Bagi peminat kereta sport berkuasa tinggi, anda pasti sangat kenal dengan jenama McLaren Automotive (McLaren), pengeluar kenderaan berkuasa tinggi dari Britain. Pada tahun 2018 , McLaren telah menghasilkan sebuah model kereta sport berenjin tengah yang dikenali sebagai Mclaren Senna. Kereta sport yang berharga mencecah RM4 juta ini, hanya dibuat sebanyak 500 unit dan telah habis dijual pada tiga tahun yang lalu.

Lebih menarik lagi apabila speaker yang digunakan pada kereta McLaren Senna merupakan hasil rekaan anak Malaysia dan paten rekaan speaker tersebut telah diterbitkan oleh European Patent Office pada 21 Oktober 2020 yang lalu.

vocket-speaker-mc-laren-senna-3

Tuan Ruslin Tamsir mempunyai pengalaman yang luas di dalam industri automotif semenjak tahun 2007 lagi. Beliau telah menyambung pengajian selama lima tahun di University of Applied Science Ravensburg-Weingarten sebelum mula berkhidmat di syarikat-syarikat automotif terkemuka seperti Daimler AG, Continental Automotive System dan Harman International Industries.

Semasa bertugas sebagai Ketua Jurutera untuk kumpulan Eropah di Harman, pihak McLaren hanya berikan masa 3 bulan sahaja kepada beliau untuk membangunkan sebuah speaker yang boleh diikat pada kereta McLaren Senna dengan pengancing atau fastening tanpa menggunakan sebarang skru.

Antara sebab kenapa McLaren membuat permintaan seperti itu kerana speaker yang terletak pada kiri dan kanan pintu kereta tersebut diperbuat daripada komposit carbon fiber dan ianya adalah ‘A-Class Surface’ yang tidak boleh menunjukkan sebarang skru pada permukaan.

vocket-McLaren-Senna-speaker-11-1

Ia memberikan pelbagai cabaran yang menyebabkan beliau telah gagal beberapa kali untuk membangunkan sebuah prototaip speaker yang boleh memenuhi kriteria ditetapkan oleh pihak McLaren.

“Perkara utama yang mengganggu prototaip speaker ini untuk siap ialah masa yang sangat suntuk untuk saya hasilkan reka bentuk yang baharu. Hanya saya seorang sahaja yang mereka cipta dan membangunkan konsep tersebut, jadi saya perlu belajar dengan sendiri dan melakukan banyak research tentang teknologi baru yang saya ingin bangunkan.”

“Perbezaan bahasa dan budaya juga menjadi salah satu faktor kerana saya terpaksa berbincang dan bertelagah (secara positif) bersama pelanggan dan pasukan saya yang berbangsa Jerman,” terang beliau mengenai kesukaran yang dihadapi semasa membangunkan prototaip speaker ini.

vocket-speaker-mc-laren-senna-13

Setelah bertungkus-lumus selama tiga bulan, Tuan Ruslin telah berjaya menghasilkan sebuah teknologi baru di dalam industri automotif dunia dengan memperkenalkan ‘MOUNTING ARRANGEMENT FOR A LOUDSPEAKER GRILLE: “Invisible” Locking Feature for Carbon Fiber Speaker Grille’ yang telah diguna pakai pada kesemua 500 unit McLaren Senna.

Tidak lama setelah berjaya mencipta teknologi terbaru tersebut, beliau mengambil inisiatif untuk mematenkannya tetapi para jurutera yang lain berpendapat teknologi ini tidak mempunyai potensi untuk dipatenkan.

“Walaupun saya tidak mendapat sokongan dari rakan sekerja, saya tetap menghubungi peguam paten dan menceritakan teknologi yang telah saya bangunkan,” kata Tuan Ruslin.

vocket-speaker-mclaren-paten
Sumber Gambar: European Patent Office

Keputusan yang beliau buat ternyata tidak sia-sia apabila peguam tersebut menghubungi beliau kembali dan menyatakan bahawa teknologi ini masih belum wujud lagi di dunia dan berpotensi tinggi untuk dipatenkan.

“Saya mengambil masa dalam setahun untuk memuat dokumen dan fail patent ini. Bermula sejak 2017 sehingga 2018 patent ini telah siap dan ia mangambil masa lebih kurang setahun setengah untuk diluluskan oleh European Patent Office.”

“Terdapat kira-kira tujuh proses untuk mematenkan teknologi baharu ini. Kesemua proses ini mengambil masa yang panjang; lebih kurang 5-10 tahun bergantung kepada teknologi dan aliran semasa,” tambah Tuan Ruslin lagi.

Pada tahun 2020 setelah hampir lebih kurang setahun setengah, permohonan Tuan Ruslin untuk mendapatkan hak eksklusif ke atas teknologi Invisible Locking Feature for Carbon Fiber Speaker Grille telah diluluskan oleh European Patent Office dan boleh dilihat di sini.

vocket-speaker-mc-laren-senna-5

Atas sebab minat yang mendalam dalam industri automotif, Tuan Ruslin telah kembali ke tanah air dah menubuhkan syarikat MQ Finique di mana beliau menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan di syarikat tersebut.

Beliau sedang membangunkan sebuah prototaip bas elektrik buatan Malaysia untuk tujuan pengkomersialan dan sedang mengusahakan pembuatan barangan automotif berasaskan carbon fibre dan komposit yang lain.

“COVID-19 telah menjadi norma baru sebahagian dari hidup kita, jadi kita hendaklah bersiap sedia untuk teruskan kehidupan kita bersama-sama dengan pandemik ini.”

“Jangan berputus asa dan sentiasa berikan yang terbaik dalam apa jua yang kita lakukan sebab hanya selepas kita melakukan sesuatu yang diluar kemampuan, baru kita tahu potensi diri kita yang sebenarnya,” pesanan terakhir kepada anak-anak muda Malaysia sebelum beliau menutup perbualan.

Kejayaan dicapai oleh Tuan Ruslin membuktikan anak Malaysia juga mampu menjadi pembangun teknologi serba baru dan canggih yang boleh diguna pakai di dalam industri automotif dunia — “There is a little bit of Ruslin Tamsir in every McLaren Senna.

Pada tahun 1960an, ada seorang bekas jutera pesawat pejuang telah mencipta satu sistem keselamatan yang telah menyelamatkan jutaan nyawa pemandu sehingga ke hari ini. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

Bagaimana Hasil Ciptaan Lelaki Ini Berjaya Selamatkan Jutaan Nyawa Pemandu Hingga Ke Hari Ini

China Berjaya Cipta Prototaip Kereta Api Dengan Kelajuan 620 km/j

Proton Saga Masuk Pasaran Nepal, Dijual Pada Harga Bermula RM122,700