Luar biasa! Ungkapan yang terucap sewaktu menjadi penonton untuk konsert hebat Hujan x Masdo di MAEPS, Serdang pada hari sabtu yang lalu. Walaupun lokasi konsert yang agak jauh daripada mana-mana kenderaan awam, ianya tidak mematahkan semangat peminat Hujan dan Masdo untuk sama-sama berhibur bersama dua kumpulan ini.

Ini juga merupakan kolaborasi pertama serta konsert berskala besar buat kedua-dua kumpulan. Hampir 30 lagu dimainkan dalam masa dua jam lebih di mana setiap lagu diselia dan dipantau oleh AG Coco, yang juga merangkap pengarah muzik konsert ini.

hujan 2

Di antara segmen-segmen khas yang dipaparkan adalah persembahan ‘mash-up’, ‘battle of the bands’ Hujan vs Masdo, set Disko dan juga ‘strip down’. Tidak ketinggalan juga adalah persembahan lagu-lagu popular Hujan dan Masdo. Terdapat juga segmen tribute yang ditujukan khas buat dua kumpulan yang sama-sama berjuang di peringkat awal pembabitan mereka dalam dunia muzik ‘indie’ iaitu Laila’s Lounge & Komplot.

Mengharukan apabila bukan hanya peminat dari Lembah Kelang, malah ada peminat dari serata Malaysia dan Singapura turut sama hadir ke konsert ini.

“Saya sangat teruja apabila mendapat tahu bahawa terdapat ramai peminat Hujan atau Raingers yang sama-sama membesar dengan kami dari seluruh Malaysia membeli tiket dan sanggup turun ke MAEPS, Serdang untuk menyaksikan konsert Hujan X Masdo ini. Apa yang kami dapat janjikan adalah untuk menghargai semua Raingers yang datang dengan satu persembahan yang luar biasa. Terima kasih semua!” ujar Noh selaku vokalis kumpulan Hujan.

hujan 3

hujan 4
Antara peminat yang hadir dari serata Malaysia

“Konsert ini memang lain. Kebanyakan gimik persembahan yang kami buat perlukan latihan yang mengambil banyak masa. Dan untuk persembahan mash-up dan ‘battle’ kami sudah sediakan dua set dram, empat buah gitar, serta dua bass. Jadi ia agak mencabar untuk susunan muzik yang ingin kami persembahkan tu. Insyaa Allah, kami harap para peminat Hujan dan Masdo akan berpuas hati dengan muzik kami pada malam konsert itu nanti,” tambah AG selaku pengarah muzik untuk malam tersebut.

Penerbitan Konsert Hujan x Masdo lahir daripada kerjasama di antara GBAM PRODUCTION SDN BHD & CST PRODUCTION SDN BHD. Dengan kepakaran teknikal GPSB serta kreativiti visual CSTSB, ia dijangka akan menghasilkan satu impak besar terhadap hasil akhir Konsert HujanXMasdo ini. Ia juga menampilkan pembabitan Fork & Spoon Entertainment dalam memberikan kesan audio visual yang luar biasa.

Persembahan ditutup dengan lagu yang menaikkan nama Hujan dalam persada seni tanah air, Aku Scandal. Ianya satu konsert yang semestinya akan menjadi bualan ramai kerana kualiti konsert ini yang sangat baik dari segala aspek. Tahniah Hujan dan Masdo!