Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Seorang ayah yang baru pulang dari kerja suatu petang dalam keletihan. Dalam fikirannya, sebaik tiba di rumah, mahu baring-baring sekejap untuk melepaskan lelah seharian.

Namun, sesampainya di pintu, anak-anaknya yang berusia 2, 3 dan 6 tahun sudah sedia menunggu dan melompat girang, manakala yang bongsu menggapai-gapai tangan minta didukung.

Si ayah tadi ada dua pilihan bagaimana mahu melayan anak-anaknya.

Satu, memberitahu anak bahawa dia amat letih dan mahu berehat, jadi usah ganggu ayah.

Dua, berlalu sahaja terus ke dalam rumah tanpa menghiraukan anak-anak yang teruja gembira melihat ayah pulang di muka pintu.

Apakah agaknya perasaan anak-anak dalam keadaan begitu?

Tentunya kecewa dan sedih, selain beranggapan ayahnya adalah seorang yang membosankan dan tidak menyeronokkan.

Mahukah kita menjadi ibu ayah yang masih mampu gembirakan anak walaupun dalam keadaan kita yang tidak sepertinya dan dengan hanya sedikit usaha namun besar impaknya pada anak?

Dalam buku Screaming-Free Parenting oleh Teguh Iman Perdana, diberikan satu contoh menarik yang boleh dipraktikkan oleh ibu atau bapa dalam situasi yang hampir sama seperti di atas.

Si ayah tadi, setelah sampai di pintu, boleh berpura-pura menjadi lembu yang haus dan keletihan. Minta anak-anak ambilkan air dan kemudian katakan bahawa ‘lembu’ ini keletihan dan mahu tidur.

Untuk lebih dramatik, si ayah boleh merangkak menuju ke sofa dan berehat. Menarik untuk dicuba, kan?

Penulis buku Screaming-Free Parenting ada mencadangkan 9 latihan yang mampu bantu anda jadi ibu ayah yang positif dan awesome. Di sini, saya kongsikan 5 latihan sahaja. Selebihnya, boleh baca buku tersebut.

Latihan 1: Detik Keemasan Dan Hargai Anak

Usia emas seorang anak bermula sejak lahir hingga lima tahun. Ia akan dipenuhi dengan detik keemasan iaitu saat yang datang secara spontan, tanpa diduga yang memberi kesan mendalam serta berbekas dalam hidup seseorang.

Sebagai ibu bapa, anda perlu beri perhatian, pujian, dan penghargaan buat anak kerana mereka amat mengharapkan semua ini. Oleh itu ibu bapa perlu lebih sensitif akan kehadiran detik ini.

Dengan latihan berterusan, ibu bapa boleh mengasah sensitiviti yang lebih terhadap anak. Contoh, tunjukkan penghargaan anda terhadap apa saja tindakan atau perlakuan yang positif dan baik yang dilakukan oleh anak kerana ia amat bermakna walaupun kecil.

Paksa diri kita untuk beri lebih perhatian terhadap tingkah laku anak. Cuba lebih proaktif dalam mengamati setiap perilaku anak.

Cara untuk memanfaatkan detik keemasan ini adalah dengan menghentikan kesibukan anda sekejap, tanya anak apa yang diperlukannya, biarkan anak bercerita dan kita berikan perhatian bila anak berkomunikasi dengan kita serta beri tindak balas yang positif serta puji yang sepatutnya.

Latihan 2: Tidak Meremehkan

Salah satu sikap yang terdapat pada kebanyakan kita adalah sikap suka memandang remeh, bercakap buruk atau memperlekeh orang lain. Perkara ini berlaku sama ada kita sedar atau tidak. Sikap sebegini sebenarnya mampu membunuh karakter anak.

Untuk elak anak bersikap meremehkan orang lain, berikan perhatian terhadap dua perkara ini:

1. Ingat kembali peristiwa detik keemasan.
2. Perhatikan kalau anak sebenarnya mahu dipuji atau diberikan perhatian.

Jika anak bercerita pada kita tentang hal-hal yang positif, pandang wajahnya, pamerkan wajah ceria kita diikuti pelukan atau pujian. Jika sebaliknya, kita boleh menunjukkan simpati dengan mempamerkan muka sedih. Ibu bapa ada ketikanya perlu paksa diri menerima keluh kesah anak.

Latihan 3: Memuliakan Anak

Latihan ini sedikit berbeza dengan beri pujian. Ibu bapa perlu biasakan diri layan anak dengan memberi penghargaan dan penghormatan yang sewajarnya untuk mereka.

Biarpun kecil seperti membuatkan susu sebelum tidur, membetulkan kolar baju atau membetulkan kerusi yang anak duduk sudah cukup untuk tunjukkan yang kita muliakan dan menghargai anak.

Disamping itu, tunjukkan wajah yang manis dan senyum pada anak. Melalui latihan ini, anak akan rasa lebih selesa dan disayangi. Anak akan lebih sihat secara emosi.

Latihan 4: Bercerita

Merupakan salah satu cara yang berkesan untuk berkongsi ekspresi. Dengan bercerita, ibu bapa boleh membuai anak dengan contoh yang positif dan nilai hidup yang baik. Melalui latihan yang halus dan gembira ini, ibu bapa dapat menanamkan nilai yang positif, berprinsip dan bermanfaat dalam kehidupan.

Mulakan dengan kisah nabi atau kisah dongeng yang mempunyai jalan cerita yang baik dan bermoral tinggi – kita mahu anak mendapat persepsi yang baik dalam minda mereka.

Buat latihan bercerita dengan penuh ekspresi muka, gerakan badan seperti melompat dan mimik muka, kalau perlu berdrama sedikit.

Latihan 5: Meminta Maaf

Pada zaman ini, ibu bapa yang berbuat salah juga patut meminta maaf pada anak. Jika dulu, semua ibu bapa sahaja yang betul, kini tidak lagi. Ibu bapa yang membuat silap pada anak, tetap juga meminta maaf dan berusaha lawan ego sendiri.

Tunjukkan teladan yang baik. Tanamkan pada anak, bahawa sikap merendah hati dan meminta maaf adalah tanda-tanda orang yang berjiwa besar.

Bila kita berbuat demikian, lama-lama anak juga akan ikut untuk belajar menjadi besar hati, melapang jiwa dan bersikap positif. Mintalah maaf secara ikhlas, jangan biarkan anak meraguinya.

Latihan-latihan ini mungkin agak sukar bagi sesetengah ibu bapa, tetapi jika dilatih dan berusaha untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik, amat besar impaknya pada anak. Pilihlah mana latihan yang sesuai dengan situasi masing-masing. Semoga ada manfaatnya.

Anda boleh dapatkan buku Screaming-Free Parenting di sini.

Anda Mungkin Suka