Rakan-rakan mungkin selalu menerima nasihat tentang penggunaan Twitter, Facebook, WhatsApp dan Instagram. Ada yang kata bagus. Ada yang kata jangan guna terlalu lama, jangan obses padanya, dan begitu-begini.

Baru-baru ini Dr Peggy Kern, seorang Professor Kanan dari Universiti of Melbourne, Australia telah menemui beberapa dapatan menarik tentang tabiat pengguna media sosial.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ringkasnya, menurut kajian beliau mengisi masa dengan Twitter, Instagram atau Facebook sebenarnya membantu seseorang yang bermasalah keresahan dan kesunyian sosial.

Rumusan tersebut adalah berdasarkan kaji selidik ke atas 70 orang pelajarnya. Apakah lagi penemuan-penemuan Dr. Peggy Kern dalam kajian itu? OK, izinkan saya senaraikan di sini ya.

1. Menurut beliau, bagi sesetengah orang media sosial berkesan menjadikan mereka rasa diraikan oleh orang di sekelilingnya. Mereka rasa diterima dan lebih gembira.

Ini kerana melalui ruang maya, seseorang yang bimbang untuk bersosial secara terbuka (mungkin pemalu, kurang keyakinan diri dan seumpamanya) boleh berhubungan dengan lebih selesa. Secara tidak langsung ia baik untuk kesihatan mental mereka.

2. Kajian tersebut dibuat secara perbandingan antara tahun 2005 dengan 2016. Ia meninjau berapa lama seseorang melayari media sosial, berapa ramai rakan media sosial mereka serta perasaan mereka terhadap penerimaan rakan-rakan tersebut.

3. Seperkara yang juga menarik dalam kajian ini adalah perbezaan tempoh melayari media sosial antara seseorang dengan seseorang yang lain tidak menunjukkan perbezaan ketara terhadap hasil kajian.

Maksudnya, sekejap sahaja layan Facebook pun OK. Tidak mesti lama-lama baru sel-sel otak berhubung.

4. Media sosial juga didapati berguna untuk mengetahui sama ada seseorang menghadapi masalah kesihatan mental tertentu. Kita boleh tahu seseorang sedang berkonflik, marah, putus cinta, kecewa dan sebagainya melalui status atau cara ia ditulis. Awas!

5. Dr. Kern juga tidak menafikan bahawa apabila seseorang beremosi negatif, tulisannya juga berlenggok jengkel. Misalnya, dalam keadaan marah, seseorang cenderung menulis perkataan dan ayat yang kasar, kritikan negatif, mencederakan perasaan orang lain dan seumpamanya.

6. Walaubagaimana pun kesan positif dan negatif yang timbul daripada media sosial, hakikatnya ia telah pun di tangan kita. Ia akan terus menjadi alat yang berguna untuk menghubungkan manusia dalam masa sebenar.

Misalnya seorang penulis jawa yang tinggal di persisiran pantai Mersing, Johor yang punya ramai kenalan di Liverpool.

Saya Juga Pengguna Media Sosial

1. Ketika marah (kerana membaca berita tertentu atau kerana insiden tertentu), kita disarankan supaya menangguhkan luahan rasa marah itu di Facebook.

Caranya sama ada menyimpan telefon pintar terus di dalam poket, atau tutup tetingkap Facebook di komputer, tarik nafas dalam-dalam dan bertenang (istighfar lebih baik).

2. Ketika terasa ingin menulis sesuatu di Facebook, saya selalu cuba ingat pesan guru supaya berikan 7 sebab kukuh mengapa status itu perlu ditulis (dan ini yang selalu gagal saya turuti).

3. Facebook menyediakan butang ‘sunting’ dan ‘padam’ pada tepi status yang kita tulis, untuk kita ubah suai ayatnya atau padam sebarang status yang kita tulis.