Ini kisah suatu masa dahulu tatkala saya baru sampai di Perancis. Perbualan ini berlaku ketika saya baru mula mengikuti kelas bahasa yang pertama di ‘Croix Rouge’ (persatuan palang merah).

Persatuan ini menawarkan perkhidmatan mempelajari bahasa Perancis secara percuma. Walaupun jodoh saya di situ tak lama tetapi di situlah tempat permulaan saya belajar Perancis.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dengan penuh curious Madame Anne bertanya;

“Kenapa kamu hendak ke sana sedangkan kamu tak minum wain?”

Dengan selamba saya membalas;

“Saya mahu kenal sebahagian budaya orang sini. Bagi saya bila saling kenal, kita saling hormat menghormati”

Kartu Madame Laroppe

Pada hari tersebut, pengusaha wain dari Bruley, sebuah kampung kecil berdekatan bandar kecil Toul datang berkongsi artikel berkaitan wain. Jadi cikgu bahasa saya (Madama Anne) telah menjemput Madame Laroppe untuk berkongsi dengan kami dalam kelas berkaitan topik tersebut.

Usai kelas berakhir, saya mendapatkan kartu bisnes Madame Laroppe. Beliau menawarkan homestay countryside yang dipakejkan bersama lawatan ke vineyard kepunyaan beliau.

Saya melihat ini adalah suatu peluang pendedahan baru tentang suasana perkampungan di Perancis.

Pada waktu tersebut saya belum mempunyai kenderaan sendiri, tetapi saya telah memasang azam untuk meneroka pengalaman baru yang mana saya yakin ianya adalah unik dan luar dari kebiasaan pelancong biasa.

Hajat Yang Tercapai

bruley-1

Beberapa bulan selepas itu, tatkala saya telah mempunyai kereta sendiri. Disamping ada teman dari Belanda mahu berziarah, lalu saya telah menghubungi semula Madame Laroppe.

Beliau masih mengingati saya, lalu dengan harga bermalam yang agak murah dan berpatutan kami telah mengambil keputusan untuk berkunjung ke homestay dan ladang anggur beliau.

Tiba pada harinya, ketibaan kami disambut baik oleh *Monseiur dan *Madame Laroppe. Walaupun mereka agak terkial-kial lidah berbahasa Inggeris namun mereka cuba semampu mungkin untuk memahamkan kami disamping disulami penjelasan dalam bahasa Perancis yang kami mampu agak apa yang nak mereka disampaikan.

Ringkasnya secara umum ramai sahaja orang Perancis yang sebenarnya bukanlah sombong tetapi mereka bangga dengan bahasa sendiri.

Pendedahan Unik

bruley-2

Usai mereka memperkenalkan kami tentang homestay mereka, kami telah dibawa berjalan melawati ladang anggur dan ladang epal yang diusahakan secara bisnes keluarga. Ini adalah suatu pengalaman yang menarik dengan merasai suasana sejuk segar di sini.

Memerhati aktiviti perusahaan mereka secara dekat, dengan binatang peliharaan ladang yang dibiar bebas meragut rumput. Anggur yang mereka hasilkan adalah untuk dibuat wain.

Bisnes keluarga ini adalah bisnes turun temurun walaupun mereka bukanlah pemilik asal. Kehadiran kami di tempat mereka ini kira-kira 2 minggu sebelum hari tuaian. Jadi sempatlah melihat bagaimana jenis anggur yang diguna untuk dibuat wain.

Perihal Wain

bruley-444

Proses membuat wain pula memerlukan suatu tempat khas di bawah tanah yang dipanggil ‘la cave’ untuk memenuhi proses penapaian dengan kadar-kadar masa tertentu. Kami tidaklah sampai ambil ingat secara details, cuma cukup sekadar mampu lihat secara dekat perusahaan mereka.

Wain dalam kehidupan orang Perancis bagaikan belacan dalam kehidupan orang Melayu. Dalam fine dining mereka tidak sah kalau tak ada wain. Sebelum menikmati hidangan utama dan sesi starter, mereka akan menikmati wain terlebih dahulu sambil berborak-borak. Mana-mana restoran kalau tak sediakan wain, ada kemungkinan untuk bungkus cepat (gulung tikar).

Ringkas yang boleh saya katakan, industri wain adalah industri penting yang menggerakkan aktiviti sosioekonomi dan sosiobudaya mereka zaman berzaman.

Perihal ‘Bagguette’ dan ‘Croissant’

bruley-5

Sebelah esoknya, sarapan kami siap tersedia. Menikmati croissant dan baguette panas bersama mentega membuka selera dengan kesedapan tersendiri. Dua jenis roti ini adalah suatu identiti penting bagi dunia Perancis untuk di kenali.

Di tanah watan kita mungkin orang hanya sebut french loaf bagi bagguette yang mungkin rasa kelembutannya itu tidak sama di Perancis dan mungkin keras menggugat gigi.

Suatu perkara yang menjadi rahsia terbuka tetapi tak ramai orang tahu tentang kesedapan dan kelembutan baguette di sini adalah pada tepungnya. Teknik membuat bagguette boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja, tetapi tanpa tepung dari tanah asalnya, maka kualitinya tak mungkin sama.

Kisah roti croissant (bulan sabit) pula sebenarnya mempunyai lagendanya yang tersendiri. Dalam suatu dongeng yang dibuat oleh orang Eropah, roti croissant ini dibuat adalah sempena meraikan kemenangan bangsa ‘Frank’ (bangsa nenek moyang orang Perancis) ke atas tentera kerajaan Umayyah Andalusia dalam satu pertempuran penting pada tahun 732 Masihi iaitu ‘the Battle of Tours’.

Mengikut lagenda dongeng tersebut, croissant itu merujuk kepada lambang bulan sabit empayar Islam. Apapun cerita asal-usul tentang croissant ini masih sentiasa sekadar lagenda. Dongeng ini entah betul entah tidak. Pengalaman saya makan croissant di Perancis ni, bentuknya dah tak nampak macam bulan sabit.

Minuman untuk sarapan pula adalah secawan kopi atau teh. Disamping itu kami juga disediakan jus anggur yang biasanya diminum anak mereka. Jus anggur sebagai ganti wain yang semestinya mereka maklum bahawa kami tak minum wain.

Perbezaan Bukan Benteng

Trip satu malam di desa Bruley ini adalah suatu dedahan awal saya terhadap dunia Perancis. Baguette, Croissant dan Wain adalah suatu hal penting yang menjadi identiti budaya orang Perancis. Ia sukar sekali untuk tercabut keluar daripada hidup mereka. Bagaikan orang Asia Tenggara dengan nasi, begitu juga mereka.

Trip ini adalah untuk mengenali perbezaan budaya dan bukanlah trip untuk memperkenalkan perusahaan wain bagi sesiapa yang alergik tak bertempat.

Memahami dan mengenali budaya majoriti orang di suatu tempat pada saya adalah penting. Dengan melakukan trip sebegini bukan sahaja kita dapat memahami hal orang, bahkan orang juga dapat memahami hal kita.

Bilamana kita berteduh dan berlindung di bumbung yang sama, apakah harus perbezaan yang ada itu dibenteng-benteng dengan telahan sendiri yang pastinya tak memijak pada hakikat.

Berbenteng pun biar bertempat, bukanlah sampai menghasilkan kitaran prejudisme yang menghasilkan jurang pemisahan yang merosakkan keharmonian bernegara.

Perbezaan bukanlah untuk dibentengi tetapi untuk difahami supaya kita saling hormat menghormati. Saling memahami dan hormat-menghormati adalah usaha penting supaya jambatan perpaduan sentiasa terbina disamping robohnya tembok perpecahan.