Sudah sering kali kita mendengar tentang skim cepat kaya yang mengakibatkan sejumlah individu kerugian ratusan ribu ringgit. Walaupun kita sudah meniti tahun 2023, masih ramai yang kurang cakna dengan taktik penipuan di dalam talian menerusi WhatsApp seperti ini.

Terbaharu, dilaporkan terdapat skim cepat kaya yang sedia menawarkan pelaburan RM200 dengan pulangan mencapai $220 juta (~RM881 juta) atau melabur RM1,000 untuk menerima pulangan sehingga berbilion ringgit. Kegiatan penipuan yang dikesan telah berjaya memperdaya ramai mangsa di seluruh negara.

Baca Juga:

Sumber Gambar: Astro Awani

Pengerusi Pertubuhan Jaringan Sahabat Malaysia (JSM), Mohd Radzi Abdul Rahman berkata hasil siasatan pihaknya mendapati sindiket berkenaan dipercayai beroperasi seawal tahun 2001 dan memperdaya sekitar 100,000 mangsa dari pelbagai latar belakang.

Menurutnya, ahli sindiket ini akan dibahagi dan bergerak dalam kumpulan kecil dengan cara menawarkan pelbagai jenis pakej pelaburan dengan pulangan yang lumayan menerusi group WhatsApp. Mangsa-mangsa pula telah membuat pelaburan dalam jangka masa panjang menerusi pakej yang ditawarkan malah ada antara mereka telah melabur sejak tahun 2015 lagi.

Sumber Gambar: Laichikang

“Demi meyakinkan mangsa, sindiket berkenaan menggunakan dokumen palsu dan mengaku kononnya pelaburan berkenaan mendapat sokongan pelbagai agensi antaranya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) malah Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat,” katanya.

Dalam pada itu, mangsa yang terpedaya pula terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuklah orang-orang kampung sehingga orang profesional  dan penjawat awam. Malah,  ada aduan yang diterima mengalami kerugian mencecah RM1.5 juta dan rata-ratanya aduan berkenaan pelaburan ini telah dibuat di seluruh negara.

Kebanyakan mangsa ini masuk melalui WhatsApp sahaja sekaligus menyukarkan siasatan kerana tiada dokumen yang mengesahkan mereka ini sebagai ahli pelaburan berkenaan. Oleh itu, orang ramai diminta berwaspada dengan sindiket pelaburan cepat kaya terutamanya menerusi WhatsApp.

Sumber