Jika anda sebelum ini berpendapat kereta jenama antarabangsa bebas masalah dan akan baik-baik sahaja sepanjang anda memandunya, anda pasti akan berfikir dua kali selepas membaca kes yang berlaku kepada Raymond Lum ini.

Raymond adalah pemilik kenderaan jenis Hyundai Tucson yang menurut penerangan beliau, dijaga baik dan tidak dibuat modifikasi sepanjang beliau menggunakan kereta ini. Pada 17 Disember 2017, Raymond dalam perjalanan untuk ke Hatyai dan seperti mana-mana rakyat Malaysia, beliau berhenti untuk pemeriksaan imigresen Thailand.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ketika sedang beratur di checkpoint, isteri Raymond memberitahu beliau ada bau terbakar keluar daripada bahagian pendingin hawa kereta mereka. Kemudiannya kepulan asap mula keluar daripada bahagian berkenaan serta soket pengecas kereta mereka.

Beliau kemudiannya perasan sudah terdapat api menyala di bahagian engin keretanya dan mematikan keretanya untuk mencari pertolongan. Beliau memberitahu isterinya untuk mengambil semua barangan mereka yang penting kerana beliau tidak merasakan api berkenaan akan padam.

Instinct Raymond benar apabila kereta beliau mula terbakar. Walaupun ada pengguna lain yang cuba membantu untuk memadamkan api berkenaan, ianya tetap terus marak. Dalam masa 5 minit, hampir 80% keretanya sudah disambar api. Namun api kemudiannya berjaya dipadamkan pasukan bomba dari stesyen berhampiran.

Raymond sebenarnya bingung kenapa sesuatu seperti ini boleh berlaku kepada keretanya yang dijaga rapi tanpa modifikasi langsung kepada bahagian enjin dan elektrik kereta beliau. Beliau syak mungkin masalah short circuit tetapi kenapa perkara seperti ini boleh berlaku?

Asmar Hashim, salah seorang individu yang menulis di posting Raymond berpendapat perkara seperti ini boleh berlaku kepada mana-mana kereta dan bukan sahaja pada kereta Hyundai Tuscon. Ianya bergantung juga kepada nasib. Walaupun kereta itu bagus, tetapi jika nasib tidak baik akan terjadi juga perkara seperti ini kepada kita.

Raymond berharap dengan apa yang menimpa beliau ini, pengguna di luar sana akan lebih peka dengan keadaan semasa kereta anda. Melalui bacaan di posting Raymond ini, Pihak Hyundai sudah pun berhubung dengan Raymond untuk menyiasat dengan lebih lanjut tentang kejadian ini. Semoga pihak Hyundai dapat menyelesaikan perkara ini dengan baik.