Nota Editor: Betapa indahnya Ramadhan bagi sesiapa yang mengetahuinya. Dr Irfan Profazz, melalui Facebook page Oasis Training & Consultancy berkongsi tentang suasana Ramadhan di Mesir. Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang lebih bermakna buat kita semua.

Hunter Killer Cover
HYPE
Peperangan Bawah Laut Dan Darat Penuh Aksi Gempak Dan Mendebarkan Dalam ‘Hunter Killer’
Baca lagi →

NUKILAN | Ramadhan Di Bumi Kinanah

Penulisan hasil karya: Dr Irfan PROFAZZ

Alhamdulillah, rancangan menyambut Ramadhan di Bumi Kinanah terlaksana biarpun terlewat 10 hari. Apa yang menjadi daya penolak hasrat itu adalah kerana ruh Ramadhan yang lebih dirasai di Mesir berbanding di Malaysia. Hatta sewaktu tibanya Ramadhan, masyarakat menyambutnya seolah-olah ia satu perayaan. Rumah-rumah dihiasi dengan cantik bagi mewujudkan semangat dan suasana Ramadhan itu sendiri dan apabila berjumpa sesama mereka, apa yang diucapkan adalah ‘Ramadhan Kareem’ dan dibalas ‘Allahu Akram’.

Di Mesir, subuhnya awal dan waktu bermula kerja lewat lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan, jadi ini memberi ruang untuk masyarakat berada di masjid-masjid untuk berzikir, membaca al-Quran dan bersolat sehinggalah terbit matahari.

Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda:

“Barang siapa yang bersembahyang subuh di masjid dan selepas itu dia berzikir sehingga terbit matahari, maka baginya pahala mengerjakan haji dan umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.”

Membaca Al-Quran Di Dalam Metro (Kereta Api)

Di sepanjang harinya, suasana orang membaca Al-Quran boleh dilihat di mana-mana, daripada masyarakat biasa di dalam kereta api atau bas sehingga ke polis ketika berkawal di pos kawalan. Pendek kata di mana-mana pun ada sahaja insan yang membaca Al-Quran dan bukan setakat di dalam masjid.

Seorang ulama pernah berkata:

“Ramadhan dan Al-Quran adalah dua sahabat baik yang sentiasa berkasih sayang.”

Maidatu Ar-Rahman

Ketika waktu berbuka menghampiri, kita dapat melihat banyaknya Maidatu Rahman yang menyediakan hidangan berbuka bagi mereka yang tidak berkemampuan. Maidatu Rahman ini ditaja oleh mereka-mereka yang kaya di sekitar Mesir. Bagi golongan yang sederhana, mereka juga tidak melepaskan peluang mendapat pahala tambahan. Mereka akan menunggu di jalan-jalan utama dan memberikan bungkusan berisi kurma kepada pemandu-pemandu yang melalui jalan tersebut. Nabi S.A.W. pernah mengatakan bahawa mereka yang memberi makan kepada orang yang berpuasa walaupun dengan sebiji atau setengah biji tamar maka baginya pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu.

Tarawikh Di Masjid Amru Al-As (Masjid Pertama Dibina Di Mesir)

Menjelang waktu solat Tarawikh, seperti biasa masjid-masjid akan dipenuhi manusia. Apa yang berbeza di Mesir ialah umat Islam di sini lebih gemar ke masjid-masjid yang diketuai oleh imam yang sedap serta panjang bacaannya. Boleh dikatakan lebih panjang dan sedap bacaan seseorang imam itu , lebih ramailah orang di masjid itu. Mereka menikmati bacaan imam hatta menangis apabila dibacakan ayat mengenai azab.

Kehangatan Mentari Tidak Menghalang Tanggungjawab Harian

Pada 10 hari terakhir Ramadhan, ramai orang yang beriktikaf di masjid. Lebih kurang jam 11 malam lampu-lampu akan dipadamkan, dan menjelang jam 2 pagi lampu dinyalakan dan mereka akan bersolat Tahajjud berjemaah. Ketika itulah dapat didengari tangisan keinsafan mereka dengan hati yang mengharapkan keampunan dari Ilahi.

Apa yang mahu disimpulkan di sini bahawa Ramadhan itu satu peluang, maka jangan biarkan ia pergi begitu sahaja tanpa mendapat manfaat daripadanya.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W.:

“Rugilah mereka yang didatangi Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.”

Wallahu a’lam.

BACA: Pelajar Malaysia Kongsi Pengalaman Berpuasa 20 Jam Sehari Di Perantauan

BACA Lagi: Bagaimana Warga Britain Tempatan Jalani Ramadhan Mereka

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group