Penulisan ini terhasil dari pengalaman saya yang datang secara solo dan tidak mempunyai mutawif mahupun travel agent ke Madinah. Tip ini sesuai untuk mereka yang ingin melakukan umrah gaya backpackers atau untuk mereka yang ingin menunaikan umrah dan haji.

Secara bahasa, perkataan “Raudhah” bererti taman. Raudhah merupakan salah satu ruangan di dalam Masjid Nabawi yang dijadikan pusat tumpuan jutaan jemaah yang datang berdoa di taman-taman syurga ini. Ia disebut sebagai taman-taman syurga di dalam Hadis Riwayat Bukhari nombor 1196.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sabda Rasulullah S.A.W., “Antara rumahku dengan mimbarku adalah Raudhah di antara taman-taman surga” (HR. Bukhari no. 1196)

Artikel ini menunjukkan langkah demi langkah dari awal masuk Raudhah hingga keluar semula. Moga bermanfaat.

1. Kenalpasti Ruangan Raudhah

Untuk memudahkan anda mencari di mana ruangan Raudhah di dalam kawasan Masjid Nabawi yang luas, saya sarankan anda mencari kubah hijau di bahagian hadapan masjid. Untuk pengetahuan anda, kubah hijau itu menandakan ruangan Raudhah dibawahnya. Cuma terdapat satu sahaja kubah hijau di kawasan masjid. Jadi tip ini akan memudahkan pencarian anda.

2. Kenalpasti Pintu Masuk

Apabila sudah berjumpa kawasan hadapan Raudhah, maka bolehlah anda masuk dari pintu bernama Babus Salam.

3. Kawasan Permaidani Hijau

Ada jemaah yang tidak mengetahui cara untuk ke RAUDHAH di bahagian KARPET HIJAU di kawasan yang dikenali sebagai taman syurga. Disini adalah tempat yang mustajab untuk berdoa.

Saya dapati ada sesetengah jemaah hanya membuat ziarah iaitu masuk dari pintu Babus Salam melalui kawasan hadapan Raudhah dan makam Rasullulah S.A.W, kemudian keluar ke pintu Al Baqi. Ini berlaku kerana Jemaah tidak tahu jalan untuk masuk ke kawasan raudhah karpet hijau.

4. Pintu Gerbang Pertama

Untuk masuk ke kawasan Raudhah, saya sarankan selepas anda masuk dari pintu Babus Salam, sila ke kiri dan masuk dari gerbang pertama bagi lelaki muda yang tidak uzur dan masih kuat. Kesemua ada 4 gerbang. Gerbang terakhir adalah kawasan Raudhah.

Bagi OKU ataupun lelaki tua yang agak uzur, boleh merayu di gerbang 2 atau 3 untuk masuk tanpa beratur panjang.

5. Beratur Dan Menunggu Giliran

Selepas masuk dari gerbang pertama, bolehlah anda masuk baratur menunggu giliran untuk bermunajat di Raudhah. Saya sarankan anda berzikir atau mengaji al quran sambil menunggu waktu anda dibenarkan masuk.

Perbezaan di antara ruangan RAUDHAH berpermaidani hijau dan ruangan biasa Masjid Nabawi permaidani merah. Raudhah hanya dikira di kawasan berpermaidani hijau.

6. Berdoa Dan Solat Dua Rakaat

Apabila pintu dibuka dan kumpulan anda dibenarkan masuk, anda boleh menunaikan solat dua rakaat tanda kesyukuran dan kemudian memulakan doa.

1 kumpulan dalam 10 ke 20 minit diberi peluang bermunajat di dalam Raudhah. Berdoa perkara yang baik-baik kerana anda berada di kawasan doa mustajab.

7. Makam Rasulullah Dan Sahabat

Setelah anda keluar dari kawasan Raudhah permaidani hijau. Anda akan melalui kawasan makam. Di sini juga terletaknya makam junjungan besar kita, Rasulullah S.A.W dan juga dua khalifah agung iaitu Saidina Abu Bakar R.A dan Saidina Umar R.A.

Anda boleh memberi salam dan membaca doa apabila melalui makam-makam (rujuk buku panduan umrah). Saya selalu berdoa dan berniat ayat ini sebelum keluar dari kawasan makam: “YA Rasullulah semoga ini bukan kali terakhir pertemuan kita, permudahkanlah jalan bagi ku ke sini bertemu mu kembali ya Rasullulah.” Andai saya salah, mohon perbetulkan.

8. Pintu Keluar

Dan yang terakhir para jemaah akan keluar dari pintu Al Baqi.

Semoga perkongsian kecil ini berguna kelak andai tuan puan akan mengerjakan umrah dan haji. Saya hanya dapat memasuki Raudhah permaidani hijau pada cubaan ke-3. Kali pertama dan kedua hanya dapat melalui untuk ziarah kerana tidak tahu cara memasuki ruang permaidani hijau Raudhah.

Saya datang ke Madinah secara solo dan tidak mempunyai mutawif atau travel agent. Hasil perkenalan dengan para jemaah di sini, saya dapati ada sesetengah jemaah tidak mengambil peluang berdoa di tempat yang mustajab ini. Jadi, saya kongsikan pengalaman ini agar anda tahu bagaimana cara melawat Raudhah ini.

Idham Hanafi
Ramadhan ke-8
RAUDHAH MADINAH