Bunyinya mungkin agak pelik untuk dipercayai. Namun itulah yang berlaku kepada seorang lelaki berusia 21 tahun apabila dia ditahan ketika hadir untuk membuat laporan polis.

Dalam kejadian yang berlaku jam 3.20 petang semalam, lelaki berkenaan hadir ke Balai Polis Damansara untuk melaporkan telefon bimbit yang dibelinya tidak sama seperti yang dilihat dalam iklan.

Bagaimanapun ketika sedang membuat laporan itu, dia kemudiannya telah mengaku masih menjalani tempoh kuarantin seperti diarahkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Buat anda yang tertanya-tanya bagaiamana dia pada awalnya menyembunyikan status atau gelang kuarantin yang dipakainya, ini adalah jawapannya.

“Lelaki tersebut mengaku masih menjalani tempoh kuarantin KKM dan telah menyembunyikan gelang kuarantin tersebut di bahagian atas lengan kirinya,” jelas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

Berdasarkan gambar yang turut dibekalkan dalam hantaran Facebook Polis Daerah Petaling Jaya, lelaki itu dilihat memakai baju berlengan panjang, jadi tidak mustahil jika beliau berjaya menyembunyikan gelang berkenaan.

“Polis Daerah Petaling Jaya memberi amaran kepada mereka yang dikenakan perintah kuarantin agar patuh kepada arahan pejabat kesihatan daerah dan KKM.

“IPD Petaling Jaya akan memastikan orang ramai sentiasa mematuhi SOP PKPP. Tindakan tegas akan diambil mana-mana individu yang gagal mematuhinya dan enggan memberikan kerjasama,” ujar beliau dalam satu kenyataan pada malam semalam.

Susulan pengakuannya masih menjalani tempoh kuarantin, lelaki itu kemudiannya ditahan sebelum diberi jamin polis pada hari yang sama.

Tambah pihak polis juga, beliau akan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai telah menyebabkan merebaknya penyakit selain Sesyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sekiranya disabitkan kesalahan, beliau dihukum penjara selama tempoh tidak boleh sampai dua tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya.

Baca juga kisah lelaki disyaki pencuri motor ini yang terpaksa ditahan di wad hospital dan bukannya lokap polis selepas mempunyai kontak rapat dengan individu memakai gelang pink di pautan di bawah. 

Masuk Wad Bukan Lokap Selepas ‘Kantoi’ Curi Motosikal Kerana Kontak Rapat Individu Gelang Pink

Suspek Bunuh Anak Hanya ‘Berzikir’ Dalam Tahanan, Polis Tidak Tolak Kemungkinan Ada Kaitan Ajaran Sesat

Tular Warga Asing Bergelut Dengan Polis, Ini Sebenarnya Yang Berlaku Sebelum Kejadian