“Cikpuan Muda Zara, cikgu nak ambil gambar sekejab,” ucap Cikgu Ana semasa sesi Cef Cilik di Dapoq Mija tempoh hari.

Hari ini anak-anak dibawa ke perkarangan C-mart Jitra untuk program 3 dalam 1. Cef Cilik, Kurma Ventures dan Kelab ARAF.

Klik klik.

“Nampak rambutlah,” Cikgu Ana melihat hasil tangkapan di skrin kamera.

Dengan pantas, rakannya, Cikpuan Muda Azra yang ada di sebelah membetulkan tudung dan memasukkan rambut Cikpuan Muda Zara. Tanpa diminta.

Pantas tangan mengangkat kamera yang tersangkut di leher, meletakkan mata di ‘viewfinder’ DSLR dan jari menekan butang ‘shutter’.

Klik klik!

Detik ini membawa ke plot yang seakan-akan sama semasa Kurma Ventures tahun lepas,

Berpimpin tangan

“Cikgu, saya nak ke tandas,” Cikpuan Muda Ain bersuara.

“Nak ikut,” kata Cikpuan Muda Amalea.

Semasa hendak turun ke tingkat bawah, kelihatan Cikpuan Muda Ain berhenti seketika. Tangan memegang besi di dinding.

Cikgu Ana memerhati dari belakang gelagat dua pelajar ini.

“Pegang tangan kami,” kata Cikpuan Muda Amalea.

Lalu kelihatan mereka berpimpin tangan menuruni anak tangga.

Prihatin

Benarlah, budaya santun yang masyarakatnya saling menghormati dan prihatin pada rakan, ibu bapa dan orang yang lebih tua tidak jadi jika diajarkan secara teori semata-mata.

Ia suatu yang datang semulajadi apabila mereka berada dalam persekitaran yang penuh berbudaya. Bermula di rumah, diteruskan di sekolah.

Pelajar-pelajar di Tadika ABS dipanggil dengan panggilan Tuan Muda dan Cikpuan Muda.

“Di tadika ini kami panggil anak-anak dengan panggilan Tuan Muda dan Cikpuan Muda kerana kami mahu memuliakan mereka dengan panggilan yang baik.”

“Panggilan yang baik ini menjadikan diri mereka rasa dihargai,” ujar seorang guru kepada ibu bapa ketika Hari Terbuka.

Ibu bapa mengangguk, tanda faham.

Terbayang-bayang tulisan yang tercatat di buletin Rangkaian Aktif Bijak Santun,

“Ia satu misi yang besar. Maka, besarlah juga manfaatnya kepada masyarakat apabila kita sama-sama menggembleng tenaga mendidik dan mengajar anak-anak melalui budaya asal kita.”

Wahai Allah Yang Maha Penyayang, permudahkanlah.

Kurma Ventures

Berkelah dahulu di sebelah tasik UTP.
Mengagihkan kurma kepada pensyarah.
Surprise Dr!

Setiap tahun, pelajar-pelajar Tadika ABS mengikuti program Kurma Ventures.

Program ini adalah projek bersedekah dari anak-anak kecil, Tuan Muda dan Cikpuan Muda sempena bulan puasa.

Tanpa mengira pangkat, bangsa, miskin atau kaya, anak-anak ini diajar menyerahkan sedekah dengan kata-kata yang mulus dan hati yang tulus.

Alangkah gembiranya pakcik, makcik, abang dan kakak yang menerima dari tangan-tangan kecil ini.

“Adik sekolah di mana?” tanya seorang ibu sambil tersenyum.

“Kami dari Tadika ABS, Puan,” si comel menjawab dengan gembira.

Tekun

Projek Kurma Ventures bermula dengan mengumpul kurma-kurma yang telah dibeli dan memasukkannya ke dalam pek-pek kecil.

Jari jemari bergerak pantas, sambil anak-anak tekun mencapai sasaran mereka pada hari itu.

Beberapa hari kemudian, anak-anak diminta beratur dan bergerak berdua-dua untuk pergi ke destinasi baru buat mereka.

Berjumpa orang awam demi mengagih-agihkan kurma sempena aktiviti Kurma Ventures.

Berjumpa orang baru

Ada pelajar-pelajar Tadika ABS bertuah kerana berpeluang melawat universiti, balai polis, dan kedai-kedai untuk mengagihkan kurma.

Di Universiti Teknologi Petronas (UTP), anak-anak melawat dahulu persekitaran yang sungguh segar sebelum berjumpa dengan pensyarah-pensyarah, staf, serta berjumpa orang awam di masjid.

Di Batu Pahat pula, pelajar-pelajar mengagihkan kurma kepada warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Berjumpa orang baru memerlukan keberanian.

Siapa sangka, sedang kita mengajar tentang sedekah, keyakinan diri dan kepetahan bicara Tuan Muda dan Cikpuan Muda diuji, tidak pernah sebelumnya.

Dalam diam-diam, anak-anak dididik menjadi lebih matang dan berdikari.

Pengalaman tak boleh dilupakan

Pada tahun lalu, melalui Kelab a’raf modul “Saya Jutawan Budiman”, aktiviti Kurma Ventures dijalankan bersama Tuan Muda dan Cik Puan Muda di Masjid Al-Mustaqim, Bandar Seri Putra.

Tuan Muda dan Cik Puan Muda sampai di Masjid pada jam 11:45 pagi dengan tujuan untuk menyantuni jemaah-jemaah masjid yang akan mendirikan solat Jumaat.

Menanti jemaah dengan penuh kesabaran dan keterujaan, bersiap sedia dengan kurma di tangan.

Apabila hadirin jemaah sampai, seorang demi seorang menyantuni jemaah masjid dengan memperkenalkan diri mereka daripada Tadika ABS, dengan ucapan selamat berpuasa Tuan. Senyuman tidak lekang dari bibir mereka.

Namun, apa yang paling lucu adalah, apabila seorang Tuan Muda memberikan kurma kepada seorang Tuan, Tuan tersebut memberikan wang RM20, Tuan Muda menolak dengan baik.

Namun Tuan tersebut bersungguh untuk menghadiahkan wang tersebut.

Justeru Tuan Muda Izzad terus memberikan wang tersebut kepada rakannya Tuan Muda Harraz.

Kata Tuan Muda Harraz, “Ayook Izzad, sedekah kurma mana boleh ambil duit.”

Dengan muka bersalah, Tuan Muda Izzad memberikan wang tersebut kepada guru pengiring.

Guru: Bagus Tuan Muda Izzad, kita datang ke sini dengan tujuan untuk mengagihkan kurma kepada jemaah masjid bukan?

Kedua-dua Tuan Muda mengangguk.

Sambung guru lagi, apabila kita niat bersedekah dan ada orang yang bersungguh memberikan duit setelah kita menolak, kita terimalah duit tersebut untuk menjaga aib dan maruah mereka. Supaya mereka gembira dan kita juga gembira.

Kedua-dua Tuan Muda Izzad dan Tuan Muda Harraz faham dan senyum lagi meneruskan pengagihan kurma kepada jemaah-jemaah lain.

Dalam hati si guru, terasa berbunga-bunga kerana Tuan Muda dan Cik Puan Muda jujur dan tulus dalam menjalankan tugasan tersebut.

Sertai Tadika ABS

Sertai Tadika ABS yang memiliki cawangan di seluruh negara.

Layari laman web Tadika ABS, FB Tadika ABS atau hubungi 011 1323 2239 melalui WhatsApp untuk maklumat lebih lanjut.

Baca juga bagaimana Tadika ABS menyemai Budaya dan Bahasa Melayu Tinggi dalam artikel ini.