Seorang lelaki dari Jepun mengaku bersalah telah membunuh sembilan orang yang dikenalinya di media sosial Twitter. Dia yang dijuluki sebagai ‘Pembunuh Twitter’ mula mendapat perhatian ramai apabila kesnya mula dibicarakan tiga tahun lalu.

Dilaporkan beratus orang sudah mula beratur di hadapan mahkamah Prefektur Kanagawa pada Rabu lalu bagi mengikut rapat kes yang melibatkan Takahiro Shiraishi, ‘Pembunuh Twitter’ yang bakal menghadapi hukuman mati di atas tindakannya.

Lelaki berusia 29 tahun itu, menurut pendakwa raya, dengan sengaja memprovokasi rakan-rakannya di Twitter untuk datang ke rumahnya, membunuh mereka, dan kemudian menyimpan mayat mereka. Mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita, yang termuda berusia 15 tahun, sementara mangsa tertua berusia 26 tahun.

Pihak pendakwa mengatakan tertuduh membuka akaun Twitter pada bulan Mac 2017 dengan tujuan “menghubungi wanita yang merancang untuk bunuh diri, yang dilihatnya sebagai sasaran mudah”, kata NHK.

Dia dipercayai telah memikat mangsa dengan memberitahu mereka bahawa dia dapat membantu mangsa untuk membunuh diri dan dalam kejadian lain, dia juga dilaporkan telah berjanji akan membunuh diri bersama-sama dengan mangsa.

Peguamnya telah meminta agar hukuman dikurangkan. Alasannya adalah kerana anak guamnya mengalami masalah jiwa. Tambahnya lagi, kesemua mangsa yang dibunuh Shiraishi sudah mempunyai rancangan untuk membunuh diri dan anak guamnya hanya menyempurnakan harapan mereka.

Pihak pendakwa menolak hujah peguambela bahawa semua pembunuhan dilakukan di atas persetujuan mangsa. Melalui hasil bedah siasat, salah seorang mangsa telah dicekik dan diperkosa oleh pelaku.

Shiraishi ditangkap tiga tahun lalu, setelah polis menemui 240 tulang manusia di pelbagai penjuru rumahnya, termasuk peti sejuk, yang sebahagiannya ditutup dengan makanan kucing.

Polis mendapat petunjuk dari ciapan salah seorang mangsa, yang berusia 23 tahun. Mangsa dikatakan sering berhubung dengan Shiraishi dan berbincang mengenai topik bunuh diri. Dari situ pihak berkuasa kemudian melakukan penyiasatan ke atas apartmen pelaku dan terkejut dengan beberapa penemuan.

Kes ini sekaligus menjadi topik masalah kesihatan mental di Jepun. Negara ini mempunyai angka kematian bunuh diri tertinggi di dunia. Sepanjang tahun 2019, dicatatkan bahawa hampir 20 ribu orang Jepun mengakhiri hidup mereka sendiri.

Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah untuk membaca.

Lihat Kawan Jepun Bunuh Diri, Sebulan Aku Tidur Tak Tutup Lampu Kerana Trauma

‘Stress’ Tangani Pesakit COVID-19, Doktor Di New York Bunuh Diri

Bekas PM Australia Dedah Kerajaan Malaysia ‘Tahu’ MH370 Adalah Jenayah Bunuh Diri

Sumber