Ahad lalu, kami mendapat undangan untuk ke tayangan filem Lebuhraya Ke Neraka arahan direktor terkemuka negara, Mamat Khalid. Pertama kali melihat poster dan trailer filem ini, saya mengagak ini mungkin tipikal filem seram tempatan atau perlumbaan di mana genre ini memang menjadi pilihan direktor tempatan; selain filem cinta.

Saya menonton filem ini dengan clear mind sebab sebelum undangan untuk filem ini, jujur saya cakap saya tidak pernah dengar mengenai filem ini. Tetapi sebab ianya filem Mamat Khalid, saya juga bayangkan mungkin ini filem seram komedi macam filem Hantu Kak Limah. Apa-apapun, teman layankan dulu filem ini yob.

Screen-Shot-2018-01-08-at-6.49.39-PM
HYPE
Bertekak Gara-Gara Nak Beli Rumah Kedua, Apa Kena Pula Awal & Scha Ni?
Baca lagi →

Jalan cerita filem seram arahan Mamat Khalid ini mengisahkan tentang sekumpulan anak-anak muda yang suka mengembara dengan motor berkuasa tinggi. Ketika dalam satu konvoi ke Betong Siam bersama ketua mereka, Bob(Awie) konvoi mereka dilanda mala petaka dan Bob selaku ketua perlu mencari jalan penyelesaian.

Jadi selepas habis menonton filem ini, apa yang saya dapat rumus adalah filem ini memang ‘lain macam’ dan berpendapat Lebuhraya Ke Neraka ini sebenarnya antara karya hebat Mamat Khalid. Mari kita lihat breakdown filem ini dari sudut pandangan saya.

1. Filem ini ambil masa 6 tahun sebelum diluluskan

Filem berkaitan agama ini tidak boleh buat main. Jadi Mamat Khalid memang ambil berat perkara ini. Untuk filem Lebuhraya Ke Neraka, skrip filem ini dihalusi oleh Mufti Perak terlebih dahulu, mengambil pandangan tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Selepas mendapat lampu hijau, barulah Mamat Khalid meneruskan pengambaran filem ini.

Mamat Khalid sendiri turut hadir semasa tayangan ini dan beliau bercerita yang jadi lambat filem ini ditayangkan di pawagam adalah kerana beliau perlu turun naik Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk proses meluluskan filem ini. Walaupun mengambil masa yang lama, tetapi Mamat Khalid berpuas hati kerana walaupun perlu membuang beberapa scene yang agak ‘keras’, filem beliau tidak lari dari visinya yang asal.

2. Filem spiritual yang relevan kepada masyarakat

Kredit kepada Mamat Khalid kerana berjaya menghasilkan sebuah filem yang berjaya buat penonton sentap. Lebuhraya Ke Neraka sarat dengan mesej-mesej dakwah yang mild tetapi tajam terus ke hari. Terutamanya pada watak Shah Jazle dan Miera Liyana. Rasanya ramai anak muda yang boleh relate hidup anda dengan kehidupan pasangan ini.

Mamat Khalid menimbulkan pelbagai persoalan yang pasti akan buat anda berfikir selepas habis menonton filem ini. Apa akan anda lakukan sekiranya syaitan datang menggoda di saat hujung nyawa? Cukupkah amalan kita untuk kita masuk ke syurga? Ini cara Mamat Khalid berdakwah kepada penonton yang beliau beri secara halus tetapi tajam dalam filem ini.

Sebelum cerita-cerita komedi arahan beliau sebelum ini, Mamat Khalid memang hendak buat filem serious sebegini kerana filem serious ini adalah genre filem yang paling dekat di hati abang Mamat. Lebuhraya Ke Neraka adalah filem serious pertama Mamat Khalid.

3. Khir Rahman

Sebelum munculnya Tyson lakonan Khir Rahman, filem ini bagi saya mendatar dan bosan. Tetapi itu perkara biasa kerana setiap filem perlukan fasa character development. Kalau ada orang yang tidak sabar, terus dia kata filem ini bosan dan tak best.

