Mahkamah Seksyen di Tawau, Sabah semalam telah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun ke atas seorang lelaki warga emas yang berumur 80 tahun. Dia didapati bersalah kerana memiliki dadah seberat 30.75 gram Methamphetamine tahun lalu yang dijumpai oleh pihak berkuasa di rumahnya di Kampung Batu, Semporna pada jam 4 petang, 17 Disember 2020.

Lelaki warga emas yang bernama Hashim Sahipa membuat pengakuan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas pertuduhan dibacakan. Turut ditahan bersama semasa serbuan dadah dirumah tersebut adalah isterinya, Roaina Ali yang berumur 70 tahun.

Hashim dalam pengakuan terbabit memaklumkan kepada pihak mahkamah bahawa isterinya tidak ada kaitan dengan dadah tersebut dan tidak mengetahui tentang kewujudan barang tersebut. Hakim mahkamah kemudiannya membuat keputusan Roaina dilepaskan tanpa dibebaskan. Roaina seterusnya akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen atas kesalahan tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Sebelum ini, pasangan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan selepas pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menemui 57.04 gram hablur putih dipercayai Methamphetamine dalam serbuan di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, pendakwaan menukar pertuduhan mengikut Seksyen 39A(2) selepas laporan kimia mendapati berat sebenar Methamphetamine yang dirampas adalah 30.75 gram. Mengikut seksyen terbabit, jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang lima tahun dan juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya berkata, tanpa mengira usia tua atau muda, perbuatannya memiliki dan mengedar dadah adalah salah dan hukuman sewajarnya dijatuhkan ke atas tertuduh sebagai pangajaran kepada semua pihak termasuk dia sendiri. Bagaimanapun, mahkamah tidak akan mengenakan sebatan ke atas Hashim selepas mempertimbangkan faktor umur dan kesihatan tertuduh.

Rakyat Malaysia ditahan di Australia kerana dadah. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Pecah Rekod Rampasan Terbesar, Rakyat Malaysia Ditahan Bawa Dadah Bernilai RM431 Juta Di Australia

Kartel Dadah Mexico Hantar Kepala Manusia Sebagai ‘Hadiah’ Selamat Datang Buat Ketua Polis Baharu

Perang Dadah Mexico, Anak El Chapo Bunuh Dan Gantung Mayat Musuh Di Bawah Jambatan