Assalamualaikum semua dan Salam Sejahtera.

Umum mengetahui tentang kewujudan kereta ini. Kereta ini menjadi idaman semua orang sama ada peminat kereta atau tidak. Hal ini kerana rekabentuknya yang menawan dan mempunyai enjin yang berkuasa tinggi. Ketika dilancarkan, model ini mendapat respon positif daripada para pengkritik automotif dunia.

MiTEC
HYPE
‘Hi HOME Property Event’ Acara Hartanah Unik Yang Akan Berlangsung Pada 25 Julai 2019
Baca lagi →

Ianya juga menukar persepsi orang ramai tentang jenama Mercedes Benz itu sendiri dimana dahulu Mercedes-Benz hanyalah jenama ‘abah-abah’. Sekarang, ramai orang muda yang kaya, anak orang kaya mahupun baru jadi orang kaya memandu kereta ini di Malaysia. Model ini juga merupakan model AMG paling mampu milik berbanding model-model AMG sebelumnya.

Sedar tak sedar sudah 6 tahun model ini berada di pasaran. Ia juga mempunyai adik beradik daripada segmen yang berlainan iaitu CLA45 dan GLA45. Boleh saya katakan di sini kos penyelenggaraan bagi ketiga-tiga model ini adalah lebih kurang sama sahaja. Apa pun, kredit patut diberikan kepada pihak Mercedes Benz kerana membuat segmen “Hot-Hatch” menjadi bertambah meriah berbanding dahulu yang hanya dikuasai oleh pihak Volkswagen dengan model Golf R nya.

Sedikit trivia berkenaan kenderaan ini.

1. Dilahirkan pada tahun 2013.
2. Dikenali juga dengan kod chassis W176.
3. Mempunyai enjin bersesaran 1,991cc dengan kod M133 yang berkuasa 355hp dan Torque sebanyak 450Nm bagi model Pre-Facelift (2013-2015).
4. Mempunyai enjin bersesaran 1,991cc dengan kod M133 yang berkuasa 376hp dan Torque sebanyak 475Nm bagi model Facelift (2015-2018).
5. Direka oleh Mr. Mark Fetherston. Memegang jawatan sebagai Exterior Design Team Leader bagi pihak Mercedes Benz dan juga merupakan seorang Pensyarah di Pforzheim University.
6. Kenderaan ini dilengkapi dengan sistem transmisi 7-Speed AMG Speedshift DCT).
7. Kenderaan ini sekarang boleh didapati pada harga bawah RM200,000 bagi model recon dan used merujuk laman mudah.my.

Cukup bab trivia, sekarang kita masuk bab penjagaan (Maintenance).

SERVIS

1. Engine Oil Service Package

Kapasiti minyak engine bagi kenderaan ini berjumlah 5.5 Liter. Kelikatan yang disarankan pula adalah 5W-40 Fully Synthetic. Kosnya adalah dalam lingkungan RM700-RM950.

2. Transmission Service Package

Model AMG Speedshift DCT ini merupakan model klac berkembar daripada Mercedes-Benz. Ianya tidak sama seperti model-model terdahulu yang menggunakan Torque Converter. Jadi, komponen servis dan cara servis juga adalah berlainan. Service Kit untuk model ini merangkumi Fluid, Filter & O-Ring(Outer), Filter(Inner), Transmission Oil Pan Seal dan Labour. Kos adalah dalam lingkungan RM1,700-RM2,200.

COMMON WEAR & TEAR PARTS

Memang Mercedes Benz terkenal dengan ketahanannya berbanding jenama pesaing. Namun apabila cerita tentang wear & tear parts, apa jenama pun tidak boleh lari daripadanya. Baiklah, kita mulakan.

1. Front Brake Pad

Banyak pilihan untuk bab ini. Maksud saya pilihan jenama. Cuma walau apa pun jenama, pastikan yang tulen. Kos adalah dalam lingkungan RM700-RM1,500.

2. Rear Brake Pad

Sama juga, banyak pilihan jenama. Harganya dalam lingkungan RM500-RM1,200.

3. Brake Disc/Rotor

Rotor adalah satu benda yang akan habis. Sama juga seperti brake pad, cuma jangka hayatnya lebih lama daripada pad. Model kenderaan ini sangatlah popular sehingga banyak pengeluar aftermarket mengeluarkan alat ganti termasuk Brake Rotor. Kos adalah dalam lingkungan RM2,720-RM7,000 bagi keempat-empat unit rotor.

4. Clutch

Sisitem kenderaan ini menggunakan klac berkembar(Dual-Clutch). Antara sifat clutch adalah lambat laun ia akan habis juga. Sama ada habis, atau terbakar “burnt”. Kos untuk menukar set clutch adalah dalam lingkungan RM5,500-RM7,000. Lagi satu, clutch pack untuk model AMG Speedshift DCT ni susah nak dapat bossku.

5. Tayar

Saiznya adalah 235/35ZR19. Harga cari sendiri.

