Ada orang lelaki nak kahwin sebab berkenan perempuan cantik yang dia jumpa dalam kelas yang sama dengannya. Katanya, muka model. Takut lambat-lambat nanti dikebas orang.

Ada orang lelaki nak kahwin sebab sekarang anak gadis itu muda dan kurus. Risau kalau lambat-lambat nanti jadi gemuk pula, jadi tak lawa pula foto pasangan pengantin di atas pelamin.

Ada orang lelaki nak kahwin sebab katanya dia sudah tak tahan. Kalau jumpa masa dating, rasa nak terkam si dia.

Tapi tak ter-terkamlah sebab selalu berjumpa di kedai makan dan ada ramai orang. Kalau berjumpa berdua-duaan tempat sunyi, hanya Allah sahajalah yang tahu apa jadi seterusnya.

Jadi dengan pelbagai sebab itu, keinginan untuk berkahwin bertambah memuncak-muncak. Kalau boleh, nak kahwin hari ini juga.

Saya jawab, “Sabar dulu, Bang. Nikah kahwin ini urusan besar. Perlu jelas tentang beberapa perkara.”

Kahwin Ini Urusan Besar

Janganlah kahwin dulu kalau semua sebab kita nak kahwin adalah sebab fizikal semata-mata.

Perempuan muka model itulah yang akan ‘dihiasi’ air liur basi semasa bangun tidur selepas kahwin nanti. Lagi parah kalau mekap tebal itulah perhiasan dia sebab sebenarnya dia tidak cantik manapun.

Isteri bermuka model itu jugalah yang akan berminyak apabila seharian berada di dapur menyiapkan juadah untuk seisi keluarga. Ada kemungkinan kulitnya menjadi kusam, tidak lagi bermuka model.

Belum lagi kita bercerita bau tidak lagi harum semerbak semacam perfume Britney Spears, tetapi berbau tumis bawang goreng dan serbuk kari selepas memasak dan tidak sempat mandi.

Perempuan kurus itulah juga yang akan jadi boyot, badan berisi atau gemuk sebab mengandungkan anak-anak kita. Jaga makan atau tak jaga makan, kita tak boleh guarantee dia akan maintain kurus selepas melahirkan anak.

Apatah lagi kalau beranak ramai. Atau kita nak kata cinta dan kasih sayang kita berkurangan apabila berat badan dia bertambah?

Kahwin lelaki-perempuan jadi menyempurnakan separuh agama bukan sebab hubungan seksual semata-mata. Kahwin jadi separuh agama sebab kematangan cara fikir yang bertambah apabila sudah tahu matlamat kehidupan dan tanggungjawab amanah dunia dan akhirat.

Jadi kalau terdorong oleh nafsu semata-mata, berpuasa banyak-banyak, mendalami ilmu agama dan bergaul dengan orang baik-baik adalah lebih utama berbanding semberono kahwin dengan mana-mana perempuan untuk melunaskan nafsu syahwat.

Kita khuatir kalau-kalau pernikahan dan perkahwinan berasaskan nafsu bukan berhasil menundukkan nafsu kepada kaum berlainan jantina, tetapi sebaliknya menambahkan lagi keinginan tersebut.

Kita khuatir, tidak cukup dengan satu, nafsu mendorong si lelaki mencari calon kedua dan seterusnya. Bisikan nafsu, siapa tahu. Sebab itulah kita tidak mahu perkahwinan didorong oleh nafsu semata, tetapi iman dan tanggungjawab.

Panduan Bagi Perempuan

Elakkanlah kahwin dengan orang lelaki yang asyik memuji anda sebagai wanita cantik sebelum perkahwinan. Carilah lelaki yang lebih gentleman, iaitu sesudah menjadi suami, dia memuji isterinya cantik bak bidadari walaupun isterinya tidak secantik mana.

Lelaki macam inilah one in a million. Bukan lelaki yang boleh puji awek mereka cantik. Awek. Faham tak?

Biar tak kahwin cepat asalkan bukan kahwin dengan orang yang sayang kita kerana fizikal kita.

Biar tak kahwin cepat asalkan kahwin dengan orang lelaki yang betul, bukan lelaki ‘tak betul’ yang puja kebagusan fizikal kita semata-mata.

Biar kahwin lambat asalkan pernikahan dan perkahwinan membolehkan kita jadi selamat dunia dan akhirat.