Desas desus penubuhan kerajaan baharu kuat kedengaran sejak pagi semalam, Perikatan Nasional yang bakal dibentuk adalah gabungan dari parti Bersatu, UMNO, PAS, Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), lapor Sinar Harian.

Semalam, lima mesyuarat parti-parti besar telah menarik perhatian media tetapi perbincangan diadakan secara tertutup dan tidak dikeketahui apa tujuannya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kemesraan yang ditunjukkan oleh para pemimpin parti ketika hadir untuk acara ‘Makan Malam’ di Hotel Sheraton, Petaling Jaya telah menguatkan lagi spekulasi yang berputar dari pagi hari Ahad, 23 Februari 2020 sehinggalah ke sebelah malam.

Situasi ini mengingatkan sedikit demi sedikit pada hari peristiwa yang telah memperlihatkan kejatuhan UMNO pada Pilihan Raya Umum yang Ke-14 pada Mei 2018 yang lalu.

Jika berlaku peralihan tampuk kepimpinan negara, ia akan menimbulkan tanda tanya kepada kita ; kadang-kadang mana yang lebih kejam? Janji yang tak ditepati atau harapan yang diletak terlalu tinggi? Beberapa janji yang gagal ditunaikan oleh PH atau harapan rakyat teralu tinggi untuk melihat perubahan baharu dalam landskap pimpinan negara yang lebih menghormati rakyat.

Namun yang pasti, jika berlaku pertukaran warna, yang lebih berhak untuk menjawab soalan-soalan ini adalah mereka yang tergolong dalam kalangan orang yang rugi.

Siapa sebenarnya orang yang rugi? Sudah tentu golongan rakyat yang telah meletakkan harapan tinggi untuk melihat Malaysia Baharu. Daripada golongan besar rakyat ini, terdapat kelompok kecil yang bertungkus lumus dalam diam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Sehinggalah kita dapat melihat bagaimana perubahan kuasa telah dijatuhkan buat pertama kali dalam sejarah kancah politik negara.

Farhan Zulkefly dalam ciapannya yang mendapat beberapa ribu perkongsian di laman Twitter memberi lima kelompok rakyat yang rugi.

Pertamanya adalah golongan #PulangMengundi, mereka diberi bantuan untuk pulang setelah Dato’ Sri Najib Razak meletakkan hari mengundi jatuh pada hari Rabu. Berpusu-pusu mereka ini pulang ke kampung dan tempat asal masing-masing dengan niat mahu melihat perubahan besar dalam tampuk kepimpinan negara.

“Kerana usaha mereka, peratusan tinggi mengundi dan membantu Azmin dan yang lain menang. Akhirnya mereka menjadi MP [Member of Parliament]. Bayangkan jika hari ini mereka dikhianati?” kata beliau dalam ciapannya.

Kedua adalah Polling Agent & Counting Agent (PACA) yang telah bertugas lebih awal sebelum PRU Ke-14  berlangsung. Merekalah petugas yang memastikan proses check and balance berlangsung dengan baik di kalangan petugas Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Usaha mereka ini menyaksikan perubahan kerajaan berlaku dalam keadaan tenang walaupun rakyat terpaksa menunggu sehingga awal pagi untuk mengetahui keputusan akhir PRU Ke-14 yang lalu.

Ketiga kata Farhan adalah 48% pengundi Pakatan Harapan (PH) yang telah menunggu sejak dari jam 8 pagi sehinggalah jam 5 petang pada 9 Mei 2018 untuk memastikan perubahan pucuk pimpinan berlaku dari peringkat akar sehinggalah ke atas.

Manakala pengundi PKR dan DAP menjadi point seterusnya kerana jika tiada kerjasama antara mereka -PKR, DAP, Bersatu, Amanah dan Warisan. Penubuhan Malaysia Baharu pastinya terencat.

Kelompok inilah yang berjuang sehingga penubuhan Malaysia Baharu terlaksana dan melihat bagaimana parti tertua di Malaysia, UMNO tumbang di setiap pelusuk negara dan gabungan Barisan Nasional (BN) goyah dengan keluarnya beberapa komponen kecil.

Terakhir kata Farhan adalah dua sosok yang sering menjadi watak utama dalam kancah politik Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah. Sosok ini menjadi popular sejak tahun 1998 lagi dan mereka adalah antara ‘watak’ yang sering menjadi mangsa kepada pengkhianatan si Kitol.

Tidak dinafikan mereka juga menjadi antara ‘watak’ paling boring – macam di Malaysia tiada ahli politik lain – dalam kancah politik Malaysia, tetapi mereka jugalah antara pelopor awal yang menyodok idea untuk menentang pemerintahan UMNO. Usaha mereka untuk meruntuhkan parti tertua sejak dari tahun 1998 tidak boleh hanya dipandang sebelah mata.

https://twitter.com/Don9Ahmad/status/1231570318591811584

Ini mungkin dari sudut pandang Farhan, tetapi secara besarnya yang paling terkesan semestinya rakyat Malaysia – tidak kira dari utara mahupun Sabah dan Sarawak. Merekalah golongan paling terkesan jika perubahan kerajaan berlangsung.

Kelakuan khianatlah yang telah membunuh rasa hati rakyat untuk melihat bahawa masih wujud harapan pada Malaysia untuk memberi sedikit rasa kasih kepada mereka yang terbeban dengan ekonomi yang semakin ‘menggila’ sekarang.

Politik jugalah yang menimbulkan rasa muak rakyat kepada golongan pemimpin yang lebih mementingkan kuasa dan bukannya aspirasi untuk membantu rakyat.

Jadi, seperti persoalan yang diajukan oleh Astro Awani semalam, adakah kita di era hanya lima tahun sekali rakyat boleh menyuarakan kuasa. Selepas itu, ahli politik boleh berbuat sesuka hati mereka?

Di akhirnya nanti. Kita masih akan berdoa untuk melihat Malaysia yang lebih baik.

Jika anda mahu mengetahui dengan lebih lanjut apa yang terjadi semalam. Boleh klik pautan di bawah.

Sekadar ‘Makan Malam’, Tun Mahathir Buktikan Terima 131 Sokongan Ahli Parlimen