Tetapi itu semua berubah apabila Khir Rahman muncul. Persembahan Khir Rahman dalam ini memang sangat hebat. Kebanyakkan babak antara Bob dan Tyson pastinya akan buat anda terfikir sejenak kembali segala dosa masa silam anda dan mampukan anda melawan Tyson andai beliau datang di saat hujung nyawa? Nak tahu siapa itu Tyson? Kenalah tonton filem ini.

Boleh kata Khir Rahman adalah tulang belakang filem ini. Tanpa beliau, filem ini pastinya akan lebih suram dan membosankan. Mamat Khalid memang percayakan kebolehan Khir untuk bawa watak Tyson ini dan beliau melakonkan dan menjiwai watak Tyson seperti beliau pernah jumpa Tyson sebelum ini. Kalau ada ketegori filem dan Khir Rahman tidak menang apa-apa, gelaplah masa depan perfileman negara.

4. Muzik latar oleh Space Gambus Experiment

Kumpulan muzik Space Gambus Experiment ini memang memberi definasi baru kepada muzik latar perfileman tempatan. Filem-filem tempatan lain boleh jadikan filem Lebuhraya Ke Neraka ini sebagai reference untuk perkara ini. Menurut Mamat Khalid, muzik latar ini dibuat Space Gambus Experiment khas untuk filem ini.

Sebab itu setiap adegan dalam filem ini moodnya naik disebabkan muzik latar yang banyak main peranan. Filem-filem hebat Hollywood semua mengambil berat tentang muzik latar kerana tanpa muzik latar, filem pastinya akan mendatar. Kudos Mamat Khalid kerana mengetengahkan bakat Space Gambus Experiment. Moga mereka dapat berkarya lagi dalam filem-filem tempatan yang akan datang.

5. Tribute kepada filem-filem epik era 70-80an

Semasa sesi bual bicara, barulah tahu Mamat Khalid ini peminat filem karya Stanley Kubrick. Begitu juga dengan Aziz M. Osman yang turut bersama dalam sesi bual bicara. Dalam filem ini, Mamat Khalid berkata beliau berjaya membuat tribute kepada filem-filem hebat yang beliau lihat sewaktu zaman muda dahulu.

Paling ketara adalah watak roh kembar dalam filem ini. Kalau anda peminat filem seram The Shining, pasti tahu berkenaan kembar ini kan? Begitu juga dengan framing beberapa adegan filem ini. Kalau anda terjemahkan terus tajuk filem ini, ianya terus bermaksud highway to hell, juga tribute kepada tajuk-tajuk filem era 70an dan 80an. Mungkin selepas ini Mamat Khalid hendak buat filem Tangga Ke Syurga (Stairway to Heaven) pula?

Ini adalah filem paling deep Mamat Khalid yang penuh dengan nilai positif. Dan saya pasti, pasti ramai yang akan terkesan selepas menonton filem ini. Bagus juga filem ini keluar sebelum Ramadhan. Peluang untuk semua kembali muhasabah diri sebelum kita melangkah ke bulan Ramadhan.

Kalau anda hanya lihat trailer sahaja, tidak cukup kerana trailer filem ini hanya fraction kepada filem ini dan langsung tidak menceritakan filem ini secara penuh. Tontonlah filem ini di pawagam. Tiada rating untuk filem Mamat Khalid ini kerana anda anda terkesan, maka naiklah rating filem ini di hati anda. Yang pasti, filem ini ratingnya tinggi di hati saya.

P/S : Terima kasih kepada pihak Sisi Seni dan Veedo kerana sudi menjemput kami untuk acara bual filem ini. Semasa perkongsian ini barulah tahu betapa hebatnya filem ini kerana banyak hint yang Mamat Khalid letak sepanjang filem ini untuk buat anda cari dan fikir.

Anda Mungkin Suka