Jika anda pernah ke Sabah, pasti anda pernah melihat bagaimana kehidupan masyarakat Bajau Laut di sana. Tidak mempunyai pendidikan dan ada segelintir yang hanya duduk dalam perahu serta ada yang meminta makanan pada pelancong.

Pastinya, ini satu kerugian buat anak-anak Bajau Laut kerana tidak diberikan pendidikan. Kenapa mereka tidak mendapat pendidikan? Ini kerana mereka tidak mempunyai status yang ‘sah’ dari segi undang-undang.

Malah baru-baru ini, seorang pengguna Facebook, Khairul Jamain telah berkongsi bagaimana keadaan masyarakat Bajau Laut tanpa pendidikan. Baca perkongsiannya di bawah ini:

Kertas dan pensel adalah alat untuk mengubah masa depan kerana tiada satu negara yang maju tanpa pendidikan. Sudah 4 bulan saya di Lautan Celebes, Semporna dan kerana terlalu sibuk, hampir sebulan saya tidak bertemu dengan Anita, seorang gadis Bajau Laut sekitar 14-17 tahun. Rindu juga dengan kerenahnya yang selalu banyak bercerita tentang rakan-rakannya serta ikan yang ditangkapnya.

Selama sebulan dua juga saya berusaha mendekati komuniti Bajau Laut ini kerana tidak mudah orang luar seperti saya untuk diterima oleh mereka. Saya mengkaji dan melihat bagaimana cara hidup dan budaya komuniti ini dan saya mula sedar bahawa mereka kehilangan sesuatu yang besar iaitu ‘pendidikan’.

BL2

BJ3

“Haaaaaaaaa” saya mengeluh sambil memandang lautan Celebeas yang tenang. Wajah anak-anak itu jelas keriangan seperti menandakan tiada apa duka yang mencarik hidupnya. Ombak yang terhempas di hadapan rumah ini tidak pernah mempunyai destinasi tetap dalam hidupnya, mungkin juga tidak pernah terdetik dalam dirinya untuk bertanya dari mana asalnya dan ke mana arahnya.

Saya bertekad menjadi cikgu di sini, saya tidak mengajar mereka ‘A,B,C atau 1,2,3’ dahulu tetapi mereka harus diajar mengenal kehidupan, sebab itu saya tidak terus mengajar mereka seperti sekolah formal. Apa yang saya ajar adalah melukis, menyanyi, bercerita dan menunjukkan contoh yang baik. Masih ingat ketika mula-mula saya memberi mereka kertas dan pensel, mereka tidak mahu menyentuhnya kerana berasa takut dan tidak tahu bagaimana menggunakannya.

“Sebelum saya belajar menghargai sesuatu, saya belajar kehilangan sesuatu”.

Impian itu mestilah setinggi langit, bahkan untuk mencapai bulan pun manusia memerlukan waktu berpuluh tahun menyiapkan segala persiapan teknologi. Lihat bagaimana kesungguhannya tetapi impian saya cuma kecil, saya mahu mereka punya sekolah sendiri yang mampu mendidik anak-anak Bajau Laut di sini. Impian itu harus ditanam dari sekarang supaya ia bisa dibaja dan tumbuh mekar suatu hari nanti.

2

BL5

Sebab itu saya sanggup mengeluarkan kos sendiri seminggu 2-3 kali datang ke komuniti Bajau Laut semata-mata untuk mengajar mereka kerana saya percaya mereka punya harapan. Selama saya ke pulau untuk mengajar, saya harus mengeluarkan kos RM400 setiap bulan untuk bot kecil sebagai pengangkutan utama pergi dan pulang. Perjalanan mengambil masa antara 30-50 minit bergantung pada keadaan laut dan ombak.

Yang paling menyentuh hati saya apabila Kamalita memberikan nama anaknya yang berusia 7 bulan bernama ‘Khairul’ sebagai tanda dia dan keluarganya mengingati namaku.

Apa yang saya buat ini adalah inisiatif sendiri menyumbangkan semula apa yang saya ada kepada masyarakat. Kerajaan sepatutnya merasa malu kerana terus menerus membiarkan komuniti Bajau Laut tapi dalam masa yang sama mengambil kesempatan menggunakan mereka untuk publisiti. Jika Bajau Laut di Indonesia dibela, diberi pendidikan dan hak sama rata tetapi kenapa tidak di Malaysia?

bl

bl8

Saya adalah laki-laki yang menggantung penulisanku ini di atas angin lalu berharap ia akan tersebar ke jantung rakyat, aku juga laki-laki yang menulis penulisanku pada pasir pantai lalu berharap kata-kata ini terdampar di seberang pantai Laut Cina Selatan.

Usaha dan harapan telahku benih, sekarang saya cuma mampu berdoa pada tuhan agar usaha dan pengharapan menjadi sebatang pokok yang akan memberi manfaat kepada masyarakat.

Semoga perkongsian daripada saudara Khairul Jamain dapat membuka mata masyarakat dan membuat anda lebih menghargai kemudahan mendapatkan pendidikan yang diberikan. Tanpa pendidikan, hidup kita kosong.