“Abang, boleh tidak jika saya membayar RM20 sahaja? Ini sahaja yang ada.”

Abang yang jaga kaunter tersebut memandang saya seperti tergamam. Dia kemudian memegang buku tersebut dan bawanya ke belakang. Sekitar beberapa minit dia datang semula dan memberitahu “maaf, harganya RM25 sudah harga diskaun itu.”

Untitled-2-671×455
HYPE
Ini Sebab Utama Wanita Meluat Dengan Lelaki Kaki Kereta
Baca lagi →

Saya merayu lagi sekali, menunjuk dompet yang memang hanya ada 2 keping RM10 tetapi abang kaunter tetap tidak beri.

Saya pun kata tidak mengapalah, saya tidak dapat hendak beli. Saya berlakon melihat-lihat lagi di rak buku tersebut dan kemudian berlalu pergi. Balik menaiki komuter dan terus pulang ke rumah.

IMG_7206

Naskhah Gelora tulisan Arena Wati tersebut memang sudah lama sangat saya cari. Dan apabila sudah memegangnya, saya tidak mampu pula menawannya. Saya berada di antara kecewa dan putus harap. Menghempas badan ke tilam dan melihat wajah kecil Nurul ‘Ain yang sudah pandai menyusun senyum.

Wajahnya itu mengubat banyaknya luka semasa datang ke Pesta Buku yang saya idam-idamkan sangat. Saya hanya bawa RM50. Itu sahaja yang ada. Dapat membeli naskhah Perjudian tulisan S. Othman Kelantan kemudian membeli beger yang dijual di luar dewan, sudah memadai dan baki RM20 itulah yang saya mahu sangat belanjakan demi mahu belajar bagaimana tulisan-tulisan yang menjadikan seorang penulis itu bergelar Sasterawan Negara.

Selepas beberapa hari, saya bersembang dengan orang rumah, saya beritahu kepadanya yang ini bukan jalan saya. Saya perlu ada sokongan untuk saya bangkit jadi orang lain, yang mana orang itu akan sentiasa kerja keras. Lalu isteri saya kata “buatlah apa yang abang suka, saya akan sokong. Yang penting bila abang dah berjaya, janganlah lupa keluarga.”

Saya pegang hal itu untuk sekian lama. Tahun lalu semasa saya dilamar untuk meneruskan kerja-kerja yang melibatkan saya perlu mengembara ke pelbagai negara, saya teringat momen ini. Dan dalam banyak-banyak destinasi, saya mahu benar ke New Zealand.

Ia adalah kerana selepas saya membaca tulisan Imran Ahmad di dalam sebuah blog yang tidak diingat namanya menulis tentang Narnia dan Islam, saya berdoa benar untuk sampai ke sini.

IMG_7208

Tadi, semasa kami mencari lokasi yang diberi nama Paradise, kami terlajak hingga ke lokasi pengambaran Narnia itu sendiri. Saya terdiam. Dari pokok pine hinggalah ke pasir dan sungai yang berbagai cabangnya, semua keindahan di dalam filem itu terbentang di hadapan mata.

Saya terbayang wajah orang rumah saya, beliau cakap pada malam yang sama saya menangis bimbang dengan keadaan saya yang sering tidak berduit, susah dan tidak tahu bagaimana hendak tolong keluarga, beliau kata,

“Abang, keluarlah travel. Pergi keluar. Nak dapat akhirat, kena melalui jalan dunia. Ikutlah apa yang abang suka. Pergilah, terbang dan belajar. Berharap dan berdoa supaya apa yang kita hajat ini, Allah bantu. Kita kan hendak bantu keluarga.” Bergenang juga air mata dibuatnya.

IMG_7209

Di dalam Narnia: The Lion, The Witch and The Wardrobe, Aslan merupakan seekor singa yang digeruni, manakala ada 4 watak adik beradik yang berbeza dari dunia sebenar masuk ke alam lain yang dikuasai oleh kuasa jahat yang berwarna putih yang digelar The Witch.

Narnia membawa kelainan. Disaat semua tempat dan alam menyatakan jahat itu biasa dengan hitam, mereka tidak. Sekiranya cerita ini ada dibawa di televisyen, saya akan terus menontonnya. Tidak pernah puas dan sentiasa menantikan nasihat-nasihat dari Aslan dan Susan. Dua manusia ini suka benar berpesan-pesan.

