Jika kita menyertai acara bidaan, adakalanya kita dapat memiliki sesuatu barangan pada harga yang lebih rendah daripada pasaran semasa dengan kualitinya masih dianggap baik.

Baru-baru ini sebuah kereta Nissan Fairlady 350Z dibida pada harga tertinggi iaitu RM35,600 dalam Sesi Lelongan Awam Kenderaan Sita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Siri 2/2022, kelmarin.

Baca Juga:

Menurut Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, sebanyak 49 kenderaan berjaya dilelong dalam acara itu dengan kutipan keseluruhan berjumlah RM285,750.

“Pada 28 Mac lalu, 97 kenderaan sita dilelong dengan mengutip RM395,246 membabitkan 91 kenderaan boleh dilesenkan, manakala enam lagi kenderaan yang tidak boleh dilesenkan (scrap).

“Pada lelongan kali ini, kenderaan yang tidak boleh dilesenkan (scrap) dijual dengan harga bidaan tertinggi ialah RM17,100 (Lori Rigid Tipper Dumper).

“Manakala bagi kenderaan yang boleh dilesenkan, bidaan harga tertinggi adalah (Nissan Fairlady 350Z) dengan harga RM35,600. Jumlah hasil keseluruhan yang berjaya dilelong pada tahun ini (Siri 1 & 2/2022) adalah sebanyak RM680,996.

Beliau berkata, hanya peserta yang membeli Dokumen Penjualan Lelong dan mendatangani perakuan menyertai lelongan sahaja yang dibenarkan mengambil bahagian dalam penjualan lelong terbabit.

“Pembida menawarkan harga tertinggi adalah pembida yang berjaya. Harga kenderaan adalah tertakluk kepada harga minimum yang ditentukan.

“JPJ juga berhak menarik balik mana-mana kenderaan jika tidak berpuas hati atas harga ditawarkan atau harga tidak mencapai harga minimum ditentukan,” katanya.

Dalam acara bidaan itu berlangsung sebanyak 27 unit motosikal, kereta (12 unit), forklift (2 unit), trelee (1 unit), van (2 unit), lori (4 unit) dan satu unit bas ditawarkan kepada para pembida.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.