Semalam, kecoh dibincangkan di media Australia mengenai isu scam visa perlindungan yang ditawarkan kepada imigran terutamanya warga Malaysia yang berhijrah ke negara tersebut untuk bekerja.

Maklumat ini dikongsikan sendiri oleh seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Nazuan Apis yang sudah bekerja di negara itu semenjak tahun 2016 dengan visa bekerja 3 bulan.

Menurut Nazuan, beliau dan 15 orang rakan serumahnya ditawarkan visa perlindungan oleh individu warganegara Malaysia yang dipercayai sebagai agen pekerjaan. Mereka hanya dikehendaki untuk membayar AUD100 (~RM288) untuk visa perlindungan.

Visa perlindungan ini dipercayai sebagai permit untuk imigran berada di negara tersebut selama yang mereka mahu dengan syarat visa bekerja yang mereka miliki masih sah. Pemegang visa perlindungan sebenarnya perlulah mematuhi beberapa syarat seperti individu tersebut disahkan sebagai pelarian dan beberapa syarat yang lain.

Mereka kemudian dikehendaki untuk mengisi beberapa borang dan perlu ke balai polis berdekatan untuk mengesahkan dokumen tersebut. Tambahnya lagi, visa perlindungan merupakan perkara biasa untuk rakyat Malaysia yang bekerja di sana.

Nazuan kemudian tetap tinggal di Australia selama setahun dengan niat untuk terus bekerja dan mengumpul lebih banyak pendapatan sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia untuk menyambut kelahiran anaknya.

nazuan apis-horz
Sumber: Daily Mail UK

Walau bagaimanapun, ketika berada di lapangan terbang, Nazuan terpaksa berhadapan dengan pihak berkuasa dan menceritakan kesemuanya kepada mereka. Beliau sempat diberi peringatan untuk tidak kembali ke negara itu selepas ini.

Bertindak hasil dari maklumat tersebut, kerajaan Malaysia kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia mengenai isu ini. Berdasarkan rekod, jumlah pemohon visa perlindungan Australia tertinggi ialah dari Malaysia.

Meskipun menerima jumalh pemohon visa perlindungan yang ramai, hanya 0.25% iaitu 168 permohonan diluluskan daripada jumlah keseluruhan permohonan sebanyak 26,247, selebihnya ditolak dan terpaksa dihantar pulang ke negara masing-masing.