Pada 1 April 2017, secara rasminya taman tema Lego Land di Nagoya telah dibuka kepada umum. Ini merupakan taman tema Legoland yang ke-3 di buka di negara tersebut selepas Osaka dan Tokyo. Cuma yang menariknya, Legoland di Nagoya ini merupakan taman teman terbuka yang pertama di Jepun.

Dikhabarkan, Legoland di Nagoya ini mungkin bakal menjadi taman tema Legoland yang paling meriah sekali di Jepun. Diharapkan, dengan wujudnya Legoland ini, ia bakal menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Negara sakura ini.

Siapa sangka, hasil inspirasi daripada mainan buatan Denmark ini mampu pergi sejauh ini. Selain daripada permainan outdoor, antara tarikan utama di taman tema ini ialah pengujung berpeluang bersiar-siar di kota miniaturnya.

Kota miniatur di Miniland itu memiliki beberapa model bangunan terkenal yang menjadi mercu tanda di jepun seperti stesen Tokyo, Kiyomizu di Kyoto, dan istana Nagoya setinggi 2 meter. Dianggarkan, sekitar 10 juta kepingan blok Lego digunakan untuk membina kota tersebut.

Dengan keluasan 9.3 hektar, Legoland di Nagoya ini turut menyediakan lebih daripada 40 permainan interaktif dan pertunjukan buat pengunjungnya. Selain daripada itu, terdapat lebih daripada 10 ribu model permainan lego di sini.

Daripada bentuk bangunan, model permainan sehinggalah makanan, semuanya diinspirasikan daripada bentuk lego. Pengunjung yang ingin ke sini boleh mendapatkan pas lawatan dengan harga 6,900 Yen untuk sehari dan 13,300 Yen untuk setahun.

Legoland ini dibahagikan kepada 7 zon berbeza seperti yang dipaparkan dalam The Lego Movie termasuklah Bricktopia, Knights Kingdom, Pirate Shores, dan Miniland.

Dalam masa yang sama, terdapat juga rancangan membina hotel bernilai 10 billion Yen pada tahun 2018 sebagai sebahagian daripada projek mewujudkan kawasan resort.