Selama ini penggiat seni boleh mendapat potongan cukai “penampilan diri” tetapi ada diantara mereka tidak mengetahui berkenaannya. Hal ini timbul apabila selebriti terkenal, Nora Danish meminta sedikit pelepasan atas faktor kerjaya artis yang sentiasa perlu tampil menarik di khalayak ramai.

Namun begitu, sebenarnya Nora tahu berkenaan kategori (perbelanjaan) penampilan. Cuma dia memaksudkan potongan cukai bahagian itu dinaikkan peratusannya kerana banyak wang digunakan untuk penampilan diri. Ia dianggap sebagai kos tugasan kerja seniman.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Berikutan itu pegawai perhubungan awam Lembaga Hasil Dalam Negeri, Masrun Maslim menjelaskan penggiat seni sudah menerima pengecualian daripada “perbelanjaan operasi” mereka “tanpa jumlah tertentu” selagi berkaitan kerjaya mereka.

Antaranya, potongan bagi bayaran jurusolek, sewaan pakaian, pengurusan artis, pengiklanan, kos perjalanan termasuk tol, minyak dan caj parkir. Semua itu tiada peruntukan atau amaun tertentu, ia bergantung kepada perbelanjaan sebenar dalam menjalankan kerjaya mereka.

Oleh itu, selebriti perlu menyimpan semua dokumen sokongan seperti invois, resit dan sebagainya dan kemudian menghantar Borang B bagi membolehkan tuntut belanja operasi setiap tahun.

Kecuaian menghantar borang cukai dan tiada penyata pendapatan lengkap dengan dokumen sokongan adalah antara punca artis dan selebriti dikenakan cukai tinggi.

Apa Itu Borang B?

Borang B perlu diisi oleh individu yang bermastautin di Malaysia dan menjalankan perniagaan di dalam tahun yang ditaksir. Ia mesti ada punca pendapatan perniagaan atau pekerja berpengetahuan atau berkepakaran.

Borang ini perlu dihantar oleh individu yang mempunyai punca pendapatan perniagaan pada atau sebelum 30 Jun setiap tahun bagi mengelak dikenakan penalti. Sekiranya tidak menyimpan rekod perniagaan, seseorang itu boleh didakwa di mahkamah.

Contoh Perbelanjaan Operasi
Contoh Perbelanjaan Operasi

Perbelanjaan operasi ialah kos-kos perkhidmatan atau barang atau kerja yang digunakan dalam proses menjanakan hasil. Ia adalah sebahagian daripada kos aset yang perlu dihapuskira, contoh susut nilai dan hutang lapuk.

Kebiasaannya belanja yang terlibat dengan operasi harian adalah aktiviti yang berulang dan berterusan. Ia perlu habis digunakan dalam tempoh satu tahun perakaunan dan dinyatakan sebagai perbelanjaan dalam Penyata Prestasi Kewangan.

Maka, perbelanjaan operasi adalah wang yang digunakan untuk menjalankan perniagaan bagi menjanakan pendapatan.