Semalam slot Cerekarama TV3 menampilkan telefilem yang mengambil ilham daripada lagu Awi Rafael, Kalau Aku Kaya yang pernah mendapat tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28) lalu.

Karya arahan Heykal Hanifah dan skrip oleh MF Kencana ini begitu menarik apabila ia sarat dengan kritikan sosial terhadap masyarakat Melayu khususnya. Ia berkisar tentang jadi kaya yang secara tak langsung menyentuh tentang isu pemuda masa kini.

Sinopsis

https://www.youtube.com/watch?v=371N5c0afHo

Kalau Aku Kaya mengisahkan seorang pemuda bernama Din yang berimpian jadi jutawan tapi pemalas sehingga bapa saudaranya, Pakcik Leman terpaksa menyara dia. Tiba satu masa, duit Pakcik Leman hilang dan Din dihalau keluar dari rumah.

Sejak peristiwa itu, Din jadi seorang gelandangan dan kutip tin untuk dapatkan duit belanja. Namun, Din masih berangan-angan jadi kaya. Hidup Din berubah apabila dia menerima satu amanah daripada dua orang perompak.

Kalau Aku Kaya vs Realiti

Sepanjang menonton telefilem ini, hati selalu tercuit dengan dialog-dialog yang lucu tapi ada makna. Apatah lagi ia buat kita teringat dengan kejadian-kejadian yang pernah berlaku dan viral di media sosial satu ketika dulu.

Antaranya, hati tercuit apabila tonton babak Din buat gaya dua jari di dahi, dan sebut “Aku ada Master, ada PhD. Aku boleh buat motivasi kat mana-mana.”

Lalu Lia, bakal kekasih halal bak kata Din telah membalasnya dengan sinis:

“Kau ini banyak berangan sangat la Din. Apa kata kau jadi macam Mat Jenin. Kau beli PhD untuk ceramah dan kau beri ceramah pada diri kau sendiri. Boleh tak?”

Oh ya! Telefilem ini dikategorikan sebagai P13 di mana kanak-kanak di bawah 13 tahun tidak dibenarkan menonton kecuali ada orang dewasa bersama. Penting supaya kanak-kanak boleh tanya atau orang dewasa boleh fahamkan kanak-kanak akan babak-babak yang ditayangkan. Berat.

Boleh dikatakan juga telefilem ini ala filem-filem P. Ramlee yang popular dengan kritikan sosial bersahaja tapi pedas dan tajam. Kalau ada yang terasa sewaktu menonton Kalau Aku Kaya, itu maksudnya dah berjaya telefilem ini menyampaikan mesejnya.

1. Salah Orang Lain

Dalam babak-babak awal, Din ada menuduh Lia jadi punca dia tidak bekerja gara-gara Lia pernah tolak cinta Din di bangku sekolah hingga dia gagal dapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Din tak sedar sikap malas dan selalu berangan-angan itu yang buat dia tidak sukses. Apa yang dia tahu, semua yang berlaku kepadanya adalah akibat perbuatan orang lain. Din tak salah apa-apa.

2. Gelandangan Tak Bodoh

Din bawa balik Adi dan Cha yang merupakan gelandangan ke rumah. Waktu bermain Saidina, masing-masing berangan nak bina bangunan di atas tapak masing-masing. Ada satu masa Cha rasa tertipu, lalu sebut:

“Aku gelandangan. Bukan bodoh.”

Gelandangan berbeza dengan masyarakat normal yang mempunyai tempat tinggal dan pendapatan tetap. Mereka berkeliaran ke sana sini di tempat awam. Bagi mereka hidup ini cukup jika ada tempat tidur dan makan.

Baca: 10 Lukisan Oleh Gelandangan Ini Berharga Puluh Ribu Ringgit

Tapi ada satu hal yang jarang orang sentuh. Mereka gelandangan tapi tidak bodoh dari aspek pemikiran. Sebab itu mereka dapat teruskan kelangsungan hidup walaupun dipandang serong oleh masyarakat.

3. Sikap Ambil Mudah

Gara-gara Din tidur mati dengan pintu rumah tidak berkunci, habis semua duit simpanan Pakcik Leman dicuri. Disebabkan itu Din dihalau keluar rumah dan putus hubungan bapa saudara-anak saudara.

Situasi itu menggambarkan pemuda masa kini kurang common sense dan suka ambil mudah terutama perihal keselamatan diri dan harta benda sehingga boleh menyebabkan kerugian pada diri sendiri atau orang lain.

4. Keluar Dari Zon Selesa

Walaupun dah jadi gelandangan setelah dihalau pakcik, Din masih dalam mode Mat Jenin. Tapi dia ada satu peningkatan diri. Din cuba cari duit dengan mengutip tin dan menyanyi di jalanan agar dia dapat makan setiap hari.

Bagi Pakcik Leman, tindakan Din keluar dari zon selesa itu adalah tepat. Dia mahu Din berdikari dan sedar diri tentang kehidupan ini. Bukan sekadar angan-angan, usaha itu diperlukan. Tak boleh malas.

5. Simpati

Hanis mewakili orang terpelajar yang mempunyai rasa simpati terhadap Din bila mana dia belanja Din makan pasta di restoran milik ayahnya.

6. Kisah Silam

Adi dan Cha pula dijadikan contoh sebagai ahli masyarakat yang terikat dengan peristiwa silam sehingga bawa diri dan jadi gelandangan kerana terlalu malu dengan perbuatan kisah lampau.

7. Cetak Rompak

Sebelum jadi gelandangan, Adi ialah ahli muzik yang mahir mengalunkan bunyi dari saksofon. Tapi disebabkan sikap pengguna teknologi, dia kalah hingga hilang keluarga.

“Aku dulu seorang ahli muzik. Aku main ini. Saksofon. Tapi yalah zaman IT sekarang ini, orang download sana, orang download sini, semua orang download sampai album aku tak laku-laku. Anak bini aku lari. Tak makan minum pun tak. Habis aku jadilah gelandangan.”

Realiti pemikiran sesetengah orang tentang isu cetak rompak:

Kelmarin ada orang telah muat naik filem Desolasi di internet dan terkini telefilem Kalau Aku Kaya ditayangkan secara live di Facebook Page buat tontonan umum dengan niat nak beri peluang orang tonton. Hakikatnya, orang seperti ini akan menjadi barah dalam industri, sama seperti lanun cetak rompak.

8. MLM Dan Skim Cepat Kaya

Banyak juga sindiran buat orang yang mahu kaya cepat melalui MLM dan skim. Antara dialog yang menarik ialah sewaktu Cha cerita kepada Din bagaimana dia jadi gelandangan:

“Aku dulu cikgu fizik. Tapi sebabkan aku gila nak masuk skim cepat kaya. Aku gadai rumah aku, ayam, itik, kambing. Aku buat personal loan. Tapi akhirnya skim cepat kaya itu melingkup. Jadi aku malu kat dunia luar tu. Aku lari sini jadi gelandangan.”

Din juga lontarkan dialog ini apabila Pakcik Leman mahu tahu bagaimana dia boleh jadi kaya cepat: “Ceritanya bermula pastinya bukan dengan MLM, Pakcik Leman.”

9. Penipuan

Zaman sekarang kena lebih berhati-hati kerana semakin ramai kaki kencing aka penipu yang mahu ambil kesempatan ke atas orang lain. Ia ditunjukkan melalui dialog Pakcik Leman di tandas awam:

“Haih.. 4 orang jer kencing hari ni? Hairan juga. Tak ramai orang kencing sekarang ni. Tapi kalau baca paper ke, blog ke, ramai yang “kencing”.”

Ada juga dialog yang menunjukkan bagaimana lelaki ambil kesempatan ke atas wanita menerusi perkahwinan apabila Din cadang Lia masuk pinang dia.

“Lia, apa kata kau masuk pinang aku. Pastu kau cari duit. Aku boleh jaga rumah, basuh pinggan, aku boleh jaga anak.”

10. Busuk Hati

Kalau saudara boleh dengki dengan saudaranya, bayangkan dengan orang yang tiada tali perhubungan darah. Pasti lebih teruk. Situasi ini diperlihatkan melalui perbuatan Pakcik Leman yang cuba pisahkan Din dan Hanis dengan fitnah.

Isu Utama

10 perkara di atas itu hanya sub-sub isu sahaja. Isu utama telefilem ini berkaitan dengan sikap manusia terhadap duit dan kekayaan.

Apabila seseorang jadi kaya, pasti orang lain nak tahu sangat-sangat bagaimana dia jadi kaya. Soalan ini bermain di pemikiran masyarakat tanpa kira berpelajaran atau tidak.

Maka, boleh faham kenapa ramai orang sukakan kisah-kisah “from rags to rich” dan kisah jatuh bangun orang kaya dan berjaya. Mereka mahukan inspirasi dan cuba buat langkah yang sama agar dapat turut terima nasib yang sama.

Malah, cakap-cakap orang berduit ini lebih dipercayai. Jadi, jika golongan ini “kencing” pun, ada orang yang tak akan sedar bau hancing itu. Sebab itu apabila Din cakap dia kaya sebab main saham, semua orang mengiyakan.

Syafiq Kyle sebagai Din dan Niena Baharun sebagai Hanis

Selain itu, perubahan sikap Lia yang mendadak dari benci jadi cinta terhadap Din yang dah jadi kaya itu begitu ketara sekali. Ini mengingatkan orang ramai, wujud orang yang cuba menempel agar dapat “kaut” faedah.

Ditekankan juga kita sebagai manusia tidak boleh hidup dengan ketamakan sebab sifat tamak boleh mengubah seseorang, dan boleh mempengaruhi pemikiran sehingga hilang pertimbangan.

“Dengar sini. Ini pasal duit. Duit ini ada kuasa. Pasal duit orang boleh ubah fikiran. Sebab duit kita jadi gelandangan dan pasal duit kita jadi hilang pertimbangan. Dan pasal tu kita jadi perompak,” kata Cha kepada Adi sewaktu Din tak sampai di tempat mereka.

Penutup cerita ini menyentuh soal hati masing-masing. Penonton tahu, Din dari awal lagi nak jadi kaya agar dapat hidup macam jutawan. Peluang depan mata dengan duit beratus ribu ringgit pasti tidak akan disia-siakan oleh Din.

Tapi sangkaan meleset, sebab duit yang banyak itu juga membuatkan hati Din berbolak-balik antara baik dan buruk. Din buat pilihannya dan dia terima balasan yang setimpal dengan keputusannya itu.

“Sebab benda-benda yang melibatkan duit ni boleh buat orang jadi buta,” ujar pegawai bank.

Din menjawab; “Tak Encik. Sama jer. Buta ke, celik ke, sama jer. Yang penting hati. Hati kita kena bersih. Tuhan dah bagi kita jalan pilih mana yang baik, mana yang buruk. Kita ni manusia ada akal ada otak, kita kenalah pilih mana baik mana buruk.”

Berbalik tentang tajuk telefilem ini sendiri, ungkapan “kalau aku kaya” selalu bermain di bibir mereka yang susah, tidak kaya, ada impian dan tak kurang juga turut ada masalah hidup. Bagi mereka, hanya dengan jadi kaya semua masalah akan selesai dan hidup bahagia. Benarkah?