6. Absorber

Sampai masanya, mana-mana absorber pun akan hilang keupayaannya. Terpulang kepada pemilik mahu servis balik atau tukar. Kalau tukar kosnya dalam lingkungan RM1,500-RM1,800 seunit. Kalikan dengan 4.

7. Belt

Belt ini menghubungkan kuasa daripada enjin untuk memacu unit compressor dan alternator. Kos untuk menukar belt ini dalam lingkungan RM120-RM180.

8. Spark Plug

Ketiga-tiga model ini mempunyai enjin 4 silinder, jadi hanya 4 biji spark plug yang diperlukan. Kos adalah dalam lingkungan RM500-RM600.

9. Ignition Coil

Untuk A45. Jarang berlaku masalah coil ini. Andai berlaku juga harganya dalam lingkungan RM300 seunit. Tapi kalau hendak upgrade ke Okada pun boleh. Harganya dalam lingkungan RM6,500 bagi 4 unit coil.

10. Engine & Gearbox Mounting

Masalah ni agak biasa bagi barisan model A45,CLA45 dan GLA45. Keempat-empat unit mounting ini akan menelan kos sebanyak RM3,500-RM4,000.

11. Coolant Spare Tank

Kenapa? Bocor ke? Tidaklah. Biasanya Coolant Level Sensor bermasalah. Lepas itu sensor pulak build in dengan tank. Pandai Mercedes buat duit. Kosnya dalam lingkungan RM600-RM700.

12. Thermostat

Kena masalah ini menangis juga mekanik. Leceh proses penukarannya. Bila leceh, harga upah pun jadi mahal. Kosnya dalam lingkungan RM1,200.

13. Atmospheric Valve

Juga dikenali sebagai Dump Valve. Fungsinya sama sahaja macam Blow Off Valve(BOV). Biasanya masalah yang dijumpai adalah jem lekat. Bila jem lekat, memang tak dapat boost lah kereta. Macam drive kereta tiada turbo. Nak tukar original pula tidak boleh. Datang sekali dengan turbo. Haha. Lahabau betul engineer dia.

Tetapi jangan risau, pihak pengeluar Aftermarket seperti Forge (dah kena beli dengan Owen Development) dan Turbosmart ada mengeluarkan alat ganti dump valve ini. Harganya dalam lingkungan RM800-RM900.

14. Aircond Compressor

Kita kena faham yang Aircond Compressor merupakan benda bergerak(Moving Item). Apabila bergerak, ia mempunyai jangka hayat. Lagilah di Malaysia ini Aircond memang satu keperluan. Jika komponen ini rosak harganya dalah dalam lingkungan RM5,000.

15. Alternator

Sepanjang pengalaman saya, kes ni merupakan kes terpencil. Peratusan kerosakan itu tetap wujud. Jadi, untuk berjaga-jaga, kos seunit Alternator adalah dalam lingkungan RM5,800-RM6,500.

16. Starter Motor

Ini juga merupakan kes terpencil. Tapi tidak salah untuk kita ambil tahu. Kos bagi seunit Starter Motor adalah dalam lingkungan RM1,500.

Pada hemat saya, kenderaan ini saya berani recommend kepada kawan dan juga pelanggan saya. Seperti yang saya nyatakan diatas, akibat popularitinya yang tinggi, banyak pihak pengeluar barangan Aftermarket mengeluarkan “Performance Parts” untuk kenderaan ini.

Binaan bahagian enjin seperti Piston dan Crankshaft yang dibuat dengan teknologi “Forged” juga membolehkan enjin ini ditala semaksimum mungkin. Setakat boost 2 bar enjin ini masih boleh tersenyum. Enjin tahan, Performance Parts banyak. Tunggu apa lagi, tabur duit sahaja. Hahaha.

Jadi, ini adalah sedikit sebanyak perkara yang saya boleh kongsikan kepada tuan tuan dan puan puan sekalian. Nasihat saya, sebelum membeli kenderaan terpakai, buatlah dulu Pre-Purchase Inspection tak kira apa jenis kenderaan pun. Ini untuk mengelakkan tuan-tuan melaburkan lebih banyak duit kepada perkara yang tidak perlu dikemudian hari. Jika wear & tear parts yang dinyatakan diatas masih elok, tidak perlulah ditukar dahulu.

Harga yang diberikan adalah ‘average’ . Jangan melenting jika dikenakan harga yang mahal di bengkel berdekatan anda kerana harga adalah berbeza bagi setiap kawasan. Tapi jika terlalu mahal dikenakan kepada anda, rajin-rajinlah buat research ya. Semoga kita semua mendapat manfaat.

Sekian, Terima Kasih.

Artikel di atas disumbangkan oleh Mohamad Yazid. Beliau merupakan anak Malaysia yang bertugas sebagai Penasihat Teknikal di MB Performance Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura. Beliau juga merupakan salah seorang penulis di laman Mekanika Malaysia. Boleh ikuti beliau di sini. Pautan artikel asal.

Anda Mungkin Suka