Menggunakan pengangkutan awam terutamanya di bandar-bandar besar sememangnya digalakkan dan memang terdapat sebahagian besar pengguna yang menjadikannya sebagai mod pengangkutan utama mereka.

Bagaimanapun, bila berbicara mengenai pengangkutan awam terutamanya kereta api, antara perkara yang sering menimbulkan rasa hairan dalam kalangan pengguna adalah pembinaan stesen yang dikatakan tidak mesra pengguna terutamanya pejalan kaki.

Luahan mengenai perkara itu baru-baru ini dikongsikan pengguna Twitter dengan mengatakan ianya ‘sedikit sukar untuk diakses’ yang kemudiannya dipersetujui sebahagian besar netizen.

“Saya akan cuba untuk menaiki kereta api bila saya bergerak ke mana-mana dan saya berpendapat secara umumnya ia sedikit sukar untuk diakses.

“(Stesen) ini biasanya dibina di tepi-tepi jalan besar atau lebuh raya. Pejalan kaki akan mengalami sedikit kesukaran untuk sampai ke sana,” ciapnya di Twitter.

Tidak sahaja meluahkan kekecewannya, namun Nabil dalam untaian (thread) berkenaan turut melakukan demonstrasi untuk membuktikan mengenai perkara itu.

Untuk menunjukkan demonstrasi berkenaan, beliau  menggunakan peta isochrone yang dibekalkan Openrouteservice Maps untuk menunjukkan masa yang diambil pejalan kaki untuk tiba ke sesuatu tempat.

Meletakkan stesen MRT Sungai Buloh sebagai titik dan lokasi pilihan, beliau kemudiannya menunjukkan kawasan yang boleh diakses pejalan kaki daripada stesen berkenaan.

EmTRz9CU0AEWL4c
Peta isochrone. FOTO: NABIL ERSYAD

“Ini adalah stesen MRT Sungai Buloh. Peta isochrone menunjukkan berapa jauh anda boleh pergi dari satu titik dalam masa yang diberikan.

“Kawasan hijau mengambil masa 5 minit untuk berjalan, kuning 10 minit dan merah 15 minit,” jelasnya.

Gambaran yang ditunjukkan peta berkenaan menurutnya adalah kurang memberangsangkan dengan jarak berjalan kaki selama 5 minit hanya merangkumi 0.005 kilometer persegi manakala 15 minit perjalanan pula hanya merangkumi 0.86 kilometer persegi.

“Jika anda tinggal di luar kawasan (hijau,kuning dan merah) seperti dalam kawasan biru di peta di bawah, anda perlu berjalan melebihi 15 minit,” jelasnya.

Secara mudahnya, jika anda tinggal atau datang dari kawasan yang tidak berada di dalam jarak berjalan kaki hijau, kuning dan merah seperti yang ditunjukkan anda akan mengambil masa yang lebih sama untuk sampai.

Menyedari mungkin ada yang akan mengatakan pengguna perkhidmatan kereta api di stesen MRT Sungai Buloh akan memandu ke sana, Nabil kemudiannya membuat satu lagi perkiraan melibatkan kesemua stesen kereta api di Lembah Klang.

Hasil daripada perkiraannya itu, Nabil menjelaskan secara purata hanya monorel sahaja yang meliputi 3 kilometer persegi dan boleh dilalui pejalan kaki dalam masa 15 minit.

EmTGZc8U0AAzs6v
Carta yang menunjukkan masa dilalui pejalan kaki di seluruh stesen kereta api di Lembah Klang.

Jadi apa masalahnya?

Menurut Nabil, jika dibandingkan dengan dua bandar lain iaitu Singapura dan Montreal ia ‘dengan jelas menunjukkan kita jauh ketinggalan di belakang’.

“Kita perlu berhenti membina stesen kereta api di tengah-tengah kawasan yang entah di mana-mana dan di sebelah lebuh raya.

“Lagi bagus, kita tutup lebuh raya-lebuh raya ini yang menyebabkan lagi banyak keburukan daripada kebaikan.

“Dengan cara ini, kita mungkin boleh melihat kembali betapa teruknya bandar-bandar kita dirancang dalam memastikan ruang-ruang ini untuk kegunaan orang ramai dan bukannya kereta,” luahnya.

Perkongsian Nabil di Twitter itu yang pertama kali dimuat naik pada 8 November telah mencuri tumpuan dengan rata-rata bersetuju tentang apa yang dijelaskannya.

Sehingga artikel ini ditulis, ia telah pun meraih lebih 12,000 retweet (perkongsian) dan lebih 13,000 likes (tanda suka) di Twitter.

Anda boleh membaca perkongsian penuh daripada beliau dan melihat sendiri demonstrasi yang dilakukannya di Twitter melalui pautan di bawah.

Tahukah anda perkhidmatan kereta api di Malaysia berada di tangga ketiga terbaik di Asia Pasifik pada 2018? Baca pautan di bawah untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya. 

Perkhidmatan Kereta Api Malaysia Berada Di Tempat Ketiga Terbaik Di Rantau Asia Pasifik

Ini 10 Perkara Paling ‘Kurang Ajar’ Yang Dilakukan Ramai Orang Dalam Kereta Api Jepun

Pengajaran Buat Lelaki Yang Masuk Koc Kereta Api Wanita

Sumber