Ini adalah beberapa amalan untuk mengukuhkan pengurusan kewangan perniagaan anda.

1. Pastikan penyata kewangan bulanan disediakan setiap bulan

Penyata kewangan terdiri dari Penyata Pendapatan, Penyata Kedudukan Kewangan dan Penyata Aliran Tunai.

Ini akan membolehkan usahawan untuk mengetahui untungrugi perniagaan, harta dan tanggungan serta aliran masuk dan keluar tunai.

Jika ini bukan amalan anda, anda mungkin seolah-olah memandu kereta dengan kesemua petunjuk had laju dan minyak yang rosak. Semuanya main agak dan ikut perasaan sahaja.

2. Analisa dari mana keuntungan perniagaan anda

Maklumat ini didapati melalui analisa terperinci jualan dan kos jualan.

Barangan mana menghasilkan jualan tertinggi dan yang mana menghasilkan keuntungan tertinggi.

Keduanya tidak sama kerana setiap barangan atau perkhidmatan mempunyai keuntungan kasar (jualan tolak kos jualan) yang berbeza.

Sekiranya jualan tertinggi anda adalah produk yang keuntungan kasarnya rendah, anda kena selidiki mengapa ini terjadi.

3. Siapakah 10 pelanggan tertinggi anda dan berapakah sumbangan mereka kepada jualan bulanan?

Ini akan memberi gambaran siapakah yang penting kepada perniagaan anda.

Perlu juga dikira keuntungan dari setiap pelanggan ini kerana mungkin ada pelanggan yang jualan kepada mereka tidak begitu tinggi tetapi keuntungan dari mereka di antara yang terbagus kerana mereka melanggan barangan yang tinggi keuntungan kasarnya.

Cuba buat unjuran jualan kepada mereka untuk bulan-bulan yang seterusnya supaya anda dapat memahami corak pasaran di masa kehadapan.
Adakah anda mempunyai barangan yang jualannya amat rendah (low sales turnover)?

Ini amat perlu diketahui kerana barangan yang tidak laku merugikan anda di dalam beberapa cara.

Pertama, modal pusingan menjadi beku kerana barang yang tidak dijual tidak akan menyebabkan aliran tunai.

Kedua, barangan lama akan ada rosotnilai, harganya lama-kelamaan akan bertambah murah dan akan ada yang rosak. Inilah mengapa pasaraya membuat jualan murah agar modal dapat digunakan kepada barangan yang lebih laju jualannya.

4. Adakah mana-mana kos operasi yang meningkat dengan cara yang mendadak?

Analisa bulanan kos operasi akan memberi maklumat berkenaan corak perubahan kos. Jika semuanya berubah seperti yang anda jangkakan, maknanya semuanya di dalam kawalan.

Jika ada perubahan mendadak seperti kos pembaikpulih jentera yang tinggi, ianya mungkin disebabkan jentera yang sudah usang dan perlu ditukar. Jika jentera rosak, kosnya bukan sahaja kos pembaikan tetapi kos melepas kerana pengeluaran tidak dapat dipenuhi dan mungkin juga ada pelanggan yang marah.

Kesimpulan

Usahawan akan hanya dapat melakukan analisa perniagaan yang bermakna jika kesemua data dan maklumat yang digunakan adalah tepat.

Inilah sebabnya perlu ada pegawai kewangan yang berkelayakan dan boleh menyediakan laporan dengan tepat dan cepat. Seboleh-bolehnya di minggu pertama setiap bukan yang baru. Ini juga memerlukan disiplin yang baik ketika merekod transaksi perniagaan. Ada banyak sistem perakaunan dan kewangan yang boleh membantu.

Walau bagaimanapun kena ingat “garbage in, garbage out”. Jika rekod perniagaan disimpan secara tidak tersusun dan tidak berdisiplin, laporan-laporan yang disediakan tidak akan banyak membantu.

Besok saya akan sambung tentang maklumat berkenaan kedudukan kewangan pula.

Mahu?