Pendakian gunung bukanlah sesuatu yang mudah, ia memerlukan seseorang individu itu mempunyai ketahanan fizikal dan minda yang tinggi. Baru-baru ini, Hafiz Ithnin atau dikenali di media sosial sebagai Hafiz Shibuya berjaya berbasikal dan mendaki tiga kem induk berhampiran gunung tertinggi India iaitu Gunung Kanchenjunga berketinggian 8,585 meter dari aras laut.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Jika bertemu dengannya secara bersemuka pasti ramai yang menganggap beliau hanyalah seorang wartawan biasa yang rutinnya menulis dan melaporkan berita kepada khalayak ramai. Di sebalik sisi kerjayanya sebagai seorang wartawan unit rencana Harian Metro, beliau sebenarnya seorang yang aktif melakukan pelbagai aktiviti rekreasi terutama mendaki pelbagai gunung beraltitut tinggi dan mengembara di pelbagai negara yang jarang dilawati.

Untuk makluman anda, ekspedisi yang dinamakan sebagai Ekspedisi Kembara Vertikal India 2018: Misi Malaysia ke Everest 2022 mengambil masa lebih sepuluh hari untuk dimuktamadkan kerana beliau perlu berbasikal sejauh 540 kilometer dan mendaki ke Dzongri Top (4,171 meter), HMI atau Chowrikang (4,380 meter) dan Gochala La Pass (5,100 meter).

Menurut Hafiz, sememangnya bukan mudah untuk berbasikal kembara dalam satu jangka masa yang suntuk sejauh 540 kilometer dan beliau hanya dapat berehat sehari sahaja bagi bersedia mendaki selama 10 hari ke tiga kem induk.

Kata anak kelahiran Johor Bahru itu juga, ketika berbasikal kembara pelbagai pengalaman dilaluinya seperti melalui lebuhraya sibuk dengan kenderaan berat yang dipandu laju dan bermalam di rumah penduduk tempatan yang tidak dikenali.

“Sebenarnya ini adalah kali pertama saya melakukan ekspedisi berbasikal kembara dengan jarak melebihi 100 kilometer kerana idea asalnya adalah untuk mendaki tiga kem induk itu sahaja.

“Bagaimanapun, perancangan awal itu berubah kerana saya melihat setiap tahun mendaki sudah menjadi perkara biasa dan tidak pernah mengabungkan aktiviti berbasikal dan mendaki dalam satu ekspedisi,” katanya.

Ekspedisi itu juga adalah sebahagian daripada latihannya sebagai persediaan untuk ke Gunung Everest menjelang 2022. Setiap tahun bermula dua tahun lalu, sekurang-kurangnya dua ekspedisi ke gunung beraltitut tinggi dilakukannya.

Hafiz berkata, ketika melakukan pendakian ke tiga kem induk berkenaan, ia mempunyai cabaran terutama keadaan dingin yang melampau dan tiada perlindungan kecemasan sekiranya pendaki berdepan dengan penyakit akut gunung (AMS).

“Sepanjang 10 hari berada di Taman Negara Kanchenjunga hanya kabus tebal menjadi pemandangan setiap hari dan sudah tentu ia petanda keadaan sekeliling juga sejuk sebenarnya. Setiap pagi apabila kami bangun tidur, air di dalam botol pasti bertukar menjadi ais.

“Selain itu, di sini tidak seperti kawasan pergunungan beraltitut tinggi lain yang mempunyai kelengkapan perubatan dan perkhidmatan helikopter ketika kecemasan. Jadi sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau AMS, mangsa akan dibawa turun secara manual,” katanya.

Jelasnya lagi, penunjuk arah ekspedisinya juga memberitahu setiap musim pendakian pasti terdapat kes kematian dalam kalangan pendaki atau porter.

“Perkara itu juga berlaku di hadapan kami. Pertama semasa dalam perjalanan ke Gochala Pass, seorang wanita dibawa turun menggunakan pengusung kerana AMS dan kedua, seorang porter meninggal dunia pada hari terakhir kami dalam perjalanan turun ke Yuksom.

“AMS ini adalah penyakit disebabkan kekurangan oksigen dan cara terbaik untuk merawatnya adalah pesakit perlu dibawa ke tempat lebih rendah dengan segera,” katanya.

Ekspedisi itu mendapat sokongan syarikat korporat iaitu Pos Malaysia, Pelaburan Mara, Avisena Specialist Hospital dan FGV.

Menariknya, Hafiz sebenarnya sudah memulakan aktiviti mendaki ke gunung beraltitut tinggi sejak 2013. Antara pecapaian terbaiknya dalam aktiviti itu ialah menjadi wartawan Malaysia pertama melengkapkan pendakian ke laluan kem induk paling mencabar dan merbahaya dunia, K2 Base Camp di Pakistan pada tahun lalu.

Selain itu, beliau mendaki ke Kem Induk Everest (EBC) hanya bertemankan seorang penunjuk arah dan melaporkan tragedi gempa bumi di kawasan berkenaan pada tahun 2015.

Ketika ditanya mengenai kepuasan mendaki dan menjadi wartawan, katanya, aktiviti mendaki menjadikan seseorang individu itu lebih berani dan gigih dalam melakukan sesuatu perkara termasuk di dalam kerjaya.

Beliau juga melihat kerjaya wartawan ini memberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan maklumat secara meluas mengenai aktiviti mendaki yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kita. Lebih-lebih lagi, mengenai gunung beraltitut tinggi.

Katanya, golongan muda yang bercita-cita menjadi wartawan mereka perlu mempunyai kelebihan tersendiri atau keunikan yang boleh digunakan semasa bekerja.

Malah, kelebihan seperti mampu mendaki gunung berlatitut tinggi atau aktif di dalam sukan ekstrim secara tidak langsung mampu mencerminkan keperibadian individu itu yang berani serta mempunyai kekuatan mental dan fizikal.

“Jangan jadikan hobi sebagai mengisi waktu lapang sahaja dan perlu diterokainya kerana setiap aktiviti berfaedah pasti dapat memberi kesan yang baik dalam kehidupan masing-masing,” katanya.

Hafiz juga aktif mengembara secara backpacking di lebih 35 buah negara antaranya Amerika Syarikat, Pakistan, Negara-negara Balkan, Iceland, Australia, New Zealand dan seluruh seluruh Asia.