Menyewa dengan pelbagai bangsa dalam satu rumah bukanlah perkara yang aneh lagi buat penyewa hari ini. Antara faktor yang mendorong penyewa memilih untuk menyewa dengan penyewa pelbagai bangsa ialah hubungan persahabatan yang akrab dan harga sewa yang agak murah.

Namun, sebagai penyewa dengan perbezaan agama, beberapa perkara harus diambil berat untuk memastikan keselesaan semua penyewa dan tidak menyinggung sensitiviti masing-masing.

Terbaharu menerusi perkongsian seorang pengguna Twitter, @mizanpaan yang menceritakan bagaimana satu teguran boleh menyebabkan hubungannya dengan housemate menjadi semakin rapat. Thread dimulakan dengan menceritakan mengenai 2 orang housemate yang hampir setiap hari mengambil minuman beralkohol selepas balik dari kerja.

Pada mulanya beliau tidak terlalu ambil pusing mengenai perkara ini asalkan mereka tidak mengganggu penyewa lain. Namun lama-kelamaan beliau sedar bahawa perkara ini boleh mendatangkan fitnah pada dirinya dan juga seorang lagi housemate yang beragama Islam.

Beliau mengambil keputusan untuk menegur individu tersebut secara baik dan menerangkan satu persatu mengenai tegurannya. Tambah beliau, pada mulanya beliau berasa agak cuak untuk menegur, bimbang pihak tersebut terasa hati.

Individu tersebut faham dan menerima teguran tersebut dengan baik. Tanpa disangka-sangka seminggu kemudian beliau mendapati terdapat sebuah peti sejuk khas di ruang tamu khas untuk tempat penyimpanan alkohol demi memastikan keselesaan bersama.

Di akhir thread, beliau turut menjelaskan bahawa selepas teguran tersebut, hubungan persahabatan mereka serumah menjadi lebih akrab berbanding sebelumnya.

Oleh itu, komunikasi antara satu sama lain amatlah penting kerana tidak semua orang faham larangan baik dan buruk dalam satu-satu agama. Apa yang penting ialah berbincang dan penjelasan secara baik mampu untuk menyelesaikan semua permasalahan. Salute untuk saudara ini dan housematenya.

Sumber