Ia akhirnya membawa saya kepada buku-buku Narnia yang rupanya ada banyak naskhah berbanding filem-filemnya. Dan yang paling saya terkesan ialah pada chapter 15: From Before The Dawn Of Time, ada nasihat ini:

If you’ve been up all night and cried till you have no more tears left in you – you will know that there comes in the end a sort of quietness. You feel as if nothing was ever going to happen again.”

IMG_7207

Dan bermula dari tarikh itulah saya mencari kekuatan, semangat dan berusaha mengubah langkah saya. Orang rumah saya kata, “abah saya suka membaca, abang bacalah lagi banyak. Kemudian travel. Entah-entah itu modal orang berjaya.”

Jika hanya dapat baca 1 buku dalam tempoh dua bulan, saya ubah kepada 1 buku sebulan. Hari ini, lebih 4 buku seminggu. Kemudiannya, baru saya cuba keluar dari negara perlahan-lahan. Mula dengan yang kecil seperti negara jiran. Beranikan diri untuk melangkah.

Apabila sudah mula melihat banyaknya budaya, kehidupan, kesusahan dan banyak mendengar dari sibuknya bersembang, rupanya pelajaran dan kelas-kelas di jalanan ini lebih mudah difahami. Hari ini, saya berdiri di tanah New Zealand.

IMG_7205

Yang mana selepas banyaknya negara saya jelajahi, negara yang saya nak sangat melihat keindahannya ini, saya pijak rumputnya, saya membalas senyum awan, dan melambai kepada gunung, pokok dan matahari.

Di dalam Peel Forest, saya peluk-peluk pokok besar, kemudian apabila berjumpa kambing dan lembu, saya bergurau dengan mereka. Mengembek dan mengusik hingga mereka lari.

Narnia bukan sahaja membawa cerita. Ianya juga meletakkan asas nasihat dalam kehidupan untuk kita semua. Mana baik ambil, mana tidak, buanglah. Dari Chrischurch hingga ke Glenorchy, saya masih belum puas menikmati indah dan istimewanya tanah ini. Walau masih sibuk bekerja dan hanya sempat tidur 2-3 jam sehari, saya seronok.

Pagi tadi, saya menelefon ‘Ain, saya tanya adakah dia sihat. Lalu dia jawab, “abah tu yang kena sihat. Kena balik peluk ‘Ain.” Dan saya rasa bahagia sangat. Ada orang, travel untuk gembira. Manakala saya, mengembara untuk membantu ramainya orang yang memerlukan khidmat kecil saya. Biarlah yang tahu, tahu. Yang tidak, biarlah tidak.

Sampai akhir masa nanti, jika Allah izinkan untuk semua mengerti apa yang saya lakukan sekarang, alhamdulillah. Sungguhlah, Awan, gunung, pokok, matahari, tasik, air, sungai, Aslan dan Narnia memberi saya banyaknya makna. Namun disebalik semua itu, saya ada keluarga yang menolak saya untuk saya berjaya bersama-sama dengan mereka.

Kawan-kawan yang baik, Dunia ini untuk diteroka. Jika mahu melihat syurga, kita perlu lalui, selami, hayati, hadapi, serta tempuhi apa sahaja yang ada di bumi ini.

Barulah kita berjumpa pintu yang akan bawa kita ke syurga atau neraka. PBAKL tahun lalu, saya berdiri lama di sebuah booth. Saya mengesat-kesat air mata. Lalu adik yang menjaga booth itu bertanya kenapa.

Saya menjawab, “beberapa tahun lepas, buku yang saya pegang ini saya tidak dapat beli sebab saya tidak ada duit. Hari ini saya pegang dan saya nak bayar.” Adik itu terpinga-pinga. Dan buku itu, saya bawa juga ke sini. Biar Ia mewarnai perjalanan saya. Yang mana tahu, boleh juga melayar bayangan dari mata kalian, apabila membaca tulisan yang ini, ada rasa nak ubah diri. Semoga.

Kawan-kawan, Kejar impian hanya dengan 3 gaya. Membaca, mengembara, dan semua itu wajib meletakkan Tuhan di hadapan.

Artikel di atas disumbangkan oleh Khairul Hakimin Muhammad. Beliau merupakan seorang yang kerap berkongsi tips menarik di Facebook serta turut dikenali sebagai Bapa Viral Kebangsaan.. Boleh ikuti beliau di sini. Pautan artikel asal.

Anda Mungkin Suka