Satu kegilaan baharu terjadi di Indonesia, rakyat di sana difahamkan tengah dilanda ‘demam’ tanaman hiasan. Apa yang uniknya, tanaman ini bukan sahaja disimpan untuk menjadi hiasan, tetapi ia juga digadaikan.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Detik, seorang lelaki bernama Hidmat Syamsudin, individu yang gilakan tanaman sanggup menukar rumahnya dengan puluhan tanaman hiasan dengan seorang pedagang dari Depok, Jawa Barat.

Persoalannya sekarang, adakah berbaloi sebuah rumah dijadikan gadaian untuk menukar dengan puluhan tanaman hiasan?

Hidmat menyatakan bahawa dia telah berjaya menukar rumahnya yang berharga Rp 500 juta (RM145,000) dengan 40 tanaman hiasan. Antara tanaman yang dia perolehi adalah Philodendron billietiae variegata dan king monstera variegata thai constellation.

Nak menyebut kedua tanaman itu pun dah susah, bayangkan harganya pula. Kata Hidmat, kedua tanaman di atas memiliki harga sekitar Rp 55 juta (RM15,000) dan Rp 60 juta (RM17,000). Nilai 40 tanaman hiasan yang dibeli oleh Hidmat menjangkau jauh daripada harga rumah yang ditukarkan olehnya.

Sebenarnya, sebelum kisah Hidmat ini viral, seorang rakyat Indonesia yang tinggal di Kediri, bernama Iqbal turut melakukan hal yang sama. Dia sanggup menebus kereta Avanza milik dia dan adiknya dengan tiga tanaman hiasan.

Difahamkan, penjual tanaman hiasan itu tidak mahu menukar tanamannya dengan wang, jadi akhirnya mereka memilih kereta sebagai tebusan kepada tiga jenis tanaman Philodendron, iaitu Philodendron florida beauty variegated, Philodendron caramel marble variegated, Philodendron stroberry shake variegated. Dan satu jenis Caladium hybrid, kata Iqbal seperti dilaporkan Detik.

Bagi anda yang beranggapan bahawa apa yang dilakukan mereka ini adalah tipu dan hanya untuk mereka-reka cerita. Iqbal menekankan bahawa aktiviti ini sudah biasa terjadi di Indonesia. Menurutnya, dalam perniagaan tanaman hiasan, ini sudah biasa dilakukan.

Penjualan tanaman hiasan berjaya mendapat sambutan di Indonesia dan Malaysia. Tetapi apa yang membezakan kedua-duanya adalah di Malaysia, masih belum ada yang sanggup menukar sebuah harta benda demi puluhan tanaman hiasan.

Tidak pasti bagaimana budaya ini timbul, tetapi hal positif seperti ini perlu dirayakan kerana bagi sesetengah orang, tumbuhan ini seperti haiwan peliharaan, ada aura positif yang mampu membantu mereka melalui liku hidup di tengah pandemi.

Bagaimanapun, bagi pemerhati ekonomi, mereka mengingatkan kepada masyarakat agar trend tersebut tidak sampai memakan diri. Kata mereka, tidak salah untuk membeli tanaman hiasan dengan harga puluhan ribu. Tetapi biarlah berpada-pada, jangan biarkan keperluan utama diabaikan demi sebuah hobi yang mahal.

Difahamkan, pokok lidah jin dalam rumah jadi ‘trend’, ia didakwa berbahaya untuk kesihatan? Klik pautan di bawah untuk membaca.

Pokok Lidah Jin Dalam Rumah Jadi ‘Trend’, Ia Didakwa Berbahaya Untuk Kesihatan?

Rumah Berkonsepkan ‘Nature’ Makan Tuan, Hanya 10 Penghuni Berpindah Disebabkan Banyak Nyamuk

PBB Keluarkan Ganja Daripada Senarai Dadah Merbahaya, Kini Dianggap Sebagai Tanaman Ubat