Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa mengumumkan keadaan darurat semalam setelah ratusan orang cuba menyerbu kediamannya di tengah-tengah krisis ekonomi yang melanda negara tersebut. Menurut AFP, Rajapaksa menggunakan alasan bahawa terdapat situasi ‘kecemasan awam di Sri Lanka’ yang memaksa kerajaannya untuk mengumumkan perintah darurat.

Difahamkan bahawa penduduk mula berkumpul di kediaman peribadi Rajapaksa bermula pada hari Khamis malam, namun ia berjaya disuraikan dengan bantuan polis yang menggunakan gas pemedih mata. Namun kejadian bertambah buruk semalam apabila penunjuk perasaan merobohkan tembok, membaling batu dan membakar  sebuah bas di hadapan kediaman Rajapaksa.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Difahamkan penunjuk perasaan di negara yang mempunyai 22 juta penduduk itu membantah pencatuan elektrik selama 13 jam oleh pihak kerajaan. Alasannya pencatuan itu dikuatkuasakan adalah kerana Sri Lanka tidak mempunyai wang yang cukup untuk mengimport bahan api atau diesel untuk mengendalikan loji janakuasa.

Menteri Elektrik Pavithra Wanniarachchi mengesahkan bahawa kerajaan telah mengambil dasar menutup lampu jalan bagi menjimatkan penggunaan elektrik. Pencatuan ini terus merebak sehingga menghentikan dagangan di bursa saham negara itu. “Kami ketandusan diesel. Pencatuan secara berperingkat terpaksa diteruskan. Tiada apa lagi yang boleh kami lakukan,” katanya pasrah.

Catuan elektrik ini dilihat menambah penderitaan rakyat Sri Lanka yang sudah berhadapan dengan masalah kekurangan barang keperluan asas dan harga yang melambung tinggi. Inflasi runcit meningkat 18.7 peratus pada Mac 2022 berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Sementara itu, inflasi makanan dan minuman mencecah 30.2 peratus yang kebanyakannya dicetuskan oleh penurunan nilai mata wang.

Pakar ekonomi First Capital Research Dimantha Mathew berkata inflasi Sri Lanka berada pada paras paling teruk dalam tempoh lebih sedekad. IMF sendiri baru sahaja memulakan perbincangan dengan pegawai berkaitan untuk menyalurkan program pinjaman yang bertujuan membantu Sri Lanka mengatasi krisis ekonomi terburuk yang dialami negara dalam beberapa dekad.

Bagaimana perbalahan antara Muslim dan Hindu boleh tercetus di India ketika ini? Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Bagaimana Perbalahan Antara Muslim Dan Hindu Boleh Tercetus Di India Ketika Ini?

Ribuan Lari Tinggalkan Afghanistan Setelah Ditawan Taliban, Ini Apa Yang Berlaku Di Sana