Baru-baru ini, saya memainkan album lagu Raihan ‘Puji-Pujian’ buat anak saya yang berusia 2 tahun. Sekali putar sahaja, lagu sifat 20 dan selawat telah dihafal dan diulang-ulang oleh si comel itu (dalam pelat-pelat sebutannya itu).

Ya, mungkin ramai yang masih ingat album sulung kumpulan Raihan yang meletupkan industri jualan album di Malaysia pada tahun 1997. Album yang terjual lebih 1.5 juta unit itu, belum dipecahkan lagi rekod jualannya sampai sekarang.

Pada pengamatan saya, berikut adalah beberapa faktor yang menyebabkan lagu dan album Raihan itu mala segar dan teristimewa sampai hari ini.

1. Lagu yang sangat catchy

Siapa yang tak tahu melodi lagu ‘Puji Pujian’ yang mengalunkan dua kali syadahah? Sekali dengar terus boleh dihafal kerana ia memiliki melodi yang sangat catchy.

Kanak-kanak apatah lagi. Bukan sahaja kanak-kanak, kita pun mudah dibuai rentak serta lirik lagu itu. Itu lagu pertama. Lagu lain pun mudah diingat juga seperti lagu ‘Rakan Selawat’, ‘Iman Mutiara’ dan ‘Sesungguhnya’.

2. Mengandungi perkara-perkara hafazan asas buat seorang muslim

lagu raihan

Banyak lagu dalam album ini tidak hanya melagukan senikata atau lirik semata-mata. Ia kaya dengan perkara-perkara asas seperti sifat 20, kalimah syahadah dan selawat yang amat dekat dengan jiwa seorang muslim.

3. Muzik yang simple tapi padu

lagu raihan 1

Keseluruhannya muzik yang ditampilkan mengiringi lagu-lagu dalam album ini cukup minima. Hanya bunyi-bunyian beberapa instrumen perkusi yang mengiringi vokal.

Suara vokalisnya Nazrey serta alunan harmoni Che Amran, Zarie, Amran dan Abu Bakar sudah cukup menjadikan perkusi sekadar pelengkap persembahan lagu. Mesej daripada lirik lagunya terasa cepat sampai ke hati.

4. Lirik yang amat menyentuh hati

album lagu raihan

Antara lagu yang liriknya amat menyentuh sanubari ialah lagu ‘Kembali’ yang mengisahkan seorang yang terbaring menghadapi saat-saat kematiannya dan diulit dosa-dosa silam. Begini rangkap pertama lagu itu:

‘Kehidupan yang kau lalui tiada berarti
Namun kau masih tak menyadari
Bila wajahmu pucat lesu terbujur kaku
Bimbang hidup kau ‘kan berakhir…’

5. Artis nasyid lelaki berkumpulan yang pertama

lagu raihan 2

Raihan bukanlah kumpulan pertama yang membawakan lagu-lagu bertemakan ketuhanan dan dakwah secara total di Malaysia.

Namun kehadiran mereka dengan imej berkopiah dan anggotanya semuanya lelaki, menjadi satu fenomena baru dalam industri muzik mainstream pada dekad tersebut.

Penampilan yang kemas, sederhana, serta wajah-wajah mesra mereka juga menjadi tarikan semula jadi kepada khalayak ramai.

6. Persembahan vokal harmoni yang mantap

https://www.youtube.com/watch?v=E3YRZk7115I

Kemunculan mereka bukan sahaja unik, bahkan paduan suara harmoni mereka juga begitu merdu. Ini terbukti apabila mereka meraih 4 kali anugerah Vokal Terbaik Berkumpulan Dalam Album daripada Anugerah Industri Muzik (AIM).

Pada pengamatan saya, cakera padat album ini masih ada dijual di kedai-kedai CD mahupun di kedai buku-buku agama. Di Amazon.com pun masih ada.

Kadangkala yang terlalu istimewa itu hadir hanya sekali, untuk memberi impak yang besar kepada kehidupan. ‘Puji Pujian Raihan’ mungkin salah satu daripadanya. Lihatlah bagaimana perkembangan lagu-lagu dan artis yang membawa mesej ketuhanan, zikir dan selawat pada hari ini.

Tidak menghairankan juga apabila Raihan masih tersenarai dalam senarai ‘The Muslim 500: The World’s Most Influential Muslims’ selama 9 tahun berturut-turut menurut kajian Universiti Georgetown, Washington.

Marthin Luther pernah berkata, “Next to the Word of God, the noble art of music is the greatest treasure in the world.”

Buat Raihan, semoga anda terus kekal di persada muzik. Rindu kolaborasi semula Raihan dengan Nazrey Johani!