Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30 tahun dirakam membunuh 3 ekor kucing dengan cara memasukkannya ke dalam mesin basuh layan diri di sebuah kedai dobi yang terletak di Desa Aman Puri, Kepong.

Penyiasat dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS) telah hadir ke tempat kejadian untuk mengambil bangkai kucing tersebut untuk dibawa ke Makmal Forensik DVS di Shah Alam untuk tujuan siasatan lanjut.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kejadian yang berlaku sekitar jam 5.30 pagi pada 12 Julai telah disedari oleh orang awam pada pukul 9.00 pagi hari yang sama. Kejadian ini turut dirakam melalui CCTV di mana kelihatan seorang lelaki telah memasukkan salah satu kucing ke dalam mesin basuh.

“Saksi kemudiannya menghubungi persatuan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Desa Jaya, Kepong,” kata Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), Arie Dwi Andika kepada Astro Awani.

Persatuan Haiwan Malaysia turut menambah bahawa ini adalah kejadian kedua yang melibatkan pembunuhan kucing menggunakan mesin basuh dengan kes pertama berlaku pada bulan September 2018 yang melibatkan tiga pelaku.

“Saksi kejadian di Kepong itu diminta menyimpan bangkai kucing sehingga Unit Regulatori DVS datang ke lokasi kejadian untuk buat siasatan.

“Pembuktian ini amat penting untuk kes yang kukuh dan proses pendakwaan. Hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda maksimum RM100,000 menanti pelaku mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Tahun lalu, seorang pekerja kontrak telah dihukum penjara 34 bulan dan didenda sebanyak RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang selepas dia didapati bersalah memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri.

Pada awal tahun ini, 10 ekor kucing dan anjing mati selepas diumpan nasi beracun, klik pautan di bawah untuk membaca.

Diumpan Dengan ‘Nasi Beracun’, 10 Ekor Kucing Dan Anjing Terbiar Mati Dalam Tempoh Sebulan

Pemerintah Kota Shenzhen Di China Larang Penduduk Makan Daging Kucing Dan Anjing