Sejak sempadan negara dibuka pada 1 April lalu, banyak insiden melibat segelintir warga Singapura telah mengundang rasa kurang senang oleh pihak warganet. Lebih-lebih lagi ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab mengambil peluang mengisi petrol kenderaan menggunakan pam minyak kuning RON 95.

Terbaharu, tular video itu seorang pemandu lelaki Audi bernombor pendaftaran Malaysia dan pemandu Toyota Estima bernombor pendaftaran Singapura saling bertukar pam minyak kuning RON 95 dan hijau RON 97 stesen minyak Petron Gelang Patah, Johor.

Baca Juga:

Apabila tindakan terbabit ‘kantoi’ dirakam, mereka segera bertukar semula nozel pam minyak dan meneruskan isi minyak seolah-olah mereka tidak melakukan kesalahan.

‘Woi, isi minyak ke?’ jerit perakam yang ketika itu berada dalam keretanya menjerit kearah lelaki bertopi terbabit.

Pada penghujung video, sejurus kedua-dua lelaki itu selesai mengisi minyak, lelaki bertopi pergi menghampiri pemandu Audi di pam sebelah.

Sumber Gambar: Facebook SG Road Vigilante — SGRV

Untuk makluman, warga Singapura dihalang sama sekali membeli minyak petrol bersubsidi RON 95 yang dikhususkan untuk rakyat Malaysia sahaja. Harga seliter untuk petrol berwarna kuning pada ketika ini bernilai RM2.05.

Sebelum ini Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi amaran kepada mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati menjual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing akan berdepan tindakan tegas sehingga didenda RM1 juta atau penjara makismum tiga tahun dan syarikat yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

Dalam masa sama, anda boleh lihat semula beberapa insiden ‘kurang menyenangkan’ oleh segelintir warga Singapura yang pernah tular sebelum ini seperti geng konvoi BMW memotong secara berbahaya, pemandu BMW buang air kecil di hadapan kawasan rumah kedai dan pemilik Mazda parkir kereta sehingga kesesakan jalan.