoo, ajumma sampai sekarang tak tahu kenapa ajossi buat macam ni. Sebelum ni apa-apa masalah dia bawa bincang, kali ni ajumma betul-betul bingung kenapa dia sanggup bunuh diri. Manalah silapnya. Patutlah pagi tu asyik keluar masuk bilik, tak senang duduk,” tutur kata ajumma beriringan dengan sebak di hatinya.

Aku, sebagai insan biasa di negara asing ini, apa yang mampu aku lakukan? Kita dan mereka berlainan budaya, agama, dan warna, walhal bahasa juga berbeza. Sebagai manusia prihatin, apa yang aku boleh lakukan untuk menghadapi warga emas kesedihan seperti ajumma ini?

Aku yakin sebagai insan yang dicipta oleh Tuhan yang sama, tiada kami, kita, dan mereka untuk diasing-asingkan. Kita itu adalah mereka juga. Kesedihan ajumma menusuk kalbu, meresap ke dalam emosi.

Lalu aku mendekati ajumma dan memeluk beliau, dengan harapan dapat menenangkan hati si tua yang penuh dengan kesedihan dan kesepian. Beliau bukan siapa-siapa kepada aku, hanyalah jiran tetangga.

Namun, menjadi suatu tanggungjawab untuk kita, di mana sahaja, untuk memastikan mereka rasa dihargai dan diterima, walaupun aku sebagai rakyat asing, penerimaan itu sepatutnya dibuat oleh mereka kepada aku, kelompok minoriti.

Setelah menenangkan diri, ajumma itu berkata lagi, “Haksaeng, ajumma minta maaf ya ambil pisau kamu dan buang tanpa izin. Kepercayaan kami pisau tu membawa malang kalau terus digunakan, dan ajumma tak boleh ganti dengan pisau juga. Budaya kami begini.” Lalu dihulurnya sekarton jus buah-buahan kepada aku.

“Eh, apa ni ajumma? Takpa lah susah-susah je. Lagipun pisau tu dah tumpul, tak perlu gantikan pun. Saya ikhlas.” Ajumma tetap berkeras mahu aku ambil jus tersebut.

Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Demi menjaga hati ajumma, aku terima jus buah-buahan itu sebagai ganti pisau yang terbuang. Baru aku tahu kenapalah hendak dibuang pisau itu in the first place. Lebih utama daripada melihat keadaan suami sendiri. Kuat juga pegang adat dan kepercayaan ajumma ini. Kaum-kaum di timur, sama sahaja rupanya.

Jus buah-buahan oren, anggur, dan epal pemberian ajumma.

Ajumma mengakhiri perbualan dengan kejutan lagi,” Haksaeng, kami sebenarnya sudah mahu pindah. Dalam seminggu dua ni akan ramai orang datang nak tengok rumah kami, sebab kami nak jual.

Kalau-kalau ada orang tak dikenali ketuk-ketuk pintu rumah haksaeng nak tengok rumah, bagitahu rumah kami yang nak dijual ya.” “Eh, ajumma nak pindah? Ke mana?” aku terus bertanya, sekadar ingin tahu.

“Jauh dari sini lebih baik. Banyak sangat kenangan dengan ajossi di sini. Tak sanggup ajumma asyik terkenang kalau terus tinggal di sini.” Aku rasa seperti bersalah pula bertanya soalan lebih-lebih. Mahunya menangis lagi, kena peluk lagi pula.

Ajumma berkata lagi,”Urusan jual beli pun sudah tak lama lagi. Anak ajumma pun sudah tengok-tengok rumah yang sesuai untuk kami tinggal. Mari, haksaeng. Jumpa anak ajumma kat dalam.”

Aku menurut sahaja. Rumah beliau lebih besar daripada rumah aku. Kosong. Aku percaya sudah 90 peratus persiapan berpindah sudah dibuat. Patutlah rumah selalu tidak ada orang. Sudah tentu mereka sibuk mencari rumah.

Sebagai makluman juga, orang Korea juga ada waktu berkabung mereka yang tersendiri. Mungkin mereka sedang berkabung sepanjang ketiadaan mereka dari pengamatan aku.

Melihat kehadiran aku di hadapan pintu rumah, Korean B (anak ajumma) tersenyum kepada aku dan menerima insa (tunduk hormat) seadanya. Aku tahu, dalam situasi begini, senyuman adalah sangat berat untuk diberikan. Aku menghargainya senyuman itu.

Tidak banyak yang dibualkan antara aku, Korean B, dan ajumma. Kemudian, aku pun minta izin untuk pulang memandangkan Korean B sedang melekatkan tape hijau pada kotak untuk persiapan berpindah.

Aku tidak dapat mendoakan kesejahteraan mereka ‘di sana’ nanti, tetapi aku tetap berharap mereka dapat menghadapi dugaan ini dengan baik. Semenjak daripada itu, tiada khabar berita lagi yang pernah kudengar berkenaan mereka.

Bagaimanalah agaknya mereka di sana. Selagi nyawa dikandung badan, tidak akan aku lupa memori berjiran dengan kalian. Terima kasih atas segala jasa baik kalian sepanjang aku dan juga penyewa-penyewa pelajar Malaysia yang pernah tinggal di situ sebelum aku.

Ajossi itulah yang selalu menjadi wakil menerima pos laju atau surat pelajar-pelajar Malaysia apabila kurier datang semasa kami di kelas. Trend belian atas talian memang sudah lama popular di Korea.

Sebagai penutup, aku ingin sekali lagi menasihati pembaca sekalian. Ingatlah bahawa ketenangan, seperti juga wang ringgit dan kebahagian, hendaklah dicari melalui usaha yang berterusan.

Sekiranya kita ikhlas memohon ketenangan dari Yang Mutlak, dengan izinNya juga akan sampai ketenangan itu. Ya, aku akui sejak ditimpa dugaan demi dugaan sepanjang usia pengajian formal aku, aku rasa aku tergolong dalam golongan manusia bermasalah depression.

Kadang-kadang aku dengar ‘suara hati’ sendiri seolah-olah bercakap di telinga. Aku sentiasa menafikan perkara ini dalam hati, mungkin untuk menyedapkan hati. Apapun, aku bukanlah arif dalam bidang psikologi, dan aku merasakan hal ini bukanlah sesuatu di tahap berbahaya.

Jadi, hanya dengan tidak mempedulikan ‘suara-suara hati’ ini, aku rasa masalah ini tidak akan melarat. Aku serahkan segalanya pada Allah. Semoga coretan aku ini bermanfaat kepada semua.

-끝-
– Gongphal Hakbon

Nota: Nukilan Korea, Memori, Bunuh Diri ini ditambah menjadi dua bahagian berdasarkan kisah benar penulis, memandangkan ramai pembaca yang memberi dorongan dan semangat kepada penulis untuk meneruskan usaha dalam bidang penulisan. Penulis ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada pembaca yang memberikan sokongan dan dorongan kepada beliau.

Baca lagi: Inilah Realiti Di Sebalik Kadar Bunuh Diri Yang Tinggi Di Korea Selatan