Awal Disember tahun lalu, kita dikejutkan dengan statistik yang diumumkan oleh Ketua Audit Negara bahawa hampir 95% daripada pelancong China dan India yang melawat Malaysia tiada rekod keluar.

Peratusan yang membawa kepada jumlah 100,000 orang itu merupakan penyumbang terbesar kepada lambakan pendatang asing tanpa izin di negara ini sehinggakan menjadikan Malaysia sebagai ‘syurga’ buat mereka.

Dalam usaha menangani isu ini, pihak imigresen telah menjalankan program pengampunan Back For Good (B4G) yang bermula sejak 1 Ogos  lalu sehingga tengah malam semalam (31 Disember).

Di bawah program B4G ini, mana-mana imigran yang tidak mempunyai dokumen sah boleh menyerah diri dan membayar denda untuk dihantar pulang ke negara asal mereka.

Sumber: Malaysia Kini

Hasil daripada program tersebut, malam tadi pejabat imigresen didapati dipenuhi dengan kehadiran golongan imigran yang datang melakukan permohonan saat akhir. Perkara ini membawa kepada jumlah terkumpul adalah lebih daripada 180,000 orang.

Untuk makluman semua, bermula hari ini (1 Januari 2020), kerajaan telah melakukan pengecualian visa selama setahun dengan tempoh lawatan terhad kepada 15 hari tanpa tempoh lanjutan bagi pelancong India dan China yang mana mereka perlu melakukan perjalanan ke Malaysia dalam tempoh tiga bulan selepas berdaftar dalam sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik.

Dikepilkan beberapa artikel berkaitan dengan warga asing yang sesuai untuk dijadikan bahan bacaan tambahan. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

Malaysia Tawarkan Pengecualian Visa Buat Pelancong China Dan India Bermula Tahun Hadapan

Kemudahan Visa ‘Dicabuli’, Lebih 95% Pelancong China Dan India Tiada Rekod Keluar Malaysia