Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Jalan raya yang diselenggara dengan baik sudah menjadi satu keperluan bagi masyarakat umum. Ia membantu seorang pemandu memandu dalam keadaan yang baik serta dapat mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini. Bagaimanapun, terdapat beberapa negara yang seolah tidak mengendahkan keperluan ini.

Memetik laporan Yahoo News, menerusi kajian terbaharu yang dilakukan oleh Zutobi, laman yang mengetengahkan pendidikan pemandu, terdapat beberapa negara yang mempunyai jalan raya yang baik dan sebahagiannya pula dikategorikan sebagai negara dengan jalan yang terburuk di dunia. Kajian yang dilakukan oleh Zutobi ini dijalankan dengan mengkaji kawasan di setiap negara dan rangkaian jalan rayanya daripada Worlddata.info.

Mereka kemudiannya mengira km jalan bagi setiap 100,000 km2. Skor kualiti jalan bagi setiap negara diperoleh daripada TheGlobalEconomy.com, dengan data terkumpul daripada tahun yang direkodkan terbaharu (2019) dan lima tahun sebelumnya (2014).

Selepas menganalisis setiap data yang diperoleh – kualiti jalan, kemalangan jiwa dan saiz jalan – Zutobi telah membentangkan kesimpulannya bagi jalan terbaik dan terburuk di dunia.

Hasil kajian Zutobi mendapati bahawa Singapura mempunyai jalan raya terbaik. Negara jiran itu mendahului senarai jalan terbaik dengan markah keseluruhan melebihi 9/10. Antara faktor yang menjadikan Singapura berada di tempat pertama adalah kualiti jalan dan kadar kemalangan jiwa paling sedikit iaitu 1.69 bagi setiap 100,000 orang. Belanda, yang menduduki tempat pertama pada 2014, menduduki tempat kedua dalam kajian 2022 diikuti dengan Switzerland, Jepun dan Denmark.

Bagi jalan terburuk pula, Kuwait berada di tangga pertama dengan markah paling rendah iaitu 1.33/10 untuk kualiti. Negara itu juga mencatatkan jumlah kematian trafik jalan raya ketiga tertinggi bagi setiap 100,000 orang. Lima negara dengan kualiti jalan terburuk selepas Kuwait adalah Costa Rica, Georgia, Panama dan New Zealand.

Negara kita, Malaysia pula berada di senarai ke-12 sebagai jalan raya terburuk di dunia. Menurut kajian, kualiti jalan di Malaysia telah menurun lebih 5% dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini. Lebih 22 kematian trafik jalan raya bagi setiap 100,000 telah berlaku di sini – jumlah kematian trafik jalan raya kedua